Kepentingan menuntut ilmu sehingga ke menara gading memang sesuatu yang dituntut. Tidak kira apa jua bidang pekerjaan termasuklah membina empayar perniagaan sendiri, semuanya memerlukan ilmu. Kata orang untuk membina perniagaan sendiri memang mudah tetapi untuk melestarikan perniagaan tersebut memerlukan ilmu.
Belajar dalam bidang lain dan bekerja dalam bidang lain adalah perkara biasa. Pengarah Urusan, Kayman Beauty ini terjun dalam bidang perniagaan pada asalnya, semata-mata mencari duit poket ketika meneruskan kuliah. Namun, akhirnya ‘terjatuh cinta’ dengan dunia perniagaan kosmetik.
Wanita yang diberi nama Nabella Anuar, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak pernah bermimpi untuk terjun ke dunia perniagaan kosmetik namun cita-citanya untuk kaya dan berjaya telah merealisasikan penubuhan produk kosmetik buatan Malaysia ini.
Wanita yang baru berusia 29 tahun ini di luarnya nampak lembut, tetapi memiliki kekuatan luar biasa dan tidak mudah menyerah kalah serta mampu melakukan apa sahaja walau dihalang pelbagai rintangan.
“Saya mula menyertai dunia perniagaan kosmetik secara total apabila mula mencari produk penjagaan kulit yang selamat dan berkualiti tinggi serta mempunyai kesan terbaik terhadap kulit.
Langkah saya makin deras apabila menjadi peminat setia program realiti Shark Tank. Dalam program tersebut turut menampilkan pemilik rangkaian produk kecantikan Glow Recipe yang benar-benar menyuntik inspirasi dan menjadi anjakan paradigma untuk saya menjadi seperti sekarang.
Walaupun saya tidak mewarisi latar belakang keluarga dalam bidang perniagaan namun itu bukan alasan untuk saya berundur ke belakang malah menguatkan semangat untuk terus mengatur langkah,” terang wanita yang dibesarkan di Sungai Petani, Kedah ini serta mengangkat Sarah Lee dan Christine Chang selaku Pengasas Jenama Kosmetik Glow Recipe sebagai idolanya.
Berasaskan perniagaan secara peruncitan melalui laman sesawang, vendor, agen dan stokis, Nabella mampu tersenyum bangga dengan apa yang telah dicapainya.
Namun, setiap kemanisan yang telah dicapainya sudah pasti menempuh pelbagai cabaran sebelum berada di peringkat ini. “Kejayaan ini bukan hasil usaha saya seorang. Saya bangga mempunyai team yang sanggup berkorban demi Kayman Beauty.
Masakan tidak, kerana team perintis Kayman Beauty ini merupakan rakan rapat saya sejak belajar lagi,” bicara Nabella yang beruntung mempunyai sahabat sejati sebagai tulang belakang perniagaannya dan bersungguh-sungguh mengusahakan jenama kosmetik ini.
Usia muda bukan menghalang wanita ini untuk terus maju dan bercita-cita mahu melihat wanita lain berjaya sepertinya. Menurut wanita yang gemar menghabiskan masa dengan membaca ini, beliau mahu meningkatkan diri ke tahap yang lebih tinggi dengan menjadi seorang pelabur kepada jenama kecantikan dalam masa lima tahun akan datang.
“Nasihat saya kepada usahawan kosmetik yang baru menapak dalam bidang ini, percaya kepada setiap proses. Jika kita mahu untung RM1 juta, cabaran yang akan kita hadap juga akan bernilai RM1 juta begitu juga sebaliknya,” tegas Nabella yang mendapat khidmat nasihat perniagaan daripada Sifu Jamal.
This website uses cookies.