Bila membelek akaun Instagram pelakon Farah Ahmad dan seniwati Fauziah Nawi, mata sentiasa bergenang melihat kerinduan mereka terhadap suami dan anak tersayang, Pitt Hanif. Kisah penemuan jenazah Pitt Hanif yang lemas diceritakan dengan begitu indah oleh isteri tersayang, Farah Ahmad.
Terkini, Farah menzahirkan coretan yang benar-benar menyentuh jiwa. Tatkala membaca, sesiapa sahaja pasti mengalirkan airmata dan seolah-olah merasai kerinduan yang dia dan keluarga rasai.
Andai ditanya pada hati, tentulah yang tinggal hanya memori. Andai ditanya pada jiwa, ia masih kosong namun dipenuhi kasih sayang yang pernah dibina atas dasar cinta. Kehilangan paling pedih dirasakan paling manis buat Farah Ahmad. Allah memilih dia dan anak-anak untuk menghadapi ujian paling kuat dalam kehidupan.
Kehilangan suami tercinta iaitu seorang pengarah filem, Mohd Firdaus Mohamad Hanif pada Oktober tahun lalu menokhtahkan hanya hubungan fizikal tetapi mengutuhkan pertalian rohani yang lebih dekat dalam hati.
“Sudah enam bulan Pitt bertemu Sang Pencipta. Ketika arwah hilang, saya baru sahaja selesai menjalani sebuah penggambaran filem bertajuk Mimaland. Berita kehilangannya diberitahu seorang teman arwah melalui telefon. Saya hanya mampu terkedu ketika itu,” ujar Farah memula bicara.
26 Oktober lalu, media seakan gempar dengan khabar bot fiber dinaiki arwah Pitt terbalik. Dia dikatakan bersama seorang temannya keluar memancing selepas selesai penggambaran. Menurut Fraha, sudah menjadi kebiasaan, sekiranya arwah tiba-tiba ‘hilang’, dia pasti akan menjalankan hobinya iaitu menacing. Tetapi pemergiannya kali ini tidak disangka menjadi pengakhiran kepada kehidupannya sebagai isteri kepada Pitt.
“Malam sebelum kejadian saya berasa kurang sihat. Keesokannya harinya saya bangun sedikit lewat, itupun selepas menerima panggilan telefon daripada rakan arwah yang bersama-samanya memancing. Bot yang mereka naiki pecah dan Pitt tidak ditemui. Dengan tempoh kehilangan yang agak lama, saya sudah menjangka arwah tidak ada.
“Saya terus ke lokasi kejadian bersama ahli keluarga terdekat. Hujan lebat mengiringi perjalanan kami. Dalam fikiran saya sibuk emmikirkan keadaan suami yang hancur dek hujan yang kencang. Tetapi separuh jalan, hujan serta-merta berhenti dan jalan menjadi lancar.
Panggilan telefon tidak berhenti-henti. Bukan saya seorang tetapi ahli keluarga yang menemani turut sibuk menyambut panggilan. Kami tiba di kawasan tempat arwah hilang. Saya minta kebenaran daripada ahli bomba yang sedang giat menjalankan usaha pencarian.
Terlalu ramai orang yang berada di sana ketika itu. Orang-orang kampung juga ada di sana dan kata mereka, pada hari kejadian cuaca panas sedangkan sebelum itu hujan sepanjang masa. Pita pelekat kuning polis mengelilingi spot kejadian. Saya terus meminta izin ke tempat akhir bot ditemui,” ujarnya.
Tiba di jambatan, air sungai bagai tidak berkocak. Segalanya tenang setenangnya. “Come on Pitt. You are a good swimmer. You can survive in this kind of water,”bisik hati Farah. Jauh di sudut hati, dia tahu arwah suami tercinta sudah tidak ada. di atas jambatan, Farah ‘mengajak’ arwah bersembang, dari hati ke hati.
“Jangan buat prank Pitt. Kalau nak buat prank, jangan libatkan orang lain. Buat dekat Farah saja. Kalau betul nak pegi, jangan tinggalkan Farah macam ni.” Inilah apa yang saya katakan pada arwah. Namun masih belum berhasil. Saya di bawa pulang ke bilik hotel penginapan arwah.
Air mata yang ditahan sejak awal akhirnya membasahi pipi. Saya tak mampu lagi untuk menahan kesedihan melihat barang kepunyaan arwah di katil. Panadol untuk mengubati demamnya pun masih ada,”kata Farah.
Awalnya Farah bercadang untuk turun ke sungai selepas Asar. Tetapi pihak bomba memberi lampu hijau untuk terus ke lokasi. Sebaik selawat dibaca dan namanya diseru, sentuhan tangan di dasar air terasa sangat sejuk. Tiba-tiba di sebarang sungai, ada teriakan jasad arwah sudah ditemui. Azan Asar terus berkumandang pada masa sama.
“Sweetlah awak ni Pitt. Awak nak Farah turun untuk mengiringi awak. Seperti ketika bercinta, arwah yang selalu berjumpa saya,”ujarnya.
Pada hari jenazah di temui, saya sendiri membuat pengesahan mayat di bilik mayat. Dia begitu kacak, rambut tersisir kemas dan tubuhnya sempurna sehingga doktor yang mengendalikan kes itu terkejut melihatnya. Kata doktor, biasanya mayat mati lemas pasti terdapat luka dan calar, namun bukan arwah. Jenazah arwah paling cantik yang ditemui,”senyum Farah.
Kredit foto dan video: Instagram Farah Ahmad
This website uses cookies.