Berita pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub menhadap Ilahi sekitar minggu lepas masih lagi dirasai oleh pengikut termasuk setiap ahli keluarga terutama isteri dan anak-anak beliau.
Antara yang paling terkesan sudah semestinya anak perempuan allahyarham, Fatihah Salahuddin. Terbaru di platform Facebooknya, Fatihah dan keluarga masih lagi dalam proses menerima hakikat yang ‘hero’ kesayangan mereka sudah tiada.
Meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, selepas ditidurkan susulan pembedahan akibat pendarahan otak, Timbalan Presiden AMANAH itu meninggalkan isteri, Datin Seri Fatimah Taha, dan enam anak iaitu empat lelaki dan dua perempuan.
Sejujurnya kami masih dalam ‘processing’ atas pemergiannya. Terasa seperti ayah hanya keluar bekerja, cuma bezanya ayah sudah tidak pulang. Al-Fatihah buat ayah,” tulisnya.
Menyingkap memori yang hanya tinggal kenangan, Fatihah yang juga seorang peguam turut menyatakan dia mempunyai persamaan dengan arwah bapanya iaitu lemah dalam mata pelajaran Matematik sewaktu di bangku sekolah.
Pun begitu, kehidupan alam persekolahannya seimbang kerana bertuah mempunyai seorang ibu yang tegas dalam membimbing mereka adik-beradik selain menjadi ‘cikgu Matematik’ di rumah.
“Alhamdulillah, masa SPM saya dapat 6A, 3B. Math saya dapat B. Ayah juga sebenarnya agak lemah dalam matematik. Menurut abang saya, saya mempunyai otak ayah. Mak saya pula pandai matematik dan seorang yang kreatif. Dulu kalau buat latihan matematik dengan mak tak sah kalau saya tak nangis,” tulisnya lagi.
Selain itu, Fatihah yang memiliki firma guaman sendiri malah pernah menjadi Pegawai Khas kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff bin Md Yusof turut menyatakan dia mewarisi bakat kepetahan berbicara berada di hadapan orang ramai dari bapanya.
Kelebihan itu mula disedari Fatihah sewaktu menyertai kelas pengucapan awam (public speaking) yang pada asalnya dipilih kerana kurang menggemari kokurikulum jenis aktiviti lasak di universiti.
Fatihah juga sudah terbabit dalam Wanita Muda Amanah (WARDA) juga mengakui memerhati dan mengamati bahasa tubuh bapanya ketika sedang memberi ceramah sewaktu kecil dahulu. Malah, impiannya untuk sepentas memberi ceramah bersama arwah bapanya menjadi kenyataan sewaktu musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Simpang Jeram tempoh hari.
Bukan itu sahaja, peguam syarie ini sempat berpidato beberapa kali di hadapan arwah bapanya sepanjang menyertai Parti Amanah Negara sejak 2016.
Sementara itu, Fatihah mendedahkan dirinya masih dan sedang mempelajari kemahiran diplomasi yang dimiliki oleh arwah bapanya untuk menjadi seorang pendamai dan berjiwa besar.
“Itulah kualiti saya idamkan daripada ayah. Dengan kualiti itulah membuatkan ayah disenangi kawan dan lawan sehingga hujung nyawanya,” coretnya menerusi hantaran di Facebook.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***