Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Turkiye malam tadi sebagai tanda sokongan moral kepada Presiden, Reccep Tayyip Erdogan serta rakyat negara itu yang dilanda gempa bumi awal minggu lepas sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa.
Pesawat khas yang membawa Datuk Seri Anwar berlepas kira-kira jam 11.15 malam dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Lawatan sehari itu turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Amrizan Mohd Ali.
Lawatan mengejut Datuk Seri Anwar itu atas dasar persahabatan dan permintaan Erdogan yang telah dua kali menghubunginya meminta beliau ke Turkiye.
TINJAU LOKASI BENCANA
Setibanya di Turkiye, Datuk Seri Anwar meninjau lokasi bencana dan bertemu Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) sebelum berlepas ke Ankara bagi mengadakan pertemuan dengan Erdogan.
Datuk Seri Anwar dijangka berlepas pulang ke tanah air pada jam 2 petang (waktu tempatan) dan tiba pada 7 pagi Khamis (waktu Malaysia) sebelum menghadiri sidang Dewan Rakyat di Parlimen dan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mesyuarat pra-Kabinet.
Pada 11 Februari lalu, Datuk Seri Anwar telah berhubung dengan Erdogan sejurus tiba daripada lawatan rasmi di Bangkok, Thailand bagi menyampaikan ucapan takziah serta doa atas kejadian bencana itu.
Sumber: Bernama
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
This website uses cookies.