Lulusan Luar Negara & Urus Syarikat Keluarga, FARAH ALYA Bergelar Pengarah Urusan Di Usia 28

Lulusan universiti terunggul luar negara dan merupakan Pengarah Urusan di syarikat milik keluarga memberi kelebihan buat gadis cantik berusia 28 tahun ini. Farah Alya Ali yang berasal dari Miri, Sarawak ini bukan hanya memikul tanggungjawab besar sebagai seorang ketua, bahkan terlibat dalam sektor yang dimonopoli kaum lelaki iaitu kejuruteraan kimia. Bukan calang-calang!

Farah Alya memiliki pesona wajah yang cantik dan eksotik.

“Saya dilahirkan dalam family business. Ayah pernah bekerja sebagai jurutera selama 20 tahun di syarikat oil & gas sebelum menceburikan diri dalam perniagaan bersama ibu. Saya menamatkan pengajian Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan kimia di Newcastle University, UK. Saya pernah bekerja di Belanda sebelum kembali ke Malaysia untuk mengambil alih perniagaan ayah. Pada masa sama, saya juga seorang guru tuisyen serta mengajar pelajar-pelajar kejuruteraan kimia.

Ibu dan anak sama cantik. Macam adik beradik.

Ibu bapa adalah pendorong utama dan tonggak kejayaan saya dari sekolah hinggalah sekarang. Minat dan semangat saya timbul apabila melihat ayah yang juga seorang jurutera sentiasa bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugasnya. Komitmen itu juga memberi inspirasi dan motivasi buat saya untuk bergelar jurutera. Ayah banyak memberi tunjuk ajar kepada saya sepanjang mengambil alih perniagaan.

Bersama keluarga tersayang.
Ibu dan bapa Farah Alya. Pasangan romantik!

Syarikat kami, Mage Ecotech Sdn Bhd terlibat dalam sektor minyak, gas dan tenaga yang mana kami boleh menukar bahan organik dan bukan organik kepada minyak mentah, gas dan arang. Minyak mentah kemudiannya ditapis menjadi bahan bakar seperti petrol, minyak tanah dan diesel. Pencapaian terkini syarikat ialah membina kilang perintis komersil pertama untuk kapasiti 30 tan sehari.

Salah satu kelebihan menguruskan perniagaan sendiri ialah masa yang fleksibel. Saya bebas untuk bergerak mengikut keseuaian masa. Tak kisahlah nak mula kerja jam berapa yang penting kerja siap, berkualiti dan produktif. Bila syarikat ada projek yang perlu dikendalikan, saya menjadi sangat sibuk sampai 15 jam sehari. Oleh itu, pengurusan masa sangat penting. Saya perlu bijak mengatur hari agar tidak mengalamai exhaustion. Ahad adalah waktu rehat saya, inilah masanya untuk beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan.

PERNIAGAAN TERJEJAS
Pandemik COVID-19 memberi kesan sangat buruk kepada ekonomi negara. Perniagaan saya turut terjejas apabila Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dilaksanakan. Operasi kilang terpaksa ditutup dan ramai pekerja terpaksa diberhentikan. Ia sama sekali tidak mudah bagi saya kerana terlalu berat tanggungjawab yang dipikul.

Semangat saya tercabar sehingga mengalami tekanan seketika. Namun, dengan keyakinan diri yang kuat, sokongan keluarga dan rakan-rakan, saya memilih untuk tidak menoleh ke belakang. Saya percaya kalau kita lakukan benda baik dengan niat yang betul walau apa pun terjadi, semuanya akan berakhir dengan baik.

Bagi saya, ini bukanlah pengakhiran. Sebesar mana pun cabarannya, saya bersama rakan kongsi mengambil langkah-langkah tertentu demi kelangsungan perniagaan. Saya sentiasa berdoa agar pandemik segera berakhir. Kita semua dapat meneruskan kehidupan seperti sedia kala, perniagaan pun dapat beroperasi sepenuhnya dengan memberi banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Saya mempunyai perancangan masa depan untuk menceburi aktiviti sosial atau kemasyarakatan seperti pernah saya lakukan dulu ketika belajar. Saya pernah terlibat secara aktif bersama Kitchen Soup. Kami mengumpul dana untuk memberi makan kepada orang-orang miskin, gelandangan dan ibu tunggal. Pengalaman ini meninggalkan kesan mendalam di hati saya.

NASIHAT & IMPIAN
Jangan takut untuk mengejar impian. Cari sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman dalam hidup sementara masih muda. Ia penting untuk mengenal pasti minat dan bakat sendiri untuk melangkah ke dunia perniagaan. Fokus pada hala tuju dan lakukan yang terbaik bagi merealisasikan impian. Setelah mengambil langkah pertama, anda akan tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya. Jangan malu untuk meminta pertolongan kerana untuk berjaya, anda tidak boleh melakukannya sendiri. Sentiasa belajar dan didik diri. Mempunyai matlamat kecil dan mini milestones

. Progres lebih penting dari pencapaian.

Perjalanan karier saya masih panjang. Terlalu banyak yang perlu dipelajari dalam dunia perniagaan. Saya akan berusaha dengan gigih untuk mencapai impian bergelar usahanita berjaya dalam bidang minyak, gas dan tenaga di Malaysia seterusnya ke peringkat antaragbangsa.

Harapan saya untuk terus berjaya dalam bidang ini dan kehadiran wanita seperti saya diiktiraf. Tiada lagi isu diskriminasi wanita pada masa depan. Peranan dan sumbangan wanita amat penting untuk sama-sama berganding bahu dengan kaum lelaki dalam pembangunan sosial dan ekonomi negara.

Sejujurnya saya sangat kagum melihat ramai wanita yang telah berjaya dan memperoleh pengiktirafan yang tinggi di mata dunia. Secara tak langsung ia memberi semangat yang kuat untuk saya menceburi bidang ini. Dengan cita-cita dan matlamat yang tinggi sejak di bangku sekolah akhirnya impian saya terlaksana. Insha-Allah saya akan terus berusaha sehingga ke peringkat lebih tinggi.”

Kredit Foto: Instgram @farahalyaali19

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad