Meskipun tidak tersenarai sebagai sukan popular Malaysia, namun tumpuan peminat salji terus terarah pada peluncur alpine ski berusia 24 tahun bernama Jeffrey Webb ini.
Sebagai sebuah negara Khatulistiwa yang tidak dituruni salji, penampilan atlet Malaysia dalam sukan luncur ais tentu sekali kurang dihiraukan.
Namun bermula empat tahun lalu, Malaysia mencipta sejarah apabila menurunkan atlet-atlet buat kali pertama di Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang dengan sandaran diletakkan pada Jeffrey Webb serta Julian Yee.
“Layak beraksi dan meletakkan nama Malaysia di atas peta sukan ski dunia benar-benar mengujakan saya!” Jeffrey Webb
Berarak megah sempena upacara pembukaan temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 pada 4 Februari, Olimpian Jeffrey Webb ditemani Aruwin Idami Salehuddin (acara slalom wanita) kelihatan mengetuai kontinjen negara mengibarkan bendera kesayangan kita di Stadium Nasional Beijing.
Sambil itu, anak Malaysia yang berpengkalan di Amerika Syarikat itu turut teruja berkongsi suasana sebenar serta debaran yang dirasai ketika perarakan tersebut di Instastories miliknya.
Merupakan lelaki kacukan Malaysia-Amerika Syarikat, Jeffrey yang mewakili Persatuan Ski Malaysia membuat debut pertama di Sukan Asia Musim Sejuk 2017 di Sapporo, Jepun.
Bakal bertanding dalam acara kegemarannya iaitu Giant Slalom Lelaki, Jeffrey sebelum ini juga pernah mewakili negara di Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang, Korea Selatan 2018.
Meskipun berdepan peluncur-peluncur terbaik dunia, namun Jeffrey berjaya mempamerkan persembahan cemerlang di tempat ke-68 daripada 110 peluncur yang bertanding ketika itu.
Membesar di Washington, Jeffrey mula meminati dunia sukan seawal usia lima tahun lagi, Kini beliau meneruskan minatnya secara profesional dengan menyertai kejohanan di sekitar Kanada dan Amerika Syarikat hingga sekarang.
Kecintaan Jeffrey terhadap salji dan sukan membuatkan beliau tekad mewakili negara meskipun tanpa sebarang tajaan dana daripada Kementerian Belia dan Sukan. Beliau berlatih meluncur salji enam hari seminggu dan kerap ke gimnasium untuk membina otot.
Memetik temu bual beliau di sebuah portal dalam talian, Jeffrey berkongsi minatnya terhadap sukan ini.
“Ski alpine adalah sukan yang unik kerana ada banyak perkara berubah-ubah dan sukar dikawal. Faktor cuaca, course sets, kondisi salji, pesaing dan bentuk gunung-ganang yang berbeza menjadi cabaran utama.
Kadang-kadang saya perlu meluncur salji di dalam hujan dan ada masanya saya gagal menamatkan perlumbaan. Setiap atlet perlukan ketahanan mental yang tinggi, selain kemahiran dan jiwa atlet yang besar. Teknik juga penting selain kekuatan tubuh badan yang menjadi tumpuan utama.
Tapi saya sukakan kepelbagaian ini dan bagaimana merintangi segala cabaran di atas dapat memberi kepuasan yang sukar digambarkan. Meluncur ski sentiasa memberi adrenaline rush kepada saya!” Jeffrey Webb
Selain meluncur salji, lelaki segak ini turut meminati sukan polo. Lihatlah aksinya ni!
Jeffrey dijadualkan bertanding dalam kategori Slalom Lelaki pada 6 Februari 2022 jam 11 pagi.
Walaubagaimanapun, Beijing terpaksa menetapkan SOP ketat dan memperkenalkan ‘gelung tertutup’ bagi membendung penularan wabak COVID-19 sewaktu temasya empat tahun sekali itu dilangsungkan.
This website uses cookies.