Kelmarin, isu video promosi kempen kerajaan yang dilakukan oleh pelakon terkenal Datuk Rosyam Nor dan Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun tular dan menjadi bualan ramai. Mana tidaknya, klip video membabitkan kementeriannya yang memaparkan pelakon Rosyam Nor dianggap sebagai memperlekeh dan menjatuhkan maruah dan martabat wanita.
Dalam satu kenyataan di hantaran Twritter nya, YB Hannah Yeoh yang juga bekas Ahli Dewan Negeri Selangor kawasan Subang Jaya berkata ini bukan kali pertama Rina menggunakan publisiti yang memalukan kementerian.
“Lebih teruk lagi, Rina dan pegawai Yayasan Kebajikan Negara hanya berdiri dan tersenyum apabila dilemparkan cacian terhadap wanita,” katanya merujuk kepada video TikTok yang viral semalam. Selain itu, lagak Rosyam bercakap menggunakan bahasa samseng, dipercayai meniru watak ‘Tailong’ dalam filem KL Gangster 2 dilihat agak keterlaluan dalam video promosi untuk program keusahawanan kementerian itu.
Kedua-dua pihak baik dari kerajaan mahupun pembangkang dilihat tidak senang dengan dialog Rosyam yang didakwa memperlekehkan wanita. Dalam klip tersebut, Rosyam berkata wanita “sentiasa bangun lambat” dan bahawa “aku nak belasah kepala korang”, dengan Rina yang tersenyum melihat gelagat pelakon itu.
Isu ini turut disuarakan oleh YB Dato’ Sri Azalina Dato’ Othman Said. Beliau yang menulis di hantaran Twitter nya berkata, “YBM, elok @KPWKM ditukar kpd “Kementerian Pembangunan Keluarga”, buang je perkataan “wanita”. Senang kerja. Rugi semua usaha Kem dlm isu Menentang Keganasan thdp wanita bagai Mencurah Air ke Daun Keladi. Kesian.
Namun melalui kenyataan balas Datuk Rosyam Noor menerusi portal Mstar, beliau berkata, perkataan yang ditutur tidak perlu difahami secara negatif, sebaliknya hendak dilihat dari sudut positif. “Program yang saya jalankan itu memberi semangat dan kesedaran untuk kaum wanita bangkit dalam perniagaan”.
Isu ini bila dilihat agak sensitif apabila melibatkan gender. Mungkin penggunaan bahasa untuk mempromosi boleh disusun dengan lebih kemas, memandangkan negara Malaysia terkenal dengan masyarakatnya yang berbudi dengan adab yang sopan kala tertutur. Apa pula pendapat pembaca setia kami?
This website uses cookies.