Lepaskan Jawatan Pensyarah, TERPAKSA Ambil Alih Bisnes Keluarga, HASNIZA HASSAN Cekal Berniaga

Setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya. Begitu yang dirasai oleh wanita yang berusia 48 tahun ini apabila lepaskan jawatan pensyarah demi membantu suami menguruskan perniagaan keluarga selepas bapa mentuanya meninggal dunia.

Berkelulusan Undang-undang LLB dan LLB-SUIAM, Hasniza Hassan nekad menyokong suami dan menjadi tulang belakang bagi meneruskan perniagaan warisan keluarga. “Saya mula menceburi bidang bisnes selepas berkahwin pada usia 24 tahun.

Foto: Koleksi Peribadi Hasniza Hassan

Saya lepaskan jawatan pensyarah dan menyertai perniagaan tanpa ilmu, dan terlalu banyak jatuh bangun selama lebih 20 dalam bisnes. Semuanya bermula selepas suami mengambil alih dan mewarisi perniagaan ayahnya. Ayah mertua meninggal dunia pada tahun 2000 dan suami mengajak saya bersama untuk bangunkan bisnes keluarga.

Bisnes pada waktu itu berada pada zaman gawat jadi memang kami sangat struggle untuk uruskan, dengan tak ada ilmu, pengalaman, semuanya terlalu baru. Namun saya suka cabaran, syukur, alhamdulillah,” kata Executive Director, Ana Global Ventures Group of Companies ini.

Foto: Koleksi Peribadi Hasniza Hassan
Foto: Koleksi Peribadi Hasniza Hassan

Namun siapa sangka, melangkah ke dalam dunia bisnes telah menjadikan wanita yang berasal dari Melaka ini terus cekal dan berupaya mengemudi perniagaan sehingga ke hari ini. “Saya sukakan cabaran, walaupun berbeza daripada apa yang saya belajar, namun inilah waktu untuk tingkatkan diri ke peringkat yang lebih baik.

Seronok apabila dapat memberi manfaat kepada orang lain. Saya dan suami jadi bidan terjun masuk ke dunia bisnes dan alhamdulillah dah 20 tahun bertahan sehingga ke hari ini.

Cabaran paling besar ialah untuk pastikan bisnes bertahan. Jadi kami kena belajar untuk sesuaikan diri dengan apa jua keadaan yang melanda,” ujar ibu kepada tiga orang anak ini.

Foto: Koleksi Peribadi Hasniza Hassan
Foto: Koleksi Peribadi Hasniza Hassan

Saat diajukan pertanyaan tentang kerjayanya andai bukan bergelar usahawan seperti hari ini, jawab wanita yang suka memasak ini, “Selepas tamat belajar, saya bekerja sebagai pensyarah di sebuah kolej di Kuala Lumpur.

Setahun lepas itu, saya join bisnes keluarga bersama suami. Kalau tidak, mungkin saya akan terus bergelar pensyarah atau guru berijazah. Sebab saya memang cenderung suka mengajar dan didik orang. Saya tahu dan yakin hanya dengan ilmu yang mampu ubah nasib dan hidup kita,” tutur wanita yang mesra disapa sebagai Kak Has ini.

Foto: Koleksi Peribadi Hasniza Hassan

Sebagai wanita berkerjaya dan mempunyai keluarga sudah tentu agak sukar untuk menyeimbangkan masa di antara keduanya. Namun, Hasniza mempunyai tip untuk mengatur kehidupannya.

“Apa yang penting kena tahu jadual sendiri. Daripada situ barulah boleh aturkan jadual ikut keutamaan. Yang penting kena selalu berkomunikasi dengan ahli keluarga, barulah semuanya berjalan lancar dan boleh elakkan salah faham,” ungkap Hasniza yang mengamalkan pemakanan suku suku separuh untuk kekal sihat.

Share
Published by
Hamizatul Maizan Binti Mohamed