Lepas AZURA, Kelahiran EL ISSAC YAMANI Tambah Seri Rumah Tangga DATUK JAMAL & DATIN ZAI IZATTI!

Alhamdulillah, tahniah diucapkan buat Raja Pop tanah air dan isteri yang menerima kehadiran ‘orang baru’ pada tanggal 11 November 2020 semalam. Setelah 39 minggu hamil, akhirnya Datin Zai Izatti selamat melahirkan cahaya mata kedua yang juga seorang bayi lelaki. Perkhabaran gembira itu didedahkan anak Datuk Jamal Abdillah sendiri, Yamani Abdillah menerusi laman media sosialnya.

Kongsi Yamani, “Alhamdulillah EL ISSAC YAMANI (Zeck) telah hadir ke muka bumi. Syukur alhamdulillah adikku yang bongsu. Nanti tunggu abang datang.”

Sementara itu, Datin Zai Izatti yang berjaya dihubungi pihak Nona juga mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan dia serta bayi berada dalam keadaan baik selain mengucapkan terima kasih kerana mendoakan kesihatan dirinya sepanjang kehamilan lalu. Malah beliau turut menjelaskan akan berkongsi wajah terkini anak lelaki mereka apabila tiba masanya nanti. InshaAllah!

Datuk Jamal di samping El Issac Yamani
Nur Azura Yamani kini bergelar kakak

Nampaknya sekarang Datuk Jamal dan Datin Zai sudah pun mempunyai sepasang cahaya mata. Jika zuriat sulung yang juga anak perempuan diberi nama Nur Azura Yamani, kali ini pasangan romantis berkenaan memilih nama El Issac Yamani atau singkatannya Zeck! Memang menggamit kenangan filem Azura sungguh! Terus terbayang lakonan Datuk Jamal sebagai Zeck dalam filem popular era 1984 tu.

Mengimbas kembali berita kehamilan kedua Datin Zai Izatti, ibu muda ini nyata tidak menyangka diberi rezeki untuk menimang cahaya mata sekali lagi ketika anak sulung, Nur Azura Yamani baru berusia tujuh bulan pada Mei lalu. Memandangkan kurniaan terindah dari ilahi ini diterima dalam bulan Ramadan, Datin Zai dan Datuk Jamal Abdillah menganggap ia merupakan satu rahmat buat rumah tangga mereka berdua. Yang pasti, ini reaksi kedua-duanya saat doktor memberi keputusan ujian kehamilan.

“Masa disahkan hamil tu, kami terkejut sangat-sangat! Saya tahu yang saya hamil sebab rasa mual-mual teruk sampai nak makan pun tak selera. Tapi waktu tu tak fikir sangat pun sebab masih menyusu badan. Tambahan pula period

saya tak teratur. Cuma bila rasa diri kerap sangat rasa mual-mual tu yang terasa hendak check. Tengok-tengok positive, alhamdullilah. Tapi dalam masa sama masih terkejut,” ujar Datin Zai yang sedang hamil 12 minggu waktu itu.

“Memang alami alahan, hilang selera makan, muntah dan berat badan pun turun. Apa-apa pun alahan waktu mengandungkan Azura dulu lagi teruk berbanding sekarang. Sejujurnya saya dan suami tak jangka langsung akan hamil lagi. Iyalah, masa bersalin Azura kan czer. Memang kami merancang, tapi tak sangka rezeki Allah nak bagi secepat ini. Alhamdullilah.”

Bercerita tentang si comel Azura pula Datin Zai berkata anak perempuannya ini makin bijak dan mencuit hati. “Azura masuk 7 bulan, dah pandai merangkak dan duduk. Juga paling pandai meragam. Sejak tahu hamil anak kedua, doktor pesan suruh saya rehat secukupnya, banyak minum air kosong dan jangan buat kerja berat-berat,” kata Datin Zai yang merancang mahu empat orang anak jika diizinkan Allah.

Nur Azura Yamani yang dilahirkan pada 10 Oktober tahun lalu merupakan cahaya mata pertama Datin Zai Izzati sementara zuriat ketiga bagi Datuk Jamal Abdillah. Awal kehamilan, baik Datuk Jamal mahupun isteri memilih untuk tidak mengumumkan berita gembira tersebut kepada peminat. Ini kerana ujar penyanyi yang berasal dari Perak itu, isterinya pernah mengalami keguguran sebanyak tiga kali dan mendapatkan rawatan pakar bagi menguatkan rahim.

Datin Zai Izatti sah bergelar isteri Datuk Jamal pada 1 April 2017 di Ipoh, Perak selepas berkenalan selama dua bulan dan berjumpa hanya sekali sebelum bernikah.

 

Kredit foto: Instagram Datin Zai Izatti & Yamani Abdillah

 

Share
Published by
Suzi