Pengumuman lelaki idaman Jepun yang juga ahli politik muda di sana mengenai berita perkahwinannya mencetus perbualan hangat di media sosial. Shinjiro Koizumi… ahli politik dari Parti Demokrat Liberal yang memerintah dan anak kepada bekas Perdana Menteri Junichiro Koizumi membuat pengumuman gembira tersebut di kediaman rasmi Perdana Menteri Shinzo Abe di Tokyo, Jepun baru-baru ini.
Dalam pengumuman berkenaan, Shinjiro yang empat tahun lebih muda berbanding bakal isterinya turut memaklumkan akan menjadi bapa tidak lama lagi. Shinjiro dilapor bakal mengahwini Christel Takigawa, personaliti televisyen berdarah Perancis-Jepun yang juga
dikenali sebagai wajah kejayaan bidaan Tokyo menjadi hos Olimpik 2020.
Shinjiro mendedahkan dia dan kekasihnya mula bercinta sejak dua tahun lalu sekitar 2018. Christel yang kini hamil dan meniti usia 42 tahun Oktober ini berkata perkenalan mereka berdua sebagai kawan sudah terjalin sejak beberapa tahun lepas sebelum hubungan kedua-duanya menerbitkan bibit-bibit cinta.
Kongsi Shinjiro, “Apabila bersamanya, saya boleh lupakan zon pertempuran politik, meninggalkan perisai, menjatuhkan senjata dan bertenang. Saya menjadi diri sendiri, ini benar-benar membantu saya.” Bagaimana pun dia tidak memberi sebarang petunjuk mengenai tarikh perkahwinan sebaliknya menyatakan Christel dijangka bersalin pada awal tahun depan.
Mengintai latar belakang Shinjiro, jejaka kacak ini mewarisi bakat politik bapanya yang pernah menjadi Perdana Menteri Jepun dari 2001 hingga 2006. Berdasarkan kaji selidik Asahi Newspaper Daily pada bulan Mei, Shinjiro meraih undian tertinggi sebagai pengganti
Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe… mengalahkan enam calon berkaliber lain dengan 32 peratus undian adalah dari kaum wanita.
Meneliti latar belakang Christel pula, wanita bertuah ini dilahirkan di Paris dan mewarisi darah kacukan Perancis dari bapanya serta telah berkhidmat sebagai penyampai berita di Jepun untuk sekian lama. Dia mula dikenali selepas berbicara mengenai layanan tradisi Jepun, ‘omotenashi’ secara terbuka dalam usaha Tokyo membida untuk menjadi tuan rumah kejohanan sukan terulung itu.
Yang pasti, pengumuman ini menjadi topik paling hangat di Twitter Jepun ketika ini dengan rata-rata masyarakat di sana teruja dan terkejut mengetahui perkhabaran ahli politik muda paling menjadi idaman tersebut bakal menamatkan zaman solo.
Sumber: South China Morning Post
This website uses cookies.