
Cuaca yang panas terik, ditambah situasi kes COVID-19 yang meningkat serta kebosanan duduk di rumah kini boleh diatasi dengan memesan minuman terbaharu di pasaran.
Dua pilihan Nona untuk menghilangkan dahaga adalah dari Costa Coffee dan The Coffee Bean & Tea Leaf. Menariknya, perisa baharu yang ditawarkan menepati selera ramai iaitu karamel dan matcha.
SORAKAN OLIMPIK
Costa Coffee memperkenalkan rangkaian minuman Golden Caramel untuk meraikan penajaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang sedang berlangsung sekarang. Kalau beli sekarang dapat sekali cawan edisi khas Tokyo 2020 tau!
Aroma karamel yang manis bercampur kopi asli menjadi keistimewaan minuman baharu Costa Coffee. Rangkaian tersebut menampilkan Tokyo Gold Latte, Tokyo Gold Iced Latte, Tokyo Gold Frostino, dan Golden Tokyoccino dalam pilihan panas atau sejuk.
SESUAI MUSIM PANAS
Satu lagi kesukaan Nona adalah Ice Blended The Coffee Bean & Tea Leaf iaitu Matcha Strawberi dan Matcha Hazelnut. Keseronokan yang kecil meneguk minuman ini sambil menikmati kek mampu membantu kita berehat lebih baik pada waktu PKP ini.
Tak cukup minuman ice blended semata, pesan juga menu lazat Poppin’ Summer Salad yang ceria, gandingan cape gooseberry, bayam kecil dan ayam popcorn rangup ditaburi kuah salad sitrus yang segar. Memang sedap!



Tak perlu keluar rumah untuk memesan minuman-minuman ini. Semuanya di hujung jari, cuma tempah secara online dan tunggu ia dihantar terus ke rumah. Lebih selamat dan mudah, bukan?
Selamat menjamu selera. Bertenang dan luangkan masa dengan orang tersayang.
Fakta Menarik Tentang Beras Yang WAJIB ANDA TAHU! Lepas Ini Jangan Tertipu Beli Beras Tiruan Pula

Mengenali jenis-jenis beras mungkin mudah namun untuk memilih beras terbaik memerlukan pengetahuan yang luas. Tidak dinafikan ramai pengguna lebih tertarik melihat fizikal beras yang putih bersih berbanding kualiti beras tersebut.
Salah satu aspek yang perlu diambil kira semasa memilih beras adalah butir beras yang diberi pewarna putih kimia seperti klorin dan aroma kimia pandan. Beras berkualiti dapat ditentukan melalui bentuk, kadar air dan kepanjangan beras.
Produk beras yang baik biasanya hanya memiliki kandungan beras hancur yang kecil dan kotoran seperti batu.
Bagaimana Mengenal Pasti Beras Yang Mengandungi Bahan Kimia?
Ada di antara peniaga yang mengambil kesempatan menggunakan pelbagai bahan kimia untuk membuatkan beras kelihatan cantik sekali gus menarik perhatian pembeli. Antara bahan kimia yang digunakan adalah seperti berikut:
(1) Pelicin
Beras yang mengandungi bahan kimia pelicin biasanya sangat licin ketika diramas. Jika ia mengandungi bahan kimia, biji beras akan melekat dengan banyak pada tangan. Begitu juga sebaliknya.
(2) Pewangi
Bahan pewangi yang dimasukkan ke dalam beras hanya mengeluarkan aroma wangi dalam tempoh yang singkat terutamanya apabila baru dibuka.
(3) Pemutih
Agak sukar untuk menentukan kandungan bahan pemutih di dalam beras. Namun, jika beras kelihatan terlalu putih dan tidak berwarna tulen seperti kekuningan, ia mungkin petanda beras tersebut mengandungi bahan kimia.
(4) Pembunuh kutu
Ada kalanya beras yang sudah lama akan mula berkutu. Kehadiran kutu menunjukkan beras tersebut tidak mengandungi bahan kimia. Justeru, elakkan menyimpan atau mengguna beras yang sudah terlalu lama agar tidak menjejaskan kesihatan anda.
Jenis-Jenis Beras
Terdapat pelbagai jenis beras yang ada di Malaysia. 5 jenis beras ini merupakan antara beras yang paling digemari masyarakat tempatan.
BERAS SIAM
Ia adalah beras import dari negara jiran. Beras Siam tergolong dalam kategori beras panjang dan mempunyai banyak jenis yang dijual di sini. Selain bentuknya yang panjang, beras Siam dikatakan lebih enak dan lembut.
BERAS BASMATI
Diimport dari India dan Pakistan. Sesuai untuk memasak nasi beriani, tomato dan nasi minyak yang sering digunakan untuk sajian majlis perkahwinan atau keramaian.
BERAS TEMPATAN
Beras yang ditanam di negara ini dengan pelbagai gred. Kebiasaannya, ia ditanam daripada jenis gred Super hingga gred beras biasa.
BERAS PULUT (PUTIH DAN HITAM)
Beras pulut putih biasanya digunakan untuk memasak ketupat dan tapai. Beras pulit hitam pula banyak ditanam di utara tanah air untuk kegunaan memasak seperti bubur.
BERAS PERANG
Ia adalah beras biasa tetapi tidak menjalani proses pembersihan seperti beras putih. Berserat tinggi dan baik untuk kesihatan terutamanya bagi pesakit diabetes. Suziana Abu Daud
Tak Perlu Pergi Jauh Untuk Nikmati 7 CITARASA ASIA. SUNWAY HOTELS & RESORTS Bawa Menu Ini Untuk Anda!

Sunway Hotels & Resorts baru-baru ini memperkenalkan menu ala carte Signature Dishes yang mengetengahkan tujuh menu kegemaran serta menu pilihan yang disediakan oleh Ketua Chef di Sunway Hotels & Resorts Malaysia, Cambodia dan Vietnam.
Menu-menu ini boleh didapati setiap hari dari jam 11 pagi hingga 11 malam di The Resort Café, Sunway Resort Hotel & Spa, Café West di Sunway Clio Hotel, Coffee House di Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur, Sun Café di Sunway Hotel Georgetown dan Sunway Hotel Seberang Jaya. Lebih istimewa, ia juga boleh dinikmati di The Restaurant, Sunway Hotel Hanoi dan Sun Café di Sunway Hotel Phnom Penh.
Pada sesi bersama media baru-baru ini yang diadakan di Sunway Hotels & Resorts, wakil media diberi peluang menikmati hidangan signature dishes antaranya termasuklah Nasi Ayam, yang disediakan oleh Cef Eksekutif Peter Lee. Hidangan kegemaran masyarakat Cina ini mengetengahkan gaya hidangan autentik yang sememangnya menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Sous Chef Logaraj Danaraj dari Sunway Clio Hotel pula mengetengahkan menu Nasi Lemak Udang Berlada yang lengkap dengan telur separuh masak, ikan bilis goreng, kacang dan timun.
Jika sebut sahaja hidangan kari kepala ikan, ia sememangnya menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Hidangan autentik yang disediakan oleh Executive Chef Rossham Rosli dari Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur ini sesuai dinikmati bersama nasi yang masih panas dan membangkitkan selera!
Selain itu, Char Koey Teow dan semangkuk cendol juga menjadi antara signature dishes yang harus dicuba hasil air tangan Executive Chef How Tat Jui dari Sunway Hotel Georgetown dan Sunway Hotel Seberang Jaya.
Jika anda berkunjung ke Vietnam tidak sah jika tidak menikmati Deep Fried Spring Rolls yang popular sebagai pembuka selera. Executive Chef Nguyễn Diệp Quân dari Sunway Hotel Hanoi menyediakan menu kebanggaan negara Vietnam ini untuk dinikmati sebelum hidangan utama. Gabungan pengaruh Perancis dan Cina dalam hidangan Char Beef Lok Lak yang disediakan oleh Cef Eksekutif Pan Sothea dari Sunway Hotel Phnom Penh melengkapkan lagi menu signature dishes Sunway Hotels & Resorts.
Hidangan tradisi Khmer ini menggunakan daging yang dimasak menggunakan light brown sauce enak dimakan bersama nasi, salad dan telur goreng.
Untuk maklumat lanjut, layari www.sunwayhotels.com untuk tempahan dan merasai sendiri keistimewaan 7 hidangan istimewa ini!
Banyak Resipi Pasta Boleh Dicuba. Sedap Pulak Tu!

Sajian pasta barat pastinya menjadi kegemaran ramai. Namun ramai yang tidak berani mencuba kerana menyangka hidangan ini susah untuk disediakan dan menggunakan bahan-bahan yang sangat mahal. Seleksi sajian pasta barat yang mudah, sedap dan boleh dihasilkan sendiri di rumah tanpa menggunakan kos yang terlalu mahal. Dalam situasi Perintah Kawalan terhad ni banyak menu baharu yang boleh diterokai. Apa salahnya sekali sekala ubah selera dari pasta yang biasa dinikmati kan!
FETUCCINE DAGING PANGGANG
BAHAN-BAHAN:
200gm daging
200gm pasta fettucine | direbus lembut
3 ulas bawang putih | cincang
1/2 biji bawang besar | cincang
1 sudu makan tepung gandum
2 cawan susu segar
3 keping keju cheddar
1/2 cawan keju parmesan
Garam dan serbuk lada hitam secukupnya
1/2 sudu teh oregano
Sedikit air jika perlu
Sedikit daun parsli
2 sudu makan mentega
2 sudu makan minyak zaitun
CARA MEMBUAT: Perapkan daging dengan serbuk lada hitam dan garam. Kemudian panggang hingga masak. Panaskan minyak zaitun dan mentega. Tumis bawang besar serta bawang putih hingga keperangan. Kemudian masukkan tepung gandum. Gaul sebati. Seterusnya masukkan susu. Kacau hingga semua bahan tidak berketul. Biarkan mendidih. Masukkan keju cheddar, keju parmesan, oregano, serbuk lada hitam dan garam secukup rasa. Kacau sebati dan pastikan sos mempunyai kepekatan yang sederhana. Jika terlalu pekat, tambah sedikit air atau susu. Hidangkan bersama spageti, kepingan daging panggang, sedikit keju parmesan dan parsli sebelum dinikmati.
FUSSILI AYAM CENDAWAN
BAHAN-BAHAN:
200gm pasta fussili | rebus lembut
10 biji cendawan | hiris 4
10 biji tomato ceri | dibelah 2
3 ulas bawang putih | hiris
1/2 biji bawang besar | cincang
50gm isi ayam | potong dadu
1/2 tin sos pasta tomato
Garam dan serbuk lada hitam secukupnya
Minyak untuk menumis
CARA MEMBUAT: Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih serta bawang besar hingga keperangan. Kemudian masukkan isi ayam. Masak hingga air ayam kering. Masukkan cendawan dan juga tomato. Tumis sehingga tomato dan cendawan masak sepenuhnya. Tuang sos pasta dan gaul rata. Perasakan dengan garam dan serbuk lada hitam secukupnya. Akhir sekali, masukkan pasta fussili dan gaul hingga sebati. Sedia untuk dinikmati.
PASTA BOW TIE BERKRIM TELUR PUYUH & ASPARAGUS
BAHAN-BAHAN:
300gm pasta bow tie / farfalle
6-7 batang asparagus | dipotong 1 inci & dicelur
1 cawan heavy cream
2 biji lemon | ambil parutan kulitnya
1/2 cawan keju parmesan parut
6-7 biji telur puyuh | direbus
Garam dan serbuk lada hitam secukupnya
CARA MEMBUAT: Panaskan heavy cream hingga mendidih dan sedikit pekat. Kemudian masukkan parutan kulit lemon dan keju parmesan. Kacau hingga sebati dan keju larut sepenuhnya. Perasakan dengan garam serta serbuk lada hitam dengan secukup rasa. Seterusnya masukkan pasta, telur puyuh dan asparagus. Gaul hingga bersalut sepenuhnya. Rasa dan jika perlu, tambahkan parutan keju atau garam. Sedia untuk dinikmati.
SPAGETI TOMATO BEBOLA DAGING
BAHAN-BAHAN:
400gm spageti | direbus hingga lembut. Toskan
500gm bebola daging sejukbeku
1 biji bawang besar | cincang halus
2 ulas bawang putih | dadu kecil
2 biji tomato | buang biji & cincang
250gm tomato puri
250gm sos tomato
1 kiub pati daging
1 sudu makan oregano kering
2 helai daun bay
1 sudu teh serbuk lada sulah
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis
CARA MEMBUAT: Panaskan kuali dan masak bebola daging hingga keperangan. Jika masak guna kuali biasa, masukkan sedikit minyak supaya tidak melekat. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga wangi. Kemudian masukkan buah tomato cincang, tomato puri, dan sos timato. Masak seketika. Bila sos sebati, masukkan kiub pati daging, oregano, daun bay, lada sulah dan garam secukup rasa. Masak hingga kuah mendidih. Masukkan bebola daging. Gaul rata. Jika kuah terlalu pekat, tambah sedikit air. Angkat dan hidangkan dengan spageti.
MAKARONI & KEJU
BAHAN-BAHAN:
2 cawan makaroni
100gm isi ayam rebus | dadu kecil
2 sudu makan mentega
2 sudu makan tepung gandum
2 1/2 cawan susu penuh krim
4-5 keping keju cheddar
1/2 sudu teh serbuk lada hitam
1/2 sudu teh oregano kering
Garam secukup rasa
CARA MEMBUAT: Didihkan air, masukkan sedikit garam dan rebus makaroni hingga lembut. Toskan air dan ketepikan. Cairkan mentega dan masukkan tepung agndum. Kacau rata dengan cepat hingga tepung dan mentega jadi sebati. Masukkan susu. Kacau rata sehingga kuah tidak berketul. Tambahkan serbuk lada hitam serta garam secukupnya. Masukkan kepingan keju dan kacau lagi hingga keju cair dan semua bahan sebati. Jika terlalu pekat, tambah sedikit susu. Akhir sekali, masukkan makaroni dan isi ayam. Gaul hingga sekata. Sedia untuk dinikmati.