Peningkatan kes jangkitan Covid-19 ketika ini amat membimbangkan. Kes harian jangkitan juga kebelakangan ini mencecah hampir 7 ribu dengan mencatatkan jumlah keseluruhan kes Covid-19 dalam negara melepasi angka separuh juta! Pastinya keadaan ini bukan hanya meresahkan banyak pihak terutama petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus mengekang penularan wabak maut berkenaan.
Prihatin dan bimbang dengan sikap segelintir rakyat yang tidak sedar bahaya yang menanti, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei tampil menyuarakan keresahan di platform media sosial.
Dengan pengaruh dan followers yang ramai, usaha Datuk Chong Wei ini wajar menjadi ikutan atlet dan individu berpengaruh lain bagi mengajak orang ramai mengambil langkah pencegahan mengekang kes jangkitan.
Dalam perkongsian Datuk Chong Wei, beliau berkongsi foto-foto terkini keadaan para frontliners yang semakin keletihan. Ada di antara mereka terduduk rehat sambil masih lengkap berpakaian PPE, basah-kuyup sebaik menanggalkan PPE, kepenatan hingga tidur di kaki lima hospital sehingga ada berjauhan dari keluarga dalam tempoh lama kerana bimbang menjangkiti keluarga.
Pesan tokoh sukan ini, “Saya tahu semua orang penat, frust, takut, kecewa. Tapi cuba bayangkan perasaan frontliners yang tiap-tiap hari berpegang tangan, melekat pipi dengan virus Covid-19, dilindungi hanya sekeping plastik biru.
Apakah perasaan anak-anak mereka, ibu bapa mereka? They are sons, daughters, fathers and mothers too.
6,735 orang frontliners kita disah positif, 5 telah meninggal dunia akibat virus Covid-19, angka ini tidak termasuk mereka yang terkorban disebabkan kepenatan badan dan minda yang teramat. Saya harap kawan-kawan semua boleh membantu kurangkan beban mereka, stay home!
Asalkan semua duduk rumah, virus tidak dapat cari mangsa, virus akan mati! Menanglah kita! Marilah kita bersama-sama bagi kata-kata sokongan kepada frontliners kita.”
Sebagai bapa kepada dua anak kecil, sudah tentu situasi pandemik ketika ini merisaukan Datuk Chong Wei dan isterinya, Datin Wong Mew Choo. Walau sudah bersara dari dunia sukan namun Datuk Chong Wei aktif mengikuti perkembangan semasa dan aktiviti kebajikan.
Kredit: Instagram Datuk Lee Chong Wei