“Lebatnya rambut Harris Jr!” Hampir dua bulan usianya, ramai tertarik tengok wajah comel anak kedua selebriti Intan Ladyana.
Masyaallah, walaupun masih kecil anak-anak Intan namun sudah terserlah iras kecomelan mereka, persis ibu dan ayah! Seperti ibunya, mereka juga mempunyai aura tersendiri yang membuatkan peminat terpikat dan menoleh dua kali.
Sekeping gambar keluarga yang dimuat naik pasangan selebriti Intan Ladyana dan suaminya, Harris Alif dikongsi bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada Isnin lalu.
“Family,” tulis Harris ringkas di kapsyen.
Manakala Intan pula sempat menitip ucapan raya buat semua pengikutnya di Instagram. “Happy Eid Al Adha from Harris, Intan, Evie & Umayr,” tulisnya.
COMEL
Namun apa yang paling menarik perhatian pastinya wajah comel Umayr yang baru dua bulan dilahirkan. Persis kakaknya, Evie Khadeeja yang kini mencecah dua tahun setengah, si comel ini juga mewarisi tarikan kedua ibu bapanya termasuk rambut lebat.
Pelakon jelita Intan Ladyana, 42, selamat melahirkan anak kedua mereka, Harris Umayr pada 26 April 2024 sekaligus melengkapkan sepasang cahaya mata hasil perkongsian hidupnya dengan Harris Alif, 25.
Jika Aidilfitri baru-baru ini diraikan bersama Umayr yang masih di dalam perut, kali ini sambutan Hari Raya Aidiladha pastinya lebih bermakna buat Intan dan Harris.
Turut digelar ‘Harris Junior’, ramai yang memuji kecomelan Umayr selain anak pertama mereka, Evie, yang juga memiliki wajah comel dan seiras dengan wajah bapanya.
Kalau sebelum ini wajah Umayr ditutup dengan emoji, kali ini Intan dan Harris terbuka berkongsi wajah anak mereka dengan peminat. Memang comel sungguh dari pandangan sisi, lebatnya rambut Harris Jr jadi pujian ramai!
Harris dan Intan sempat mencuri perhatian ramai apabila mendirikan rumah tangga walaupun berbeza usia 17 tahun.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/puji-hospital-assunta-natasha-hudson-selamat-bersalin-anak-keempat/
Senarai WAJIB TAHU Ciri-ciri Homestay Ikut Selera Mak-mak. Jadi Ayah Kena Ambil Tahu Supaya Tak Salah Pilih Homestay Nanti!
Merancang percutian bukannya mudah tambah-tambah lagi jika mempunyai keluarga besar. Kena fikirkan bajet percutian, duit makan dan minum, tol dan minyak serta paling penting rumah penginapan. Bukan calang-calang nak duduk hotel untuk ahli keluarga lebih daripada enam orang. Untuk jimat, homestay adalah pilihan terbaik.
Biasanya, mak-mak yang akan memikul tanggungjawab nak cari homestay. Sebab, ciri-ciri homestay yang sesuai tu terlalu banyak. Nak diserahkan kepada suami, nanti ada saja yang tak kena. Jadi, untuk memudahkan kerja mak-mak, apa kata si ayah ni ikut tips di bawah. Ini semua ciri-ciri yang termasuk dalam list homestay terbaik pilihan mak-mak.
Kenal pasti bilangan ahli keluarga
Sebelum sibuk mencari homestay, pastikan anda tahu berapa orang ahli keluarga yang akan mengikuti rombongan percutian. Bahagikan kuantiti dewasa dan kanak-kanak dalam sesebuah keluarga. Bimbang pula nanti tak cukup katil untuk anak-anak.
Laman percutian
Selepas semuanya sudah bersetuju untuk join percutian, barulah mulakan carian Google. Ada banyak laman pencarian yang anda boleh gunakan. Ala…iklan yang selalu keluar TV tu. Ha, boleh gunakan laman pencarian itu untuk pilih jenis rumah yang bersesuaian dengan bajet anda.
Ruang dapur
Paling penting sekali, homestay pilihan anda perlu lengkap terutamanya peralatan dapur termasuklah kuali, periuk nasi, periuk masak, pinggan mangkuk, cawan sehinggalah ke sudu garfu dan sudip. Mak-mak ni adakalanya nak panaskan lauk, buat teh panas. Semuanya untuk dihidangkan kepada ayah-ayah dan anak-anak.
Mesin basuh
Percutian walaupun singkat tetap banyak pakaian kotor yang perlu di basuh. Mak-mak ni memang ligat orangnya. Pantang ada kelapangan, pasti dia akan mula mencari ruang masa uuntuk membasuh baju. Jika ada mesin basuh, lagi memudahkan kerja mereka. Tugas anda, beli sahaja sabun pencuci. Silap-silap, mak-mak bawa sendiri sabun basuh baju!
Ruang tamu
Selepas dua perkara penting tadi, barulah ayah-ayah perlu fikirkan bahagian ruang tamu rumah. Pastikan ada televisyen, sofa dan meja makan. Ada ketikanya, mungkin anda hanya akan makan di rumah untuk menjimatkan kos.
Hiburan berhampiran lokasi
Hiburan bukan bermaksud pusat karaoke atau panggung wayang. Untuk mak-mak, cukup sekadar pasar tani, pasar malam, kompleks membeli-belah atau sekurang-kurangnya satu kawasan yang menjual tudung atau kain murah-murah. Boleh juga mereka ke sana untuk ‘me’ time.
Penghawa dingin
Baik cuaca panas ataupun tidak, penghawa dingin dalam setiap bilik adalah satu kemestian lebih-lebih lagi untuk anda yang membawa anak kecil. Dalam kepenatan, tentu kita nak berehat dengan selesa. Bila dah sejukkan bilik, barulah boleh rehat dengan cukup. Tetapi biasanya untuk sesebuah homestay, hanya beberapa bilik disediakan penghawa dingin. Nampaknya anda perlu ada sifat bertoleransi sebelum membuat tempahan bilik, takut ada yang bermasam muka pula.
Tapak BBQ
Sesekali berBBQ bersama keluarga seronok juga. Sebelum anda jadualkan aktiviti BBQ, pastikan tuan rumah menyediakan pit BBQ dalam kompaun rumah. Tidak perlulah anda pula yang sibuk mengangkut pit BBQ dari rumah. Rajin-rajin bertanya pada tuan rumah sama ada mereka mempunyai peralatan untuk BBQ seperti penyepit, dulang dan sebagainya.
Pembayaran homestay
Pastikan anda membuat bayaran tempahan untuk lock homestay pilihan. Takut nanti homestay itu jatuh ke tangan orang lain pula. Beberapa hari sebelum pergi bercuti, hubungi tuan rumah semula untuk membuat bayaran penuh. Barulah anda boleh bercuti dengan tenang.
Selamat bercuti semua!
Sumber foto: FB Ceri Merah Homestay
Duduk Sebelah Anak Sendiri Nampak Macam Adik Beradik, MELISSA SAILA Tak Makan Tua
Kalau sebut nama Melissa Saila sudah pasti terbayangkan darah seni yang mengalir dalam tubuhnya. Membesar dalam sebuah keluarga seni, Tan Sri P Ramlee, Puan Sri Saloma dan Seniwati Mariani sudah cukup membuktikan bakat semula jadi yang ada dalam dirinya.
Nama Melissa Saila juga begitu sinonim dengan drama Cili Padi. Membawakan watak sebagai Maria dalam drama yang mengumpulkan kanak-kanak sebagai watak utama, Melissa Saila umpama tidak makan tua. Wajahnya tetap awet muda walau sering tampil tanpa solekan bila melihat foto terbaharunya.
Rugi rasanya kalau tak tanya soalan tentang rahsianya yang sentiasa kelihatan muda. “Ya ke, adoi! Tak terfikir pun. Bagi saya mudah sahaja, apa yang penting adalah minda kena selalu sihat dan selalu positif. Jangan banyak streskan otak,” kongsi Melissa Saila dengan jujur.
Kalau sudah sekali bergelar Anak Wayang selamanya akan menjadi Anak Wayang. Wanita yang kini berusia 47 tahun rupa-rupanya dalam diam sedang sibuk di set penggambaran filem.
Melissa Saila atau nama sebenarnya Melisa Mohd Alias kini sedang sibuk mengarah sebuah filem yang bertajuk Kuala Lambat The Movie terbitan Azura Pictures. Antara artis yang turut terlibat dalam projek ini adalah seperti Siti Saleha dan Nabila Huda.
Bercerita tentang penglibatan wanita kelahiran Kuala Lumpur ini bergelar seorang Pengarah, “Sudah lebih 10 tahun saya bergiat aktif dalam dunia pengarahan.
Tetapi kebanyakan adalah dalam bentuk drama. Pernah juga dulu saya mengarah sebuah filem tetapi sayangnya filem itu tidak keluar panggung. Ada beberapa masalah yang menyebabkan filem itu tidak dapat ditayangkan,” terang Melissa Saila.
Wanita yang pernah berlakon dalam filem Puteri Gunung Ledang ini begitu teruja apabila bercerita tentang filem terbaharu arahannya ini. Menurut Melissa Saila filem ini dijangkakan akan menemui penonton awal tahun hadapan.
Apabila diajukan pertanyaan tentang cabaran mengarah di era digital, jawabnya ringkas, “Sekarang lebih banyak kemudahan berbanding dahulu. Tapi nak cari agar cinematic tu yang payah,” ujar Melissa Saila yang pernah berlakon dalam filen Ranjau Sepanjang Jalan ini.
Lebih 36 tahun terlibat dalam dunia seni, sudah tentu asam garam dalam bidang ini sudah dilalui oleh wanita ini. Ketika ditanya apakah perbezaan industri dahulu dengan sekarang, jawabnya, “Sekarang zaman nak popular. Semua tentang populariti semata-mata,” katanya yang mempunyai syarikat produksi sendiri, Kus Semangat Aktor.
Melissa Saila telah mendirikan rumahtangga dengan Megat Fauzi Shukarnain dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Noor binti Megat Fauzi, 15 tahun, Zain bin Megat Fauzi, 13 tahun dan Zahrah binti Megat Fauzi, 10 tahun.
Ketika ditanya apakah pesanan yang sering diberi oleh anak seniwati Mariani ini kepada anak-anak, jawabnya, “Kita kena selalu bersyukur so kita senang hati. Also amal makanan sihat paling penting jaga adab. Ingat agama dan hormat orang.
Saya juga selalu pesan kat anak-anak, rupa cantik kalau kelakuan dan perangai tak elok, tak guna juga,” bicara Melissa mengakhiri perbualan.
Foto: Instagram @melissa_saila_oil
“Saya Kenal Perangai Ayah Saya Yang Sangat Bergantung Pada Mak,” DATIN MARINA MAHATHIR
Anakanda sulung Perdana Menteri ketujuh ini sempat berkongsi bingkisan indah bersama keluarga tercintanya buat pembaca NONA. Pada usia 61 tahun, rupa paras isteri kepada Tara Sosrowardoyo dan ibu kepada tiga cahaya mata, Ineza Roussille, Haga Tara dan Shaista Mayada itu masih manis rupawan dengan karakter seorang feminin yang pintar.
Terus saja persoalan tentang watak ibu bapanya di rumah diajukan, lantas disambut dengan senyuman lebar oleh Datin Marina. “Secara jujur, saya melihat kedua orang tua saya sebagai pasangan yang paling ideal di dunia. Mereka seperti ditakdirkan bersama. Amat mesra dan saling melengkapkan antara satu sama lain. Meskipun kedua-duanya tidak ekspresif melahirkan rasa cinta, namun ia terserlah melalui perbuatan dan pandangan mata. Saya juga kenal perangai Ayah saya yang sangat bergantung pada Mak. Kalau ada sesuatu yang mengganggu fikirannya atau waktu dia menjalani rawatan di hospital dahulu, hanya isterinya yang dimahukan untuk berada di sisi.
Semasa kami semua membesar di Alor Setar, Ayah seorang yang garang dan tidak banyak bercakap. Kalau kami tak pergi ke sekolah, macam buat satu dosa besar bagi dia. Saya juga pernah teruk dicubit dan dimarahi apabila tukang kebun kami mengadu saya menjelir lidah kepadanya. Berkali-kali Ayah tekankan betapa pentingnya sikap tertib dan adab sopan terhadap orang lain. Itulah yang saya pegang dan menjadi prinsip hidup sampai sekarang,” cerita wanita yang mesra disapa sebagai Marina itu kepada penulis.
Tun Dr. Siti Hasmah pula, akui Marina turut bersikap tegas kerana beliaulah yang menguruskan semua hal berkaitan pendidikan anak-anak. “Dia memang lemah lembut dan mesra dengan semua orang. Tapi sewaktu kami kecil, dia seorang enforcer kerana mahu melihat kami semua berjaya. Sekarang tidak lagi. Mak merupakan individu paling rajin untuk mengatur percutian keluarga dan dialah yang sentiasa membuatkan kami sekeluarga berhubung antara satu sama lain.
Kami selalu dididik bahawa hajat tak akan tertunai tanpa usaha. Dalam dunia ni tak ada yang percuma. Semua orang mesti bekerja untuk mendapatkan hasilnya. Mereka juga selalu berpesan bahawa pendidikan itu sangat penting. Tak kisahlah kami mahu kerja apa nanti asalkan mesti habis belajar. Kerana tidak dipaksa, maka tak ada seorang pun di antara kami yang mengikut jejak langkah mereka dalam bidang perubatan. Mujurlah sekarang ada dua anak saudara yang menunjukkan minat sebagai doktor,” kata Datin Marina dengan mesra.
Kesibukan sentiasa menjadi halangan buat pemilik syarikat Mosaique Communication ini dan adik-beradik yang lain untuk selalu berjumpa ibu bapa di rumah. Sesekali tiba peluang berkumpul, itulah masanya untuk update hal keluarga masing-masing. “Percaya tak, kadang-kadang saya kena baca akhbar untuk tahu Mak dan Ayah berada di mana! Hakikatnya memang mereka berdua sibuk dengan pelbagai aktiviti di merata-rata tempat. Sebagai anak Perdana Menteri, kami dah biasa dengan situasi ini. Cuma kini agak risau kerana mereka sudah tua dan perlu banyak berehat.
Ayah sudah biasa bekerja. Sebenarnya kami sekeluarga sudah puas memujuk namun Ayah masih sayangkan perjuangannya. Sampai ke satu tahap, kami jadi putus asa. Selagi dia masih sihat, okaylah. Cuma jauh di sudut hati saya sangat kesian melihat Ayah kerana umurnya yang sudah meningkat,” kata Datin Marina dalam nada tertahan.
Tatkala Datin Marina atau ahli keluarganya yang lain dilemparkan pelbagai tohmahan, mereka sekeluarga mengambil inisiatif untuk saling menyokong satu sama lain. “Saya selalu menerima kritikan negatif tapi alhamdulilah semuanya diuruskan sendiri tanpa melibatkan Ayah atau sesiapa. Mungkin berkat pengalaman di bidang perhubungan awam dulu, saya jadi immune. Saya tak kisah apa orang nak kata. Mereka tak kenal saya tapi menilai dari media sosial saja. Di media sosial, golongan yang menghentam itu memang nampak hero tapi belum tentu mereka berani berdepan saya. Kita semua sama. Yang menghisab cuma Dia.”
Kini meskipun tidak lagi aktif dalam persatuan, kebanyakan masa Datin Marina masih lagi padat dengan pelbagai program seperti jemputan memberi ceramah di sektor korporat, universiti dan sekolah. Beliau juga masih memikul tugas ahli lembaga Yayasan Maybank dan ahli Asian University for Women (AUW) yang berpangkalan di Chittagong, Bangladesh.
Daripada pandangan mata penulis, sumbangan Datin Marina teramat besar dalam memperjuangkan hak asasi wanita. Beliau lantang menyuarakan pendapatnya walau ada kalanya disanggah beberapa pihak. Sebagai bekas Presiden Majlis AIDS Malaysia juga, Datin Marina giat membela nasib mangsa HIV/AIDS serta terkenal melalui Sisters In Islam kerana memperjuangkan keadilan serta menuntut kesaksamaan bagi wanita Islam
MERIAH
Ceritera Ramadan menyapa perbualan penulis yang seterusnya dengan Marina. Dibesarkan dengan gaya orang Kedah, Datin Marina sekeluarga biasanya akan mula berbuka dengan hidangan ringan seperti kuih-muih dahulu, sebelum bersolat Maghrib dan bersambung semula dengan menjamah nasi. “Amalan kami sama saja dengan keluarga lain. Saya sendiri berlatih berpuasa secara separuh hari. Sedikit demi sedikit, barulah pandai berpuasa sampai sehari dan alhamdulilah pada usia 8 tahun, sudah boleh berpuasa penuh di bulan Ramadan.
Bagi saya Ramadan adalah masa yang paling ideal untuk keluarga. Sambil itu juga, inilah masanya untuk merenung semula makna kebesaran bulan Ramadan dan to simplify our life. Kami sudah lama tak pergi berbuka puasa di hotel tapi cukuplah apa yang terhidang di atas meja saja. Inilah bulan yang paling quiet bagi saya, kurang bersosial, kurang marah-marah dan lebih masa untuk beribadah. Cukuplah menyibukkan diri pada bulan-bulan lain.
Sekarang bila keluarga dah bertambah besar dan ramai, kami sepakat adakan dua majlis wajib sewaktu bulan Ramadan. Semua ahli keluarga mesti berkumpul pada malam 1 Ramadan dan malam terakhir berpuasa. Masa inilah kami akan berbuka dan bertarawih sama-sama di rumah dengan keluarga,” imbau Datin Marina yang juga pernah menyambut Ramadan selama lima tahun di kota London.
Sewaktu negara di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir dulu, penulis teringat akan suasana meriah membuat persiapan raya sambil televisyen terpasang rancangan Perutusan Khas Aidilfitri daripada Perdana Menteri. Tatkala bercerita semula tentang kenangan itu kepada Datin Marina, beliau sebagai anak tentulah agaknya lebih teruja. Sambbil tertawa kecil. “Saya tidaklah sampai tertunggu-tunggu ucapan Ayah di depan TV. Bagi saya, itu biasa saja baginya yang sedang menjalankan tugas rasmi sebagai pemimpin.”
Mengakhiri perbualan ini, Datin Marina sempat berpesan kepada semua pembaca Nona agar jangan jemu menambah ilmu. “Pengetahuan adalah kuasa. Sebagai wanita, kita mesti tahu apa hak kita dan perkasakan diri dengan pengetahuan. Dengan itu kita lebih bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran atau kemungkinan yang mendatang,” katanya bersungguh-sungguh.