Hobi membela haiwan peliharaan seperti kucing kian menjadi pilihan lelaki bujang yang tinggal di bandar raya. Majoritinya menjadikan haiwan ini sebagai teman kesunyian, tak kurang juga yang membela kucing kerana sifat haiwan yang lebih setia daripada manusia.
Namun hasil kajian di Colorado State University, Amerika Syarikat mendapati wanita lebih cenderung untuk memilih berpasangan dengan lelaki yang tidak membela atau menyukai kucing.
Dalam kajian ini, responden ditunjukkan dengan empat set gambar membabitkan dua lelaki berbeza.
Setiap lelaki mempunyai dua keping gambar, satu memegang kucing dan satu lagi berseorangan.
Sejumlah 38 peratus wanita mengatakan mereka akan keluar dengan lelaki yang tidak memegang kucing, manakala 37 peratus mengatakan mereka akan mempertimbangkan untuk mempunyai hubungan serius dengan lelaki tersebut.
Namun lain kisahnya apabila responden ditunjukkan dengan gambar lelaki yang sama, tetapi memegang kucing.
Hanya 33 peratus wanita mahu keluar dengan lelaki tersebut, manakala 14 peratus pula mengatakan mereka tidak akan mempertimbangkan sebarang hubungan serius dengan lelaki itu.
“Lelaki yang memegang kucing dipandang kurang maskulin dan tidak sesuai dijadikan teman lelaki,” rumus kajian itu.
Seramai 708 wanita berusia antara 18 dan 24 tahun mengambil bahagian dalam eksperimen yang dijalankan dalam talian itu.
Namun terdapat kemungkinan dapatan kajian ini berubah mengikut stereotaip budaya masyarakat. “Penting untuk kita mengetahui ada kemungkinan wanita di Amerika Syarikat lebih menyukai anjing (dog person) dan bukan kucing (cat person). Jika benar, tidak hairanlah mereka merasakan lelaki yang sukakan kucing kurang maskulin,” dedah pengkaji yang terlibat.
Kalau anda pula, bagaimana? Minat lelaki pencinta kucing atau tidak?
‘Saya Kena Utamakan Suami & Anak Sebab Saya Ibu & Isteri,’ BETTY RAHMAD Nak Berkat Bisnes & Bahagia Rumah Tangga!
Kagum dengan semangat Betty Rahmad! Dalam keterujaan mahu berjaya dalam dunia perniagaan seperti usahawan lain, dia juga berusaha melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu dengan sebaik mungkin. Barulah seimbang dan bisnes makin berkat! Alhamdulillah.
Bertemu dengan superwoman tersebut baru-baru ini, Betty yang terkenal dengan personaliti mesra dan menyenangkan terbuka berkongsi cabaran menjadi usahawan dan ibu kepada anak kecil berusia tiga tahun.
Jelas adik kepada pengarah terkenal Erma Fatima dan aktres popular, Datin Paduka Umie Aida ini, dia bersyukur perjalanan memajukan produk sambal keluarannya semakin diterima ramai.
“Alhamdulillah syukur. Buat masa ini busy dengan bisnes dan anak pun semakin membesar. Sekarang umur dah tiga tahun lebih dan makin aktif. Bisnes makin maju, so far alhamdulillah semua dapat diuruskan dengan baik.”
Mengulas bagaimana dia mampu menguruskan kerjaya dan keluarga dengan baik, ini jawapan jujur Betty. “My priority selalunya memang kepada family. Family adalah yang pertama dan kita sebagai usahawan kena pandailah bahagi masa. Lagi-lagi timing untuk family juga timing untuk kerja.
Macam yang saya cakap tadi, anak saya tengah membesar dan tumpuan saya tentunya lebih kepada dia.”
Ditanya didikan yang diterapkan kepada anak tersayang hingga berjaya membentuk peribadi yang baik terhadap anak, selebriti berusia 41 tahun ini terbuka berkongsi tip.
“Sebenarnya based on dan lebih kepada rutin untuk mendisiplinkan anak. Sebab dari baby lagi saya dah sediakan jadual masa untuk dia.
Memang dari kecil saya dah didik anak dengan masa untuk mereka tidur, main, makan dan sebagainya. Itu semua dia kena ikut dan sekarang dia sendiri dah faham.
Misalnya, pukul 2 petang dia kena nap. Pukul 12 kena makan tengahari. Daripada situ baru kita dapat didik anak kita disiplin dan senang untuk dibentuk. Tak adalah dia tak keruan dan tak tahu nak buat apa seharian.”
Tambahnya lagi, “Saya akui memang struggle dan mencabarlah. Tapi bila kita biasa dan tahu niat kita, inshaAllah semua dipermudah. Cuma kena pandai manage your time. Kunci utama untuk sukses is, manage your time and tahu your priority.
My priority memang anak dan suami. Apa pun saya akan kena utamakan mereka sebab kita wanita dan ibu serta isteri, memang priority family. Tapi at the same time kalau saya nak pergi kerja, saya kena manage time. Macam mana nak bahagi masa untuk anak, untuk suami.”
Betty atau nama sebenarnya Norsha Rahmad Ali mendirikan rumah tangga bersama Ardy Damis pada Februari 2018. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Ardy Wira yang lahir pada 19 Januari 2019.
Betty kini ligat mengusahakan bisnes makanan Betty’s berupa aneka perisa sambal yang dijual di pasar raya besar terpilih. Moga Betty terus sukses dalam perniagaan dan menjadi inspirasi kepada kaum wanita di luar sana.
Bekas Jururawat Kini Jutawan, CTYMARY Bangga FAITH FLEUR Jenama Tempatan Ke Pasaran Antarabangsa!
Kejayaan yang ditempa usahawan muda ini bukan calang-calang. Belum pun mencecah usia 30 tahun tapi semangat Siti Mariam Abdul Samad untuk berjaya dalam perniagaan benar-benar cetus inspirasi. Mana tidaknya, daripada seorang jururawat yang tiada pengalaman dan latar belakang dalam dunia keusahawanan kini merupakan pemilik empayar niaga bernilai jutaan ringgit!
Tatkala ditanya faktor utama yang membuatkan Siti Mariam nekad mahu bergelar usahawan produk rambut berjaya, ini jawapan jujur beliau selaku pengasas Faith Fleur. “Semuanya bermula selepas saya mengalami masalah rambut yang sangat teruk kira-kira lima tahun lepas. Rambut saya gugur dengan banyak dan saya rasa malu berdepan dengan orang ramai selain hilang keyakinan diri.
Saya juga jadi buntu apabila kebanyakan produk yang sudah saya cuba dan guna pun tidak memberi kesan memuaskan. Jadi, saya ambil keputusan untuk mengeluarkan produk penjagaan rambut sendiri,” ujarnya yang tertarik dengan dunia kecantikan rambut sejak zaman remaja lagi.
Yang pasti, jenama produk penjagaan dan kecantikan rambut Faith Fleur yang diusahakan kira-kira tiga tahun lalu merupakan pencapaian paling bermakna bagi isteri Muhamad Abdul Halim Bahadorisam ini. Apatah lagi, dia pernah mengalami kejatuhan dalam bisnes selain menanggung beban hutang yang besar.
“Bayangkan, umur baru 24 tahun tetapi saya terpaksa tanggung hutang keliling pinggang berjumlah lebih daripada RM110 ribu! Selepas berkahwin, saya berdepan masalah kewangan yang serius. Saban hari saya ‘dikejar’ pemungut hutang Ah Long.”
Sebelum bergelar usahawan, Siti Mariam pernah berkhidmat sebagai jururawat di sebuah hospital swasta. Bagaimana pun, beliau memilih untuk meninggalkan kerjaya tersebut kerana mahu memberi tumpuan dalam bidang perniagaan.
Sepanjang tiga tahun mengemudi legasi Faith Fleur di samping suami tercinta, kini Siti Mariam boleh tersenyum bangga apabila hasrat untuk memiliki wisma sendiri akhirnya berjaya direalisasikan. Wisma Ctymary yang terletak di Bandar Saujana Putra, Selangor dijadikan sebagai ibu pejabat Faith Fleur dan sehingga kini Siti Mariam mempunyai seramai 3,000 agen di seluruh Malaysia termasuk Singapura serta Brunei.
Lebih mengujakan, papan iklan berkaitan produknya terpampang luas di segenap lebuh raya utama di seluruh negara. “Alhamdulillah, tahun ini Faith Fleur di bawah Ctymary Resources bakal membuka tiga warehouse di headquarters kami di Bandar Saujana Putra, Bintulu dan Sabah. Selain itu, kami juga baru sahaja menerima empat anugerah daripada mentor Dr Azizan Osman dari Richworks.”
Ujar graduan Diploma Kejururawatan dari Segi College University ini lagi, dia amat bertuah kerana jenama Faith Fleur melonjak naik dan dikenali ramai ketika negara berdepan Covid-19 sejak pertengahan Mac lepas. Malah pasaran Faith Fleur mendapat permintaan luar biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu disebabkan strategi pemasaran yang tepat dan betul.
“Kebanyakan pengguna tertarik dengan Faith Fleur kerana ia bebas kimia berbahaya seperti paraben, sles dan paling utama kerana kami adalah produk keluaran Bumiputra. Sebelum sesuatu produk itu dikeluarkan, saya sendiri dengan rela menjadi ‘tikus makmal’ untuk uji keberkesanan setiap produk Faith Fleur. Daripada feedback yang diterima daripada pengguna, rata-rata mereka menggemari hair serum kerana baunya yang wangi dan tidak melekit. Sebab itu jugalah ia menjadi bestseller Faith Fleur.”
Siti Mariam tanpa berselindung mengakui menjadikan usahawan dan selebriti terkemuka tanah air seperti Noor Neelofa Mohd Noor sebagai pendorong untuk berjaya. Katanya, kesungguhan Neelofa mengurus perniagaan dan kerjaya seni benar-benar mencuri perhatian. Selain Neelofa dia turut menjadikan Dr Azizan Osman sebagai sumber inspirasi.
Kesungguhan pakar motivasi tersebut membimbing dan memberi kata-kata semangat kepadanya sejak awal berniaga dahulu amat bermakna buat Siti Mariam kerana berjaya membentuk dirinya menjadi individu matang, berani dan berpandangan jauh.
Tak Sempat Jaga Arwah Ibu Ayah, ASYALLIEE Nak Bina Rumah Orang Tua & Anak Yatim!
Murninya hati wanita bernama Siti Syasya Rosaelmi Baba atau lebih dikenali sebagai Asyalliee. Kalau arwah ibu dan ayahnya masih ada pasti mereka bangga mempunyai anak yang bukan hanya berjaya dalam kerjaya.
Malah seorang wanita, isteri, ibu dan majikan yang berperibadian tinggi. Walau masih muda tapi kematangan ibu kepada tiga anak ini cukup terserlah.
Genap berusia 25 tahun pada 26 Julai lepas, Asyalliee makin rancak mengurus perusahaan Loveliee Beauty dan Asyalliee Group. Sehingga kini Asyalliee Group sudah pun mempunyai lebih lima koleksi tudung dan pelbagai rangkaian produk penjagaan serta kosmetik Loveliee Beauty.
Ditanya perancangan bisnes, jawapan yang diberikan meluru laju di bibirnya. “Tahun ini saya akan lebih fokus naikkan branding clothing line iaitu Asyalliee Group yang jual tudung dan pakaian ready to wear.
Setelah empat tahun dalam bidang kecantikan, ternyata minat saya lebih kepada fesyen. Sebab itu saya nak fokus kepada branding Asyalliee Group. Saya nak cuba asah kemahiran dan potensi dalam bidang lain pula.
Dalam masa sama mahu ada banyak lebih banyak butik. Tidak kira butik di shop lot mahupun pusat beli-belah.”
Bertahun-tahun berniaga rupa-rupanya Asya ada misi besar untuk dilaksanakan. Katanya, dia mahu menjadikan perniagaan ini sebagai ‘penghubung’ kepada tujuan asal berniaga iaitu membina rumah orang-orang tua.
“Dalam masa 10 tahun akan datang, perniagaan saya dah jadi auto run supaya saya boleh fokus 100 peratus kepada impian selama ini iaitu nak ada rumah anak yatim dan orang tua.
InshaAllah, itu salah satunya tujuan sebab sebagai seorang anak yatim, saya kurang dapat kasih sayang daripada kedua ibu bapa, tak sempat jaga arwah ibu dan ayah, nak balas jasa mereka walau saya tahu mereka tak dapat dibayar langsung.
Dengan apa yang ada sekarang, saya nak buka rumah orang-orang tua untuk buat tempat yang sangat selesa buat mereka. Di samping beri kasih sayang yang sangat banyak daripada saya sendiri dan mereka yang ada di situ nanti. Jika diizinkan, saya juga nak buat madrasah atau perkara yang lebih ke arah keagamaan.”
HIDUP MISKIN
Meniti usia 25 tahun, kehidupan Asyalliee hari ini menjadi inspirasi ramai kerana dia mampu memiliki semua yang diidamkan individu seusianya. Ada suami penyayang, anak-anak comel, bisnes maju, rumah besar, kereta mewah dan populariti.
Namun bagi empunya diri, perjalanan hidupnya tidak seindah yang disangka. Dedah Asyalliee, sejak kecil dia sering dilemparkan dengan kata-kata sindiran dan hinaan daripada orang sekeliling kerana taraf keluarganya yang miskin.
“Dari kecil sejak arwah ayah meninggal, saya lalui kehidupan susah dengan arwah mak sebab arwah mak kerja sebagai tukang masak di kedai. Kami hanya mampu tinggal di suatu tempat sempat yang saya sifatkan bukan sebuah rumah pun. Waktu tu ramai hina arwah mak.
Mak orang Thailand, dengan kerja sebagai tukang masak ramai yang hina dan tak suka dia. Tapi arwah mak sangat kuat dan kalis kecaman. Disebabkan kehidupan kami yang sangat susah waktu itu, arwah mak meninggal dalam keadaan koma.
Doktor sahkan arwah ada barah otak. Bila arwah meninggal, kami terfikir arwah meninggal sama ada kerana keadaan terlalu miskin sampai dia tak tahu ada barah otak sebab hanya makan ubat dan tak buat pemeriksaan kesihatan. Atau arwah mak tahu tapi tak beritahu anak-anak.”
Sejak pemergian arwah, Asyalliee yang merupakan anak keempat daripada lima beradik tinggal bersama kakaknya. Namun masalah lain pula timbul apabila dia didera mental dan fizikal.
Mujur, kakak sulung sempat selamatkan Asyalliee. Dek kerana mahu berdikari, dia sanggup ambil tawaran menjadi model dan review produk di media sosial ketika masih di bangku sekolah lagi. Rezeki tersebut diraih selepas video Asyalliee menjadi tular di media sosial.
REZEKI MELIMPAH
“Ada hikmah dan rezeki lepas video saya viral di media sosial. Orang panggil buat review dan ambil job jadi model. Dalam masa sama saya masih sekolah. Dari situ saya dah start berdikari sendiri sampai sekarang. Habis je belajar saya terus berhijrah ke Kuala Lumpur untuk cari kerja.
Asya inspirasikan diri sendiri sebab orang lain, lain cerita. Kita tak tahu mereka susah bagaimana. Tapi apa yang saya tahu diri saya, macam mana saya bangkit, dari seorang anak orang miskin yang dilemparkan dengan caci maki, tapi saya boleh bangkit dan kalis hinaan.
Dulu saya pernah kena dera. Fizikal dan mental selama setahun tapi kakak sulung selamatkan. Dari situ, apa ujian yang saya lalui sekarang tidak sehebat ujian dulu. Saya masih mampu handle lagi dan mental boleh tangani perkara ini.
Bila orang tanya siapa sumber inspirasi, memang saya jawab diri sendiri sebab bila orang kecam dan maki, saya masih kuat.”
Mendirikan rumah tangga pada usia muda iaitu 20 tahun, Asyalliee berkata dia mengambil keputusan itu untuk mengelak ‘buah mulut’ orang dan mudah baginya ke mana saja bersama suami.
Jelas Asyalliee, mereka hanya bernikah dan tidak berkesempatan membuat majlis resepsi kerana kekangan kewangan.
Sewaktu hamil anak sulung, pasangan ini diuji hebat apabila reputasi mereka tercalar akibat perselisihan faham yang berlaku dengan seorang usahawan. Dengan perut yang kian membesar dan sumber kewangan tidak menentu, mereka akhirnya memutuskan untuk berniaga sendiri.
“Saya terdetik buat perniagaan masa hamil anak pertama. Suami sanggup gadaikan motorsikal yang dia sayang waktu kami bercinta dulu untuk dijadikan modal bisnes. Lepas anak lahir, rezeki kami masuk melimpah ruah. Sebab itu jugalah kami namakan anak sebagai Haider Mikael yang membawa maksud ‘Pemberani pembawa rezeki’.
Kepada kawan-kawan dan sahabat yang sedang diuji, ingat setiap ujian yang diberi Allah terselit hikmah tersendiri dan kena ingat jangan pernah mengeluh. Kalau mengeluh, maka hilanglah nikmat tu. Allah bagi ujian sebab nak angkat darjat kita dan beri kehidupan lebih baik. Jalanilah kehidupan ikut sunnah Rasulullah SAW.”
Asyalliee berkahwin dengan Eboy Arbaain pada 25 Februari 2017. Hasil perkongsian hidup, dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Haider Mikael, Helena Adrianna dan Hayyan.