Sudah menjadi lumrah, apabila memiliki rupa paras yang cantik seiring dengan kehebatan tersendiri pasti akan menjadi tumpuan serta bualan ramai.
Seperti gadis jelita berusia 22 tahun ini. Bukan calang-calang gadis ya, Ana Maria Markovic merupakan pemain bola sepak wanita tercantik di dunia!
Biarpun sering tampil lasak dan lincah di padang, ada juga yang melabelnya sebagai wanita seksi. Namun begitu, Ana Maria Markovic kurang senang dengan gelaran itu sebaliknya dia lebih suka jika digelar wanita tercantik.
Ia dibuktikan oleh media Eropah bahawa penyerang pasukan kebangsaan wanita Croatia ini adalah pemain bola sepak tercantik di dunia.
Ana Maria Markovic juga sering berkongsi gambar-gambarnya di media sosial yang membuatkan para pengikut dan netizen terpegun. Gambar-gambar tersebut kebanyakannya berkaitan dengan aktiviti bola sepak serta swafotoya sendiri.
Dengan kelebihan bakat serta kecantikan yang dimiliki, Ana Maria Markovic berjaya meraih 1.1 juta pengikut di Instagram (setakat artikel ini ditulis).
“Saya suka artikel yang menggelarkan saya sebagai pemain tercantik kerana saya gembira mendengar saya cantik,” katanya seperti yang dipetik dari BolaSport.com dari Daily Star.
“Bagaimanapun, ada juga artikel yang menggambarkan saya sebagai pemain bola sepak yang seksi. Saya tidak menyukainya,” kata Ana Maria Markovic.
Untuk info, Ana Maria Markovic memulakan kerjaya profesionalnya bersama kelab Switzerland FC Zurich pada tahun 2017.
Dia bermain selama dua tahun di sana sebelum berpindah ke Grasshopper.
Persembahan cemerlang di peringkat kelab telah membawa gadis jelita ini ke pasukan kebangsaan Croatia.
Ana Maria Markovic membuat penampilan sulung antarabangsa pada tahun 2021 dan kini telah membuat lima penampilan ditambah satu gol.
Malangnya, dia disahkan tidak hadir ke Piala Eropah Wanita 2022 selepas Croatia gagal layak ke pusingan akhir.
Kredit Foto: Instagram Ana Maria Markovic
Usahawan Kosmetik Realisasikan Impian Punya VILLA PERSENDIRIAN Moden Di Persekitaran Kampung.
Nampaknya, Pengasas V’ Asia, Datuk Azril Mohd Radzi bakal membuka cabang baharu dalam portfolio perniagaannya dengan memperkenalkan sebuah villa sebagai rumah rehat yang bakal dibuka kepada umum Januri 2023.
Pengeluar produk kosmetik dan kesihatan berasaskan herba asli jenama V’Asia Cosmetic and Healthcare ini berkongsi keterujuaan mengenai ‘cinta terbaharunya’ itu di laman Instagram miliknya semalam.
Alhamdulillah setelah lebih setahun pembinaan, sebuah villa saya dalam kampung berkonsep moden @theestatehulurening kini dibuka untuk tempahan bermula Januari 2023…. Villa dengan kapasiti 5 bilik ini mampu memuatkan sehingga 15 orang dalam satu masa terletak di Kampung Hulu Rening, Batang Kali. Nikmati & rasai suasana dalam kampung, bersebelahan sungai yang sangat jernih dengan kejiranan desa….
Untuk tempahan layari www.theestatemalaysia.com atau 012-2610022
Menurut Datuk Azril ketika dihubungi oleh NONA berkata, The Estate Hulu Rening merupakan villa percutian peribadi yang terletak di Batang Kali, kira-kira sejam memandu ke utara Kuala lumpur.
“Ia adalah retreat house persendirian yang terletak di atas tebing di dalam hutan. Seni binanya adalah berdasarkan topografi kawasan tersebut. Oleh itu, penginapan kami bukanlah hotel atau resort kontemporari yang memberikan keselesaan mewah,” ujar Datuk Azril membuka cerita mengenai villa miliknya itu.
Sambungnya lagi, villa tersebut memberikan pengalaman berbeza kepada pelanggan yang menginap di situ kerana ia menggabungkan alam semula jadi dan seni bina industri.
Bercerita mengenai dari mana tercetusnya inspirasi @theestatehulurening, menurutnya
inspirasi datang dari hobinya yang gemar melancong dan melihat bagaimana industri pelancongan ini berkembang dan memberi inspirasi untuk dirinya mencuba sesuatu yang baharu.
“Kebanyakan orang hanya mengenali saya sebagai usahawan kosmetk. Hakikatnya banyak bidang lain yang diceburi seperti hartanah, rekabentuk, hiasan dalaman dan lain-lain. Jadi ini adalah salah satu usaha saya untuk serius dalam bidang ini.”
Melihat gambar-gambar yang dikongsikan oleh Datuk Azril, kelihatan villa persendirian tersebut nampak eksklusif, mewah dan elegan dalam persekitaran yang menghijau. Malah idea dekorasi dalaman juga datang dari ideanya sendiri yang menggunakan konsep industri serta menggabungkan bahan semulajadi seperti rotan, kayu, hasil tangan seperti mozek kayu dan makrami.
“Ada barang hiasan dari dalam dan luar negara. Antaranya karpet dari Istanbul yang dibeli ketika saya melancong ke sana selain perabot dan pasu kayu dari Jepara”.
Menyentuh tentang pembikinan villa ini, ia mengambil masa melebihi setahun untuk disiapkan. Bermula sejak 2020 namun ia terhenti disebabkan PKP. Menurut Datuk Azril, antara cabaran untuk membangunkan villa adalah pemilihan kontraktor disebabkan keadaan bentuk muka bumi yang terletak di cerun.
“Pentingnya kami mendapatkan nasihat kontraktor berpengalaman dan jurutera bertauliah bagi memastikan struktur kukuh dan selamat. Disebabkan terletak di cerun, kami menggunakan structure metal, steel & glass dan fasadnya disokong dari bahagian atas,” ujar Datuk Azril yang sememangnya jatuh cinta dengan keindahan villa tersebut.
Setiap bilik terletak di tingkat mempunyai pemandangan yang berbeza dan penginap boleh menikmati pemandangan ‘nature’ serta mengadap sungai. Penginap juga boleh turun ke sungai untuk beriadah dan bermandi manda.
Dilengkapi dengan utiliti dan kemudahan jacuzzi, bbq pit, ruang santai, firepit dan hammock. Jika musim buah-buahan, penginap juga boleh menikmati buah-buahan dari pokok yang tersedia.
Selain pilot project ini, beliau bercandang membuka beberapa lagi rangkaian The Estate Batang Kali rumah dusun dan setersunya The Estate Setiu yang menghadap pantai Penarik di Kampung Mangkuk .
Manakala pada tahun 2024 pula, beliau bercadang membuka The Estate Bentong yang berkonsepkan cottage farm house.Selain projek di dalam negara, beliau merupakan pemilik The Estate London yang terletak di Caird St W10.
“Menitis Air Mata Saya Melihat Suami Pulang Dalam Keadaan Menahan Lapar” USTAZAH FATIMAH SYARHA
“Semoga Allah SWT mengurniakannya syurga tertinggi” Itu antara cebisan kata-kata menyentuh hati daripada figura terkenal, Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin. Di sebalik kelembutannya tersirat satu perasaan sukar diungkap. Ustazah Fatimah Syarha merupakan isteri kepada Dr Farhan Hadi yang kini berjuang sebagai frontliner memerangi wabak COVID-19.
Selayaknya Ustazah Fatimah Syarha digelar isteri solehah yang sentiasa berdiri teguh di belakang suaminya. Bersama anak-anak, beliau yang kini berusia 36 tahun terus cekal mengharungi ujian ini bersama suami yang dikasihi.
Dr Farhan Hadi bertugas di bahagian kecemasan Hospital Pakar al Islam, Kampung Bharu Kuala Lumpur. Tugasnya, melakukan saringan pesakit-pesakit yang disyaki. Sekiranya didapati positif, Dr Farhan akan menghantarnya ke hospital kerajaan.
“Sebagai isteri seorang doktor, banyak perkara menyentuh hati saya. Sehari sebelum perintah PKP diumumkan, suami membuat perbincangan sama ada mahu menghantar saya dan anak-anak di kampung atau sebaliknya.
Sebagai frontliner suami mahu keluarga terselamat daripada risiko di mana seorang doktor mungkin membawa balik kuman dan virus setelah bertugas. Pada masa sama, suami juga mempertimbangkan saranan agama. Akhirnya, kami memutuskan untuk mengikut petunjuk agama agar tidak lari dari kawasan wabak.
Kami teguh di belakang perjuangan Abi (panggilan kepada suami) dan yang seangkatan dengan Abi! Saya lihat semangat suami untuk berbakti bukan hanya di hospital bahkan di rumah. Anak-anak juga faham erti kesabaran, menahan rindu terhadap Abi mereka.
Pernah menitis air mata saya melihat suami pulang lewat malam dalam keadaan menahan lapar. Katanya, sempat menjamah sedikit sahaja makanan hari itu. Sebelumnya, suami oncall semalaman, pulang sekejap waktu pagi dan tengahari masuk kerja lagi sampai tengah malam. Saya tak dapat bayangkan betapa penatnya dia. Di rumah, suami tak banyak berehat. Kerja bertali arus. MasyaAllah.
Sekarang ini suami bertolak ke hospital lebih awal daripada biasa dengan menaiki motorsikal bagi elak kesesakan jalan raya. Katanya, dia perlu menyiapkan diri dengan pakaian khas dan sentiasa dalam keadaan hygine. Kadang berhujan, kadang berpanas suami rempuhi jua. Katanya, “Abi perlu selamatkan nyawa“.
Apabila berinteraksi dengan ramai pesakit, suami perlu melalui proses saringan di hospital. Sebelum keputusan saringan keluar, suami banyak memencilkan diri di ruang pejabatnya di rumah kerana mahu elak risiko terhadap kami. Anak-anak sering bertanya, “Kenapa Abi tak macam dulu?” Saya jelaskan kepada mereka sambil ajak berdoa dan solat hajat bersama.
Suami berpesan kepada saya, “Kita perlu bersedia jika Abang kena kuarantin” Saya terus merasakan hakikat hidup ini sebentar cuma. Sekejap atau lama, cepat atau lambat, semua orang pasti akan diuji perpisahan. Hanya syurga tempat abadi yang tiada lagi kematian dan perpisahan.
Saya tak dapat bayangkan kerinduan anak-anak terutama yang berusia 6 dan 4 tahun andai ‘kuarantin’ itu benar-benar terjadi. Setiap malam mereka akan tercari-cari Abi. Mereka mahu tidur sambil dipeluk Abi. Kadang kala mereka menangis kerana ketiadaan Abi.
Syukur, keputusan saringan mengesahkan suami negatif COVID-19. Suami pernah memeriksa pesakit positif COVID-19 sehingga pihak hospital mempertimbangkan beliau untuk dikuarantin. Mujurlah saat itu suami lengkap berbaju khas. Risiko tetap ada namun boleh dikurangkan.
Bila saya mendengar rakan sejawatannya, seorang doktor wanita disahkan positif COVID-19 saya amat bersimpati namun pada masa sama menambah debaran saya setiap hari. Mujur ada Allah SWT tempat memohon perlindungan.
Anak-anak memang rapat dengan suami. Setiap kali dengar ekzos motor dengan pantas mereka akan berlari ke pintu dan menyangka itu Abi. Ketika pulang kerja, suami terpaksa menyorok mengikut laluan khas kerana bimbang diterkam anak-anak. Suami bimbang menularkan kuman kepada mereka. Selepas mandi sebersih-bersihnya dan menyiapkan diri, barulah suami akan luangkan masa bersama kami.
Saya kini dalam fasa akhir PhD, mengejar due date. Memandangkan tiada pembantu rumah, semua urusan rumahtangga kami buat bersama. Anak-anak yang besar (11 dan 9 tahun) tugasnya memajukan diri dan mendidik adik-adik. Tugas saya selain menyiapkan tesis PhD, perlu mengemas, menyapu dan memasak. Suami pula rajin uruskan kain baju walaupun sibuk di hospital. Bila memasak, suami selalu mahu turut serta memberikan sinergi. Ia menyebabkan saya sebak sendiri. Semoga Allah SWT memberinya syurga tertinggi.
PESANAN
Buat mereka yang pasangannya doktor seperti saya, ingatlah Allah Maha Pelindung, Maha Penjaga, Maha Pemelihara. Jaga zikir-zikir terpilih dalam al-Quran dan al-Sunnah seperti dalam al-Ma’thurat, Manzil atau Hisnul Muslim sebagai doa perlindungan pagi dan petang. Pujuk hati dengan keindahan maksudnya. Jadikan musibah ini asbab kita makin dekat dengan Allah SWT.
Saat Rasulullah SAW dipulau di perbukitan selama 3 tahun dalam keadaan lapar dan serba kekurangan isteri baginda, Khadijah menemani perjuangan dengan rela dan cinta. Kita cuma perlu berada di rumah, sabar sepanjang ketiadaan pasangan yang berjuang di barisan hadapan. Walaupun terpaksa menempuh kesukaran menguruskan anak-anak sendirian, insyaAllah inilah peluang kita meraih pahala syahid meskipun tidak mati, sebagai mana dikhabarkan dalam riwayat yang sahih.
Cipta bahagia di rumah bersama keluarga tersayang dan nikmati detik bersama. Rasai semua musibah ini, ada rahmat indah dari Ilahi. Biar pasangan pulang dalam keadaan bahagia dan terubat melihat anak-anak menerima jagaan dan pendidikan sebaiknya. InsyaAllah, kita juga sedang berjuang di medan kita.
Saya mohon dan merayu, patuhilah arahan PKP. Kasihani diri kita, insan yang kita sayangi dan insan lain yang mungkin terjejas. InsyaAllah, pelangi akan segera tiba andai kita sabar dan patuh dengan arahan ini.”
Ibu kepada 5 orang anak ini juga merupakan Jawatankuasa Majlis Perundingan Wanita, MAWAR YADIM. Ustazah Fatimah Syarha dan suami turut menguruskan syarikat penerbitan buku milik mereka iaitu Sebarkan Bahagia.
Kredit Foto: Instagram Ustazah Fatimah Syarha
“Walaupun Dah Bercerai Jangan Bercerita NEGATIF Tentang Ayah Mereka!” ZIANA ZAIN
Ziana Zain yang sedikit masa dahulu menggemparkan industri apabila memfailkan perceraian bersama suami yang telah dikahwininya selama 20 tahun. Semua pasangan suami isteri mengharapkan rumah tangga kekal hingga ke hujung nyawa namun siapa kita untuk menolak takdir. Benar kata orang kita hanya mampu merancang namun Yang Maha Esa yang menentukan segala-galanya.
Ziana baharu sahaja melalui episod duka dalam rumah tangganya, namun kekuatan yang dimilikinya bukan calang-calang. Mencungkil rahsia kekuatan dalam dirinya sehingga berjaya melepasi dugaan tersebut, “Sebenarnya kekuatan itu datang setelah beberapa lama kita mengharungi hidup. Hidup dalam masyarakat bergaul dengan pelbagai lapisan kehidupan telah menyuntik semangat yang luar biasa dalam diri saya. Apabila saya garapkan kisah duka saya bersama pengalaman orang lain membuatkan kita lebih kuat.
Sudah semestinya apabila kita menatap dan mengamati wajah anak-anak satu persatu, secara tidak langsung membuatkan kita lebih kuat. Melihat wajah mereka telah mengumpul satu kekuatan untuk membahagiakan anak-anak. Saya selalu cakap dengan diri sendiri apa juga yang terjadi dalam kehidupan itu adalah dugaan hidup dan sekiranya kita lepas semua ujian, there will be something big for us, insyaallah.
Apabila berhadapan dengan anak-anak mengharungi kemelut ini bukan mudah tetapi sebagai ibu apa yang penting adalah sentiasa berterus-terang dengan anak-anak tentang situasi yang berlaku dan jangan bercerita perkara negatif kepada mereka. Saya selalu katakan kepada mereka, apa sahaja yang berlaku dalam keluarga ini merupakan permulaan kehidupan mereka. Jika kita berjaya mengharunginya insyaallah benda lagi besar akan ada di hadapan kita boleh mengharunginya bersama-sama dan selalu reda serta bersyukur kepada Allah SWT. Paling penting jangan lupa sentiasa minta padaNya.
foto: Instagram @iamzianazain
Ini kerana Allah SWT sahaja yang tahu isi hati kita dan semat dalam hati dan minda bahawa setiap apa yang terjadi itu ada hikmahnya dan Allah nak memberi sesuatu yang besar kepada kita. Kita pun tak tahu tetapi selalu yakin yang Allah SWT doakan kebahagiaan kepada diri kita dan juga orang lain. Kerana kita hidup ini dalam dunia bukan seorang, sering berdoa dan yang penting kita berbalik kepada Allah SWT,” ungkap ibu kepada empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 19 tahun, Muhammad Ammar, 14 tahun, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9 tahun, ini.
Wanita yang kini sudah berusia 50 tahun terus optimis meneruskan kehidupan bersama anak-anak tercinta dan kelihatan telah move on. “Sebagai wanita biasa, jujur saya katakan bukan mudah untuk move on. Ada wanita yang terpaksa tunggu bertahun-tahun dan ada juga hanya mengambil masa yang singkat sahaja.
Bagi saya setiap rencana hidup kita sudah di tulis oleh Allah SWT dan bila sampai masanya Allah SWT kata masa untuk move on, ini merupakan gerak dariNya. Saya selalu bersyukur dan sering meminta kepada Yang Maha Esa untuk diberi kekuatan dan dikurniakan keberkatan hidup. Apabila kita berdoa dan selalu meminta serta reda dengan ketentuan Ilahi, insyaAllah we can move on,” tuturnya.
Nasihat Ziana buat untuk wanita yang dibelenggu dengan masalah rumah tangga terutama yang mengalami penderaan domestik agar mencari jalan keluar dengan meminta pertolongan daripada saluran yang betul. Tambah Ziana terdapat banyak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang boleh memberi bantuan kepada wanita yang mempunyai masalah. Jangan malu untuk bertindak kerana bukan kita seorang sahaja mempunyai masalah. Kuatkan semangat dan paling penting mencari saluran yang betul.