Setiap wanita pastinya menginginkan pasangan yang terbaik buat keluarga. Seorang yang bertanggungjawab, penyayang serta penuh rasa cinta. Sedar atau tidak, lelaki yang menyayangi serta memuliakan ibunya adalah seorang yang tahu menghargai dan membahagiakan wanita dicintainya.
Lelaki seperti ini juga dipercayai memiliki perasaan yang lembut dan romantik terhadap wanita. Melihat kepada ciri-ciri inilah, pelakon dan hos televisyen popular, Shenty Feliziana memilih aktor kacak dari seberang, Reuben Elishama Hadju sebagai teman hidup.
Bertuahnya Shenty kerana dikurniakan seorang suami yang bukan sahaja penyayang bahkan sangat menghormati dan menghargai wanita. Reuben juga seorang yang mementingkan keluarga.
“Reuben seorang yang family-oriented serta sangat rapat dengan ahli keluarganya. Bagi saya, lelaki yang melayan isteri seperti bidadari membuktikan bahawa he has been raised by a queen. Malah, Reuben juga sentiasa bersangka baik bukan hanya terhadap wanita bahkan terhadap orang lain juga tanpa melihat darjat mahupun status.”
Setelah dua tahun mendirikan rumahtangga, Shenty dan Reuben kini kekal bahagia. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran permata hati mereka iaitu Biru Abiyyu Yusuf yang kini berusia satu tahun.
.IMBAU DETIK PERTEMUAN
Pasangan ini bertemu atas dasar kerja. Namun sudah dinamakan jodoh, Shenty dan Reuben akhirnya bergelar pasangan suami isteri yang sah.
“Saya mengenali Reuben ketika sama-sama menjalani penggambaran mini-series Astro berjudul Dosa, sebuah produksi Nusantara. Tanpa sedar, penggambaran yang memakan masa sekitar 58 hari itu telah menjadikan kami kawan rapat. Waktu itu kami hanya selesa berkawan sahaja dan belum sampai tahap bercinta.
Sebaik penggambaran selesai dan pulang ke negara masing-masing, saya menerima satu pesanan WhatsApp daripada Reuben berbunyi “I miss my best friends!” Saya katakan kepadanya kalau mahu berkawan lebih serius mintalah restu ibu bapa saya dahulu. Saya sendiri tidak berminat untuk bercinta kalau tidak ada penghujungnya.
Tidak lama selepas itu Reuben terbang ke Singapura untuk berjumpa dengan keluarga saya. Ia benar-benar membuatkan saya terkejut bercampur terharu. Terbukti bahawa Reuben memang ikhlas untuk mengenali saya dengan lebih dekat.
Seterusnya pada pertemuan kedua, Reuben datang bersama keluarganya untuk melamar. Bersaksikan kedua-dua keluarga, Reuben melafazkan kata-kata cinta sekaligus menyampaikan hasratnya untuk memperisterikan saya.
Inilah momen terindah yang benar-benar menyentuh jiwa saya sekaligus telah membuka pintu hati ibu bapa saya untuk merestuinya. Kami kemudiannya bertunang pada 25 November 2017 selama lima bulan.”
Mengambil keberkatan bersempena dengan hari Isra Mi’raj, pasangan ini bernikah pada 13 April 2018 di Singapore Botanic Gardens, Villa Halia. Majlis pernikahan berlangsung dalam suasana penuh tradisi iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Semoga Shenty dan Reuben kekal bahagia sampai ke syurga. Sejak bergelar ibu Shenty kini kelihatan semakin berseri-seri.
Kredit Foto: Instagram Shentyfeliziana