Tertarik dengan penampilan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini. Baginda berdua kelihatan memikat dan menarik tumpuan rakyat dengan gaya kasual ketika berada di sana.
Mengenakan persalinan rona sedondon, Sultan Selangor tampil segak dengan kasut sneakers dan beg silang. Begitu juga Tengku Permaisuri Selangor yang kelihatan selesa dan santai dengan sepatu flat jenama Chanel.
Memetik kenyataan di media sosial rasmi Selangor Royal Office, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin telah berkenan berangkat ke Dubai, UAE untuk melawat Ekspo 2020 Dubai.
Baginda berkenan meluangkan masa selama 6 hari berturut-turut untuk melawat ke 32 pavilion negara-negara yang mengambil bahagian di ekspo antarabangsa berkenaan yang berlangsung sejak 1 Oktober 2021 dan bakal berakhir pada 31 Mac 2022.
Semasa lawatan ini, Baginda diberi taklimat oleh wakil setiap pavilion mengenai isu-isu global yang signifikan khususnya mengenai kelestarian alam sekitar, memperkasa kemampanan serta keseimbangan eko-sistem.
Baginda amat sukacita kerana hasil daripada lawatan ke ekspo kali ini banyak memberi informasi dan ilmu pengetahuan terkini kepada Baginda yang relevan dengan perkembangan teknologi semasa.
Antara pavilion yang dilawati oleh Baginda ialah Malaysia, UAE, Arab Saudi, Belgium, Itali, Perancis, Sepanyol, Sweden, Jerman, Maghribi, Kazakhstan, Palestin, China, Thailand, Australia, United Nations (UN), Terra dan World Expo Museum.
Ekspo 2020 Dubai yang bertemakan ‘Menghubung Minda, Mencipta Masa Depan’ telah membuka banyak peluang pasaran yang baharu dan menarik dalam meningkatkan perdagangan, pelaburan serta pertukaran budaya di antara negara-negara terlibat.
Kredit foto: Selangor Royal Office
This website uses cookies.