Ogos lalu, seluruh rakyat Malaysia heboh bercerita tentang kes paling keji dalam sejarah jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang dilakukan oleh bapa durjana ini.
Kegilaan lelaki tersebut mendapat liputan meluas sehingga dianggap sebagai tertuduh pertama yang didakwa atas beratus-ratus pertuduhan melibatkan jenayah serangan seksual di Malaysia.
Akhirnya hari ini kebenaran berbicara jua. Bapa keji itu dihukum penjara 48 tahun dan 24 sebatan selepas mengaku bersalah atas 623 kesalahan jenayah seksual terhadap anak perempuan kandungnya berusia 15 tahun.
Tertuduh yang berusia 36 tahun itu mengaku bersalah atas 591 pertuduhan meliwat anaknya, 30 pertuduhan melakukan seksual fizikal dengan cara menyentuh anak sulungnya itu, satu pertuduhan merogol remaja itu dan satu pertuduhan melakukan penganiayaan seks terhadap mangsa.
Memetik laporan Utusan Online, berdasarkan fakta kes, mangsa kali pertama diliwat pada 3 April 2015 ketika dia berusia 13 tahun.
Apa yang lebih mengejutkan, mangsa ketika itu sedang menunaikan umrah bersama bapanya di Mekah. Kejadian itu berterusan pada satu kejadian mangsa telah diliwat sehingga terkeluar najis.
Lelaki terbabit, yang juga bapa kepada tiga anak perempuan, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di rumah mereka di Sungai Way, Petaling Jaya pada tarikh-tarikh berlainan pada sebelah pagi, petang dan malam.
Kejadian didakwa berlaku di antara bulan Januari dan Julai tahun ini sebanyak tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, petang dan malam di rumah mereka di Sungai Way.
Jatuh Hukuman
Hakim Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Yong Zarida Sazali menjatuhkan hukuman itu dan memerintahkan tertuduh, seorang ejen unit amanah, menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 26 Julai lepas.
Kes ini mendapat perhatian ramai kerana ini kali pertama seorang tertuduh menghadapi pertuduhan yang sangat banyak dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum ini juga mengesahkan lelaki itu merupakan tertuduh pertama di negara ini yang didakwa atas beratus-ratus pertuduhan melibatkan jenayah serangan seksual.
Bagi semua pertuduhan meliwat, dia dituduh melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap anak perempuannya pada bulan Januari hingga 20 Julai 2017 mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Bapa kepada tiga anak perempuan itu juga didakwa atas 30 pertuduhan melakukan seksual fizikal dengan cara menyentuh anak sulungnya pada 11 Julai hingga 20 Julai lalu mengikut Seksyen 14/16 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Dia juga didakwa melakukan penganiayaan seks terhadap mangsa antara 1 Jan hingga 21 Julai lalu mengikut Seksyen 31(1)(a) dan Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-kanak2016.
Lelaki itu turut dituduh merogol mangsa di tempat sama, pada 2 petang, 21 Julai lalu mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan.
Penjara & Sebat
Kesemuanya pertuduhan di bawah kanun dan akta berkenaan membawa hukuman penjara dan sebat. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nordalina Ali dan Aimi Syazwani Sarmin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut fakta kes lagi, tertuduh pertama kali meliwat anaknya itu dua tahun lepas. Mangsa tinggal bersama bapanya sejak Januari tahun ini selepas ibu bapanya bercerai dan dia memberitahu ibunya mengenai kejadian itu setelah mengetahui bapanya akan mengambil dua adiknya untuk tinggal bersama mereka dan dia takut perkara sama berlaku kepada adik-adiknya.
Laporan polis mengenai kejadian dan perbuatan lelaki itu dibuat oleh bekas isteri tertuduh pada 25 Julai lepas. Turut hadir di mahkamah hari ini ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim. Norzalina Mohd Alias
Kredit: Bernama