Bermula dengan bisnes kecantikan kini Sharmila Johan atau lebih dikenali sebagai Kak Ell meluaskan empayar perniagaan dalam bidang produk Muslimah khususnya wanita berhijab. Biarpun namanya sudah cukup sinonim dengan dunia kosmetik namun minat mendalam Kak Ell terhadap perniagaan membuatkan beliau nekad mendalami industri fesyen Muslimah pula sehingga tercetusnya jenama Keklaa.
Belum pun sampai setahun label Keklaa berada di pasaran tetapi penghasilan ‘Volumnizer Inner’ miliknya berjaya menambat hati ramai golongan wanita berhijab.
Ternyata, percaturan usahawan berusia 43 tahun ini membuahkan hasil apabila inner yang direka khas untuk para hijabi menjadi revolusi baharu kepada golongan berkenaan mengenakan tudung dengan bergaya dan selesa.
Menelusuri latar belakang wanita kreatif ini, Kak Ell selaku Ketua Pegawai Eksekutif Armila Berhad mendedahkan dia seorang anak peneroka yang ‘dahaga’ kejayaan. Ujar anak sulung daripada enam beradik ini, beliau dilahirkan di Kedah dan membesar di Pahang.
“Saya memiliki kelulusan Diploma Sains Geomatik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Sebelum terjun ke dunia keusahawanan, saya sempat bekerja di UOB Bank sebagai kerani.
Sebagai anak sulung, saya bukan hanya jadi tumpuan keluarga tapi dari kecil lagi sudah menampakkan minat yang mendalam terhadap bidang perniagaan.
Melihat ayah menguruskan kedai runcit, hati saya terus membara nak jadi ‘girl boss’ berjaya. Alhamdulillah, semangat itu masih berkobar-kobar samai sekarang.”
Mengulas keunikan Volumnizer Inner keluarannya, Kak Ell berkata idea menghasilkan produk itu tercetus daripada pengalaman sendiri yang berdepan kesukaran mendapatkan inner yang selesa bagi wanita berhijab.
“Dalam fesyen bertudung, scrunchies memang pilihan yang hip untuk mencipta gaya sanggul yang stylish. Terlampau kerap memakai scrunchies boleh buat rambut terasa ‘overworked’. Terutamanya untuk wanita berhijab yang pakai scrunchies berlapis-lapis dan menyebabkan rambut terasa terikat dan berat.
Akhirnya timbul ketidakselesaan pada leher. Pemilihan fabrik inner yang tak sesuai juga boleh jadi punca kepada masalah kulit kepala.
Inner yang terlalu tebal dan kurang pengudaraan boleh membuat kulit kepala berminyak dan berpeluh yang boleh mendatangkan masalah seperti kelemumur dan rambut berbau.
Keklaa Volumnizer Inner hadir sebagai penyelesaian terbaik untuk masalah hijabi sebab tidak hanya beri keselesaan tetapi juga beri sokongan yang diperlukan untuk sanggul tanpa tekanan berlebihan pada rambut,” ungkapnya yang menjadikan figura bapa tersayang sebagai sumber inspirasi dalam kehidupan dan perniagaan.
Tambah ibu kepada tiga orang anak ini lagi, “Saya excited untuk umumkan, lebih 14,600 inner laris terjual dalam hanya dua bulan! Disebabkan sambutan luar jangka itu, kami juga terpaksa hentikan jualan buat sementara kerana kehabisan stok.
Pihak kami kini bekerja keras untuk bawa lebih banyak stok dalam masa terdekat. Terima kasih kepada semua yang telah menyokong Keklaa Volumnizer Inner. InsyaAllah, Keklaa akan kembali dengan lebih banyak style yang fresh dan trendy!”
Antara keistimewaan Volumnizer Inner ialah pembuatan inner yang ringan dan selesa, menggunakan material premium dan rekaan tali inner yang fleksibel mengikut bentuk dan saiz kepala pemakai.
Selain Volumnizer Inner, Kak Ell turut memberitahu beliau bakal melancarkan koleksi RTW Keklaa iaitu skirt hasil kolaborasi bersama pereka fesyen terkenal, Ashraff Zainal.