
Isi Kandungan
ToggleDahulu nama Nor Eleena Hamzah atau nama pentasnya Eleena Sui sempat memuncak ketika memegang watak antagonis Inara dalam sebuah drama fenomena ‘Suri Hati Mr.Pilot’ bersama Neelofa dan Fattah Amin.
Namun, semenjak melangsungkan perkahwinan bersama jejaka pilihan yang juga seorang peguam, Ahmad Faisya Mohd Bustamam pada 4 Februari 2017. Perjalanan karier seni, bekas model dan pengacara program hiburan Hlive itu dilihat mulai perlahan.
Tak Terasa, Sudah Setahun Setengah Berhijrah
Malah, apa yang membuatkan peminat terkejut dalam masa sama teruja dan gembira apabila tahun lalu, Eleena berkongsi sebuah berita gembira menerusi laman Instagramnya dengan memuatnaik sebuah video memperlihatkan perjalanan serta momen bahagia dalam hidupnya termasuk detik penghijrahannya mengenakan hijab.
Sebuah portal infortainment, turut melaporkan bahawa ibu kepada seorang cahaya mata perempuan itu kini sudah berhijab sepenuhnya dan masih kekal istiqamah sehingga kini sejak setahun setengah yang lalu.
Harap Allah Kurniakan Istiqamah, Meski Tak Mudah
Sepanjang tempoh berkenaan, Eleena tidak henti-henti memohon agar orang ramai terus mendoakan dia agar kekal istiqamah dan terus patuh pada perintah agama.
“Saya berharap agar Allah SWT dapat terus memberi petunjuk dan merahmati perjalanan berhijab saya. Semoga Allah kurniakan istiqamah dan kesabaran di dalam kisah hijrah saya”, ujarnya.
Menurut pelakon berusia 31 tahun ini, dia kini sedang dalam fasa memperkukuh ilmu agama dan menyesuaikan diri dengan cara hidup yang lebih baik meskipun sedikit sukar.
Mengintai ruangan komen hantaran-hantaran Eleena yang terbaru, dilihat ramai peminat dan rakan-rakan artis mendoakan serta memberika kata-kata semangat kepada Eleena.
NONA juga mendoakan agar segala urusan Eleena Sui dipermudahkan dan semoga kekal istiqamah.
Sekadar info, dilahirkan dalam keluarga campur dimana ibunya berbangsa Cina dan bapanya yang berbangsa Melayu, Eleena Sui merupakan seorang model, pengacara dan pelakon wanita Malaysia.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Sumber foto: Instagram @eleenasui , Oh Bulan
Balik Dari OUTSTATION, KAKITANGAN SYARIKAT Positif COVID-19, Kini Anak Pula Di HOSPITAL

Sekarang ini penularan wabak Covid-19 semakin menjadi-jadi. Gelombang kedua yang melanda negara membuatkan kes semakin meningkat dari hari ke hari. SOP langsung tidak di ambil peduli. Saranan kerajaan juga menggalakkan kakitangan untuk bekerja dari rumah tetapi terdapat sektor yang memerlukan mereka masih menjalankan urusan di pejabat.
Baru-baru ini ada perkhabaran yang menarik perhatian. Seorang kakitangan disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari bekerja di luar kawasan. Belum lagi saranan PKPB dikuatkuasakan namun tempat persinggahan atas urusan kerja itu berada di negeri yang mencatat jumlah kes paling tinggi di Malaysia. Kisah yang dikongsikan Harlina Arshad ini boleh membuka mata masyarakat terutamanya majikan untuk mengambil serius soal kesihatan kakitangan.
“Perjuangan saya melawan Covid-19 terasa sungguh lama. ‘Penginapan’ sementara di hospital hampir membuatkan saya depress. Mana tidaknya, asyik memikirkan tanggungjawab yang terabai kepada suami dan paling penting, anak-anak yang masih kecil. Anak kedua saya juga disahkan positif walaupun tidak menunjukkan sebarang simptom.
Semuanya bermula apabila saya keguguran baru-baru ini. Selesai cuti berpantang, saya masuk ke pejabat seperti biasa. Apabila diarahkan untuk ke luar kawasan atas tugasan rasmi di Selatan tanah air, saya terima dengan hati yang terbuka. Tugas itu adalah amanah, tak apalah kan? Itu bisikan hati saya.
Selesai sesi mesyuarat, kami sama-sama makan tengah hari. Saya duduk berselahan seorang ahli mesyuarat tanpa mengetahui keadaan kesihatan beliau ketika itu. Itu juga adalah satu-satunya masa saya membuka pelitup muka. Masa makan kan? Mestilah buka mask! 30 minit lebih kurang masa saya bersama ketika lunch hari itu,” tulisnya.
Ikutkan jadual perjalanan Harlina, dalam sebulan itu terlalu kerap dia ke luar kawasan. Ke sana sini memandu sendiri dan berjumpa ramai orang. Penat jangan ceritalah. Sehingga pada suatu hari, dia mulai terasa kepenatan dan badan mulai menunjukkan tanda.
“Disebabkan penat, saya mengambil MC. Masih sihat lagi tapi keesokannya harinya, dalam perjalanan nak ke lif untuk balik rumah, terasa sakit pada pinggang dan sendi. Lepas itu mula pening-pening dan sakit kepala. Bila berdiri, rasa hendak jatuh! Sejak itu saya memang duduk di rumah. Memang selepas itu badan semakin sakit dan saya ambil keputusan ke klinik. Anak-anak saya hantar ke rumah ibu.
Enam hari selepas pulang dari outstation, saya mendapat perkhabaran ahli mesyuarat yang duduk sebelah saya sewaktu lunch break disahkan positif akibat jangkitan dari suaminya. Tiba-tiba anak saya yang sulung pula mula menunjukkan tanda-tanda selsema, batuk dan sakit-sakit badan. kami terus ke hospital untuk buat swab test. Tak tunggu lama, esoknya suami hubungi hospital untuk tahu keputusan.”
ANAK UMUR 2 TAHUN POSITIF COVID
Seperti yang dirasai, Harlina disahkan positif. Tetapi, anaknya yang menunjukkan tanda-tanda negatif. Namun, ia tidak hanya sampai di situ.
“Wakil dari Pejabat Kesihatan menghubungi saya untuk ambil keterangan dan ambulans akan datang mengambil saya jam lima petang. Saya terpaksa menyuruh mereka tunggu di pagar guard house dan siren dimatikan. Bimbang nanti jiran-jiran panik. Dalam ambulans, hanya Allah tahu perasaan saya. Dan dalam ambulans juga saya menangis. Saya tak mahu mengalirkan air mata depan Aina, anak saya. Entah balik entah tidak… Adakah ini pertemuan terakhir saya dengan suami dan anak-anak.
Apabila saya disahkan positif, seorang lagi anak perempuan saya, Aisyah di bawa unutk swab test. Keputusannya dalam 24 jam. Hari ini, deria bau dan rasa mula hilang. Dada pula mula sakit dan sukar bernafas. Keesokannya suami menghubungi saya dan Aisyah disahkan positif!
Baru sesaat tadi saya dapat berita Aisyah positif, fikiran dah mula membayangkan sampai ke ajalnya. Allahuakhbar… Saya mula tak senang duduk. Setiap setengah jam saya hubingi suami untuk tahu keadaaan di sana sedangkan saya sudahpun berada di Hospital Sunga Buloh. Beberapa jam selepas itu, suami beritahu Aisyah dah naik ambulans. Fikiran saya menerawang membayangkan Aisyah naik ambulans seorang diri. Dia takut orang yang dia tak kenal. Nak lagi dengan orang yang lengkap PPE, lagi dia takut…dan itu membuatkan saya lebih tak senang duduk.
Saya berwuduk dan solat hajat. Doa banyak-banyak minta Allah lindungi Aisyah dan seluruh ahli keluarga. Dah hampir satu jam, Aisyah masih tak sampai. Rupa-rupanya suami beritahu ambulans terpaksa patah balik kerana tak sampai hati melihat Aisyah meraung. Tiba id hospital, kami dapat duduk satu wad. Sebaik Aisyah masuk pintu bilik, saya menangis sekuat hati. Tak hirau langsung orang keliling. Air mata Aisyah pun gugur sebaik melihat saya depan mata. Nampak sangat wajahnya keliru,”kata Harlina.
PERJUANGAN SELESAI
Hampir 10 hari di hospital. Harlina hanya hilang deria bau dan rasa. Sekejap sahaja demam, batuk, selsema dan sakit tekak. Dan doktor beritahu, virus Covid sedang mengganggu sistem badan.
“Dada masih sakit, susah untuk bernafas. Aisyah sihat. Di hospital, 24 jam kami perlu memakai mask. Ya Allah…nikmatnya kalau ada di rumah, makan di rumah dan main-main macam biasa. Kasihan Aisyah. Langsung tak ada simptom tapi terpaksa ‘terpenjara’ di sini. Masa ini, saya sangat-sangat menghargai saat-saat di luar. Boleh juga buka mask sekejap.
Akhirnya perjuangan kami hampir tamat. Kami dibenarkan pulang. Sementara di hospital, macam-macam rupa-rupanya terjadi di luar. Terlalu banyak berita palsu mengenai kami bertebaran di sosial media. Ada yang mengatakan sebuah kedai di pusat membeli-belah tutup kerana kami sedangkan sejak balik dari outstation, kami tidak ke mana-mana.
Lebih sedih apabila penduduk kawasan perumahan ibu saya mula menuding jari dan takut bertemu ibu. Penyebar berita palsu sakan buat fitnah. Mujur ada yang tahu mengenai kami dan menjelaskan keadaan sebenar. Sakit, tapi apakan daya, saya tak mampu nak tutup mulut orang.
Apabila berlakunya keadaan ini, saya bersyukur kerana doa keluarga dan kawan-kawan menjadi asbab kesembuhan. Ramai yang memberi semangat kerana saya terlalu down dan letih. Memang sangat penting kata-kata semangat saat itu.
Dan, perkata paling penting adalah jaga SOP. Virus Covid merebak dengan sangat…sangat pantas. Mujur kami tidak ada penyakit kronik. Kami berjuang tanpa ubat. Bayangkan andai ini terjadi pada mereka yang berisiko tinggi?” akhiri Harlina.
“Dugaan Memang Tak Pernah Habis” Sering Terpalit Kontroversi, YAANA LEE Tak Mudah Mengalah

Di sebalik jenama terkenal Leeyanarahman, siapa yang tidak kenal dengan usahawan muda berusia 31 tahun, Nur Liyana Abdul Rahman atau lebih mesra dengan panggilan Yaana Lee ini. Tidak berseorangan menggemudi empayar perniagaan, Yaana Lee turut dibantu oleh suaminya, Muhammad Hafiz Abdul Hamid yang merupakan tulang belakang utama di sebalik jenama Leeyanarahman.
Bukan mudah menjadi seorang public figure apatah lagi dikenali dalam dunia perniagaan. Ada saja dugaan yang menerpa. Pantang silap sedikit pasti menjadi ‘buah mulut’ khususnya di kalangan warga maya (netizen). Antaranya isu fashion show dan rentas negeri. Pun begitu, bagi Yaan Lee dia punya alasan tersendiri pada setiap perkara yang dilakukan. Apa yang penting dia dan suami menyelesaikan setiap isu yang berbangkit secara profesional.
“Bercakap tentang dugaan memang tidak pernah habis. Saya sendiri tidak nafikan setiap tahun kami pasti akan berdepan dengan dugaan lebih-lebih lagi setiap kali menjelang musim perayaan. Seperti mana isu yang tular baru-baru ini tentang fashion show Leeyanarahman sehingga dikecam teruk oleh warganet. Majlis tersebut dikatakan gagal mengikut SOP seperti mana ditetapkan.
“Sejujurnya perkara ini berlaku di luar jangkaan. Sebagai manusia biasa adakalanya kita akan terlepas pandang dan di luar kawalan kami. Namun saya sendiri tidak ambil mudah dan bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Bohonglah kalau tidak rasa tertekan. Saya ambil masa dalam beberapa hari untuk bertenang dan berfikir. Kemudian saya da suami sepakat untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kerana itulah yang terbaik demi menjernihkan keadaan. Alhamdulillah isu tersebut beransur reda.
Saya ambil pengajaran dan sedar bahawa dalam berniaga kita perlu bersikap profesional. Di samping itu, kita juga perlu ada sikap realistik iaitu jujur dengan setiap keputusan yang bakal dibuat. Sentiasa berpijak di bumi yang nyata dan memandang kepada keadaan semasa.
BISNES
Mula menerajui dunia perniagaan pada usia 23 tahun bukan satu perkara yang mudah. Apatah lagi ketika itu masing-masing mempunyai komitmen sebagai pelajar di salah sebuah universiti tempatan. Pun begitu, kerana minat dalam dunia perniagaan kedua-duanya dapat menyeimbangkan komitmen sebagai pelajar dan usahawan dengan baik. Impian bergelar graduan ijazah sarjana muda dalam bidang kewangan serta usahawan sukses berjalan seiring.
“Kami memulakan perniagaan sekitar tahun 2012 secara online. Ketika itu kami sedang menuntut di universiti yang sama dan belum bergelar suami isteri. Permulaannya agak mencabar juga kerana perlu seimbangkan antara belajar dan berniaga. Namun kami anggap cabaran itu sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya.
Segalanya bermula apabila saya mereka busana hari raya yang saya reka dan jahit sendiri, kemudian memuat naik gambar busana tersebut di laman sosial. Tidak sangka pula ramai yang bertanya dari mana saya membelinya. Dari situlah terdetik untuk mengeluarkan modal bagi menghasilkan busana untuk dijual. Modal yang kami keluarkan berjumlah RM1500 dan kami berjaya menghasilkan 14 helai busana.
Alhamdulillah semuanya laris dijual dalam masa sejam sahaja. Dari keuntungan tersebut kami menggandakan jumlah busana yang dihasilkan sedikit demi sedikit bermula dari 14 kepada 28. Kemudian menjadi 36 helai sehinggalah kami mampu menjual dalam skala yang besar. Selepas itu kami menghentikan rekaan tersebut dan bermula lebih serius dalam menghasilkan rekaan busana yang lain,” kongsi ibu kepada Tyara Luthfia yang kini berusia dua tahun.
Menurutnya, dia dan suami menggunakan duit pinjaman PTPTN sebagai modal permulaan. Berkat kesungguhan mereka akhirnya jenama Leeyanarahman semakin terkenal.
Pada tahun 2014 pasangan ini mendirikan rumahtangga sekaligus memudahkan lagi urusan mereka dalam perniagaan. Langkah menjadi lebih jauh terutama atas urusan kerja. Dua bulan berkahwin mereka membuka sebuah butik fizikal di Bangi Sental. Bermula hanya berada di tingkat satu, setahun kemudiannya mereka berjaya memiliki bangunan sendiri setinggi lima tingkat atas nama Leeyanarahman.
KESAN PANDEMIK COVID-19
Langit tidak selalunya cerah. Begitulah juga dunia perniagaan, tidak selamanya indah belaka. Ada onak dan duri yang harus ditempuh. Pandemik COVID-19 telah menjadi cabaran utama ketika ini khususnya terhadap ekonomi dunia. Segalanya berubah secara total sehinggalah tercetusnya norma baharu.
Jenama Leeyanarahman turut merasai impaknya sehingga Yaana Lee terpaksa menutup butik fizikalnya dan hanya memberi tumpuan terhadap perniagaan online. Pun begitu, di sebalik apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.
“Tidak dinafikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dahulu ia benar-benar memberi tamparan hebat terhadap jenama Leeyanarahman. Impaknya sangat besar sehinggalah kami terpaksa menutup butik fizikal. Kini kami hanya memfokuskan kepada perniagaan online sahaja. Insha-Allah, andai pandemik ini berakhir kelak kami mungkin akan membuka semula butik tersebut.
Kesan lain ialah impian kami untuk membuka butik di Jakarta pada tahun lalu terpaksa ditangguhkan gara-gara COVID-19. Permintaan sangat tinggi di Indonesia, itulah salah satu punca kami berhasrat untuk membuka butik di sana. Namun belum ada rezeki lagi buat masa ini. Semoga pandemik ini segera berakhir dan dapatlah kami meneruskan impian yang masih belum tercapai ini.
Apa pun kami tetap bersyukur kerana sejak memperkukuhkan perniagaan online, kami dapat membantu ramai orang terutama yang hilang pekerjaan. Antaranya dengan menawarkan untuk menjadi reseller dan personal shopper Leeyanarahman. Kami turut membuka peluang kepada mereka untuk menyertai program Usahawanita Leeyanarahman. Untuk program ini mereka hanya perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM50 dan dapat menjana pendapatan sampingan serta diberikan komisyen.
NASIHAT BUAT USAHAWAN
Prinsip saya, semua orang boleh berniaga pakaian tetapi pentingnya ada minat. Kalau ada kemahiran menjahit itu satu bonus. Selain itu, kalau berniaga pakaian perlu ada identiti sendiri contohnya menghasilkan rekaan yang unik dan tersendiri. Saya sendiri ada kemahiran menjahit maka saya akan buat semuanya sendiri bermula dari melukis, menghasilkan embroidery dan sebagainya. Idea baru, ada identiti sendiri. Orang boleh ceduk rekaan kami tetapi mereka tidak boleh tahu idea-idea baru yang bakal menyusul.

Semua koleksi Leeyanarahman adalah ready-made dan custom made. Walaupun ketika ini keadaan ekonomi sangat mencabar namun alhamdulillah sambutan yang kami terima sangat bagus lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.
Bagi mereka yang berhasrat untuk memulakan perniagaan, perkara paling utama ialah minat atau fokus. Ini kerana ianya akan memudahkan perjalanan perniagaan kita di kemudian hari. Jangan sekadar mengikut trend atau terpengaruh dengan yang indah-indah sahaja kerana bimbang perniagaan anda itu tidak kekal lama. Bila ada minat, walau sebesar mana pun cabaran yang datang kita pasti kuat menghadapinya kerana kita ada matlamat yang jelas.
Sebab itulah minat saya terhadap fesyen tidak pernah pudar walau apa pun cabaran datang termasuk kecaman-kecaman dari luar. Sejujurnya, apabila kita berada di atas tidak semua senang melihat kita berjaya. Namun, itulah sebenarnya yang menjadikan saya dan suami lebih kuat dan bersemangat,” akhiri Yaana Lee yang sentiasa turun padang bersama team Leeyanarahman dalam setiap urusan perniagaan. Jelas membuktikan bahawa dia seorang ketua yang sentiasa ambil tahu akan kebajikan staf.
Selain fesyen, Yaana Lee turut mengusahakan 2 lagi jenama miliknya yang masih baharu iaitu Ynalee Beaute dan Tepung Pengaseh.
Kredit Foto: Instagram @yaana.lee
Bersalin di Amerika, Nikita Willy & Indra Priawan Kembali Ke Jakarta. Bilik Bayi Tema Safari Sambut Kepulangan Baby Issa

Siapa yang tidak kenal dengan selebriti Nikita Willy selebriti Indonesia yang terkenal sebagai pelakon dan ahli perniagaan yang berjaya. Bukan setakat itu sahaja, Nikita Willy antara selebriti yang sering mempamerkan percutian ke luar negara dan boleh dikatakan telah banyak negara di muka bumi ini telah dijejakinya.
Di laman Instagram miliknya, Nikita sering memaparkan koleksi foto percutian bersama suaminya sebelum mereka mendirikan rumahtangga lagi. Nikita Willy rasmi disunting Indra Priawan Djokosoetono pada 16 Oktober 2020 lalu. Untuk rekod, Indra merupakan pewaris syarikat teksi terkemuka Indonesia, Blue Bird Group.
Indra Priawan merupakan pewaris Blue Bird Group, perusahaan teksi Blue Bird yang sudah beroperasi di Indonesia lebih dari 40 tahun. Sebelum perkhidmatan pengangkutan secara online diperkenalkan, teksi biru ini jadi salah satu pengangkutan utama di Indonesia. Lulusan Universitas Indonesia jurusan Teknik Mesin 2013 turut mempunyai beberapa perniagaan yang diusahakan di bawah nama PT Indra Investama.
Tidak hanya mengabadikan di laman media sosial peribadi, Nikita dan suaminya, Indra Priawan turut menyusun dengan rapi foto-foto perjalanannya ke perbagai negara di salah satu dinding di kediaman mewah pasangan ini yang terletak di Jakarta Indonesia.
Umum mengetahui Nikita selamat melahirkan anak sulung pada 8 April 2022 yang lalu. Lebih istimewa, bintang Indonesia ini memilih melahirkan bayi lelakinya di Amerika Syarikat.
.Bayi lelaki yang diberi nama Issa Xander Djokosoetono lahir dengan berat 3.25kg disambut oleh Dr Thais Alia Badi, doktor berkenaan turut menyambut kelahiran bilionair muda, Kylie Jenner. Cedar-Sinai Medical Centre sering menjadi pilihan selebriti A -lIst Hollywood menyambut kelahiran anak antaranya termasuklah Kim Kardashian, Beyonce, Kate Hudson, Pink dan Victoria Beckham.
Terdahulu, Nikita dan Indra memilih untuk menetapseketika di Los Angeles sebelum kembali ke Jakarta pada awal Ogos lalu selepas anaknya mencecah usia 4 bulan. Sejak akhir tahun lalu, Nikita dan Indra Priawan tinggal sementara di Amerika Syrikat hingga putranya, Issa Xander Djokosoetono lahir dan cukup umur untuk pulang ke Indonesia.
Kepulangan Indra dan Nikita sememangnya menjadi saat paling istimewa buat keluarga besar mereka yang tidak sabar menatap wajah mungil Issa Xander Djokosoetono atau diberi gelaran Baby Izz. Tidak cukup dengan itu, nampaknya peminat teruja setiap kali Nikita memuat naik kisah Baby Izz termasuklah dekorasi bilik si kecil yang bertemakan safari.
Bertema safari, kamar baby Izz didominasi warna nude dan coklat. Bukan hanya itu, kamar baby Izz juga banyak dihias dengan boneka dan soft toy bertemakan haiwan. Berbagai kelengkapan dengan nuansa hutan dan haiwan menghiasi kamar Baby Izz yang nampak selesa dan nyaman.
Beruntungnya Baby Izz dilahirkan dalam keluarga berada yang mementingkan keselesaan. Lebih selesa membahasakan diri sebagai ibu, Nikita Willy tidak sabar melihat buah hati kesayangannya membesar di depan mata dan sepakat memilih mengasuh anak mengikut acuan yang diterapkan oleh dia dan suaminya.
Foto: Koleksi Instagram @nikitawillyofficial94