Lontong Rendang Goreng POPULARKAN PINGGAN PUTIH. Hidangan Must Try!

714

Setiap kali melalui kawasan kejiranan di seksyen 7 Shah Alam, Selangor, mata pasti tidak melepaskan peluang meleret ke arah sebuah kedai di sepanjang deretan premis perniagaan popular di kawasan tersebut. Dari bahagian luar kafe, sudah menyampaikan maksud yang tertera di ruang nama kedai iaitu Pinggan Putih. Mana tidaknya, dari bahagian luar premis, rona putih melatari segenap ruang di samping terdapat satu sudut untuk para pengunjung duduk bersantai menikmati hidangan turut mencuri tumpuan.
Melangkah masuk ke dalam Kafe Pinggan Putih, kelihatan hampir kesemua ruang makan dipenuhi oleh para pelanggan yang mencuba pelbagai menu yang disediakan di sini. Pada mulanya penulis menyangkakan kafe ini tidak banyak bezanya dengan kebanyakan kafe yang terdapat di sekitar Shah Alam kerana menyajikan hidangan ‘perkahwinan’ timur dan barat atau fusion.
Namun telahan penulis jauh tersasar. Sebaik sahaja dihulurkan menu, penulis tersenyum kerana tanggapan penulis tidak tepat sama sekali. Melihat deretan nama menu yang terdapat di Pinggan Putih, penulis tersenyum sambil fikiran jauh menerawang bagaimanakah rupa hidangan tersebut bakal dipersembahkan kepada para pelanggan.

IKLAN
IKLAN


Antara nama menu yang benar-benar menarik perhatian penulis termasuklah Nasi Kenduri, Lontong Labu Labi, Air Jus Rambutan dan sebagainya. Selain menyediakan hidangan untuk individu, penulis juga tertarik dengan persembahan menu dalam bentuk pinggan bujang untuk set hidangan individu, Pinggan Utama sebagai main dishes dan pinggan panjang mewakili hidangan berasaskan mee. Unik bukan!


Penulis berkesempatan mencuba menu must have di Pinggan Putih iaitu Lontong Rendang Goreng. Tidak dinafikan keenakan Lontong Rendang Goreng ini menjadi pilihan kebanyakan pengunjung kerana keenakan kuahnya yang pekat dan memenuhi citarasa atau tekak Melayu. Selain mencuba hidangan Lontong Rendang Goreng, penulis turut mencuba set Nasi kenduri di mana ia didatangkan di dalam dulang yang menyajikan hidangan berupa nasi putih bersama telur masin, ayam masak merah, keropok dan rendang daging.
Penulis amat tertarik dengan gaya persembahan makanan yang menggunakan dulang yang mana ia mengembalikan nostalgia serta zaman kegemilangan dulang yang banyak digunakan di dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu terutamanya dalam hal ehwal kenduri kendara serta mengajar anak-anak untuk berkongsi makanan di dalam dulang.
Ketika ditanya mengapakah hidangan ini diberi nama Nasi Kenduri, penulis dapat mengagak ia dinamakan Nasi Kenduri memandangkan lauk pauk yang terdapat di dalam set hidangan ini sering menjadi pilihan di majlis kenduri-kendara masyarakat Melayu.
Kafe Pinggan Putih yang membuka perniagaan secara rasmi sekitar Februari 2018 yang lalu mengetengahkan konsep hidangan Malaysia dalam gaya klasik kontemporari yang menarik dan memberi nilai tambah terhadap setiap hidangan. Antara hidangan yang turut disajikan di Pinggan Putih termasuklah Lontong, Asam Pedas dan beberapa hidangan pencuci mulut seperti Sagu Gula Melaka, gelato dan aneka kek.

Lebih istimewa, gelato atau ais krim yang dijual di sini juga masih mengekalkan citarasa Melayu iaitu gelato berperisa unik seperti cempedak, cendol, apam balik dan coklat. Malah, jika anda memesan teh tarik, ia disediakan di dalam kole enamel yang sering digunakan oleh masyarakat dahulu. Jika mahukan kelainan, anda boleh mencuba minuman Teh Tarik Gelato atau Teh Vanilla Ice.
Menyentuh mengenai harga setiap hidangan yang ditawarkan, ianya sememangnya amat berpatutan memandangkan ia terletak di kawasan kejiranan majoriti masyarakat Melayu di samping pelajar yang gemar menikmati hidangan di sini. Tidak hairanlah mengapa Pinggan Putih sering menjadi pilihan memandangkan ia menawarkan hidangan masakan Melayu untuk hidangan tengahari dan makan malam. Ia juga amat sesuai untuk dinikmati seisi keluarga di samping mengimbas kembali kenangan zaman kanak-kanak dengan persembahan hidangan yang menggunakan dulang dan kole.


Mengekalkan gaya dekorasi minimalis yang ringkas dan selesa, Pinggan Putih boleh memuatkan sehingga 60 tetamu untuk menikmati hidangan makan tengahari ataupun makan malam. Bagi memastikan hidangan sentiasa berada pada tahap terbaik, Pinggan Putih mempunyai sebuah central kitchen yang bertindak menyediakan hidangan serta mengawal selia setiap hidangan yang bakal disajikan kepada para pelanggan.
Jika anda teringat keenakan hidangan tradisi Melayu seperti dihidangkan di rumah, tidak salah mencuba hidangan yang disediakan di Pinggan Putih yang pastinya memenuhi citarasa dan selera masyarakat Melayu!