Tasha Manshahar, penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Be Mine’ dan kini bergelar guru di sebuah sekolah rendah di Melaka menjadi tumpuan netizen baru-baru ini selepas dia memuatnaik foto dan video anak muridnya di laman Instagram @tashamanshahar pada sesi mula persekolahan lalu.
Mendedahkan realiti sebenar kerjaya seorang guru, Tasha atau nama sebenarnya Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar dilihat begitu akrab dengan pelajar Tahun 1 di sekolah berkenaan.
Salah satu status yang dikongsikan guru Bahasa Inggeris ini hingga menarik hampir 50 ribu likes adalah foto lucu pelajar sekolah terbabit yang mengenakan anak tudung terbalik. Malah, dia turut menulis kapsyen mencuit hati tentang gambar berkenaan.
“Girl, teacher tahu awak comel. Tapi setahu teacher tulang serkup ni patut dekat belakang, girl.” Aduhai, teringat zaman sekolah dulu-dulu. Mesti ada yang buat benda sama, bukan?
Memang tugas seorang guru kini jauh mencabar. Selain perlu berdepan karenah anak-anak murid yang bermacam ragam, silibus pembelajaran juga semakin menguji minda. Pastinya, mana-mana guru pun mengalami tekanan tersendiri.
https://www.instagram.com/p/Bbom9kCB2Ze/?taken-by=tashamanshahar
Dan mungkin, ini salah satu cara Tasha Manshahar mencorak kerjaya mencabar tersebut agar lebih santai dan menyeronokkan.
Selain mendedahkan foto-foto menarik tentang para pelajar, guru berusia 26 tahun ini sempat memuatnaik beberapa video lain yang mencuit hati. Ada yang memberi sepucuk surat, menjawab soalan dengan jawapan lucu dan sebagainya.
Walau apa pun cabaran yang ditempuh Tasha termasuk guru sekolah yang lain, bersabarlah dengan perangai anak didik anda. Moga ilmu yang disampaikan oleh para guru mampu menjadikan mereka insan berguna kelak.