Gaya Hidup

Lulusan Perubatan, DR SYAFIQA HAYRA Anak Arwah Mr Os Yang Bijak, Cantik & Pandai Masak!

Meniti usia 27 tahun, kematangan anak Allahyarham Mohd Yusof Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Mr Os ini cukup menyerlah. Bertugas sebagai pegawai perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Syafiqa Hayra bukan hanya disifatkan seorang wanita cantik dan bijak bahkan memiliki keperibadian yang baik. Kalau arwah Mr Os masih ada, mesti dia bangga melihat kejayaan anak perempuannya hari ini.

Walau bergelar anak selebriti tapi Dr Syafiqa selesa jalani hidup low profile. Apatah lagi sebagai seorang doktor, kebanyakan masanya adalah di hospital. Mesra menyambut panggilan Nona, Dr Syafiqa tanpa berselindung mengakui dia seorang wanita yang ringkas. Jika tidak bekerja, dia lebih gemar menghabiskan masa di rumah dengan ahli keluarga.

Kongsi wanita berjiwa besar ini, “Saya agak sibuk bekerja dan dah jarang update aktiviti di media sosial. Sekali sekala ada waktu lapang, saya suka masak-masak dan baking. Saya record dan edit video memasak untuk channel Youtube masakan saya, Intai Dapur Syafiqa Hayra. Selain itu, saya juga suka habiskan masa dengan kucing-kucing peliharaan saya.”

Mengulas lanjut mengenai saluran Youtube Intai Dapur Syafiqa Hayra, graduan Bachelor of Medicine and Surgery (MBBCh) Mansoura-Manchester, Mansoura University, Egypt ini membuka kisah di sebalik kewujudan akaun Youtube berkenaan. “Memang dah lama minat memasak, sejak kecil lagi. Kalau tengok YouTube saya, macam-macam menu masak ada termasuklah sajian Melayu, Korea dan juga Western.”

Ujarnya lagi, individu yang banyak membantu dirinya menjayakan video berkenaan ialah ibu tersayang. “Selalu memang mummy tolong sekali masak dan dia juga yang bagi resipi. Misalnya, Gulai Siput Sedut Dengan Ubi Keledek. Ni arwah abah punya favourite menu. Ikutkan Abah jarang makan makanan Western. Tapi saya pernah masak Swedish Meatball ala Ikea untuk dia dan tak sangka dia terus suka. Bila saya balik Malaysia waktu study dulu Abah selalu minta saya masakkan hidangan ni.”

Dr Syafiqa Hayra
Ketika di Chalet keluarga
Kenangan sewaktu di Mesir
Ibu tersayang Dr Syafiqa
Gulai Siput Sedut, hidangan kegemaran arwah Mr Os
Swedish Meatballs
Asam Pedas Tetel

Daripada perbualan bersama Dr Syafiqa, jelas menggambarkan kerinduan dirinya terhadap bapa tersayang. “Asam pedas Tetel ni sebenarnya Abah tak berapa gemar makan sebab arwah complain orang lain masak asam pedas mesti ceroi (cair). Tapi bila mummy masak, dia suka sebab pekat dan rasa tak sama macam orang lain masak.

Dulu Abah sampai pernah offer dekat mummy suruh buka restoran sebab mummy masak memang sedap. Tapi sayangnya mummy ada masalah tulang belakang. Dia tak boleh buat kerja-kerja berat,” terangnya.

Tahun ini merupakan tahun kelima allahyarham bapa Dr Syafiqa kembali ke rahmatullah. Jika arwah masih hidup, dia kini berusia 60 tahun. Meskipun tidak lagi berpeluang memeluk dan mencium bapa tersayang, namun segala kenangan manis bersama arwah sentiasa segar di ingatan.

“I’m a doctor now Abah. Epit dah tunaikan janji untuk jadi doktor dekat Abah. Tak pernah lupa jasa Abah beri kami sekeluarga makan yang cukup, besarkan dengan didikan yang baik, segalanya cukup. Seorang Abah yang cukup baik dan sempurna. Sepanjang hayatnya, tak pernah lokek, malah kuat bersedekah dan suka mempermudahkan urusan semua orang. Moga Abah ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-fatihah.

Abah sangat tegas dan mementingkan masa. Walau macam mana susah sekalipun dia akan sentiasa memenuhi permintaan anak-anak. Selain itu, Abah juga suka menjamu orang makan dan buat orang gembira. Dia sangat pemurah dan mudah rasa kasihan dekat orang.

Salah satu perangai Abah yang buat saya kagum ialah cara Abah menghargai ibu bapanya. Walau pun ibu bapa Abah iaitu atuk dan nenek saya sudah meninggal, Abah tetap sentiasa bersedekah bagi pihak kedua ibu bapanya. Nampak betapa Abah sangat menyayangi mereka berdua. Bahkan ketika hayatnya, even in his purse,

Abah masih letak gambar ibu dia.”

Allahu, tersentuh mendengar pendedahan Dr Syafiqa mengenai arwah bapa! Selama ini masyarakat mengenali Mr Os sebagai pelawak dan penghibur tetapi di sebalik lawak jenakanya, tersimpan sisi penyayang penuh keikhlasan bekas anak seni tersebut.

Sementara itu, ditanya perancangan Dr Syafiqa untuk mendirikan rumah tangga, dengan nada mesra dia menjelaskan belum ada perancangan ke arah tersebut buat masa sekarang. “Saya tak tetapkan perancangan untuk kahwin. Soal jodoh saya letakkan di tangan Allah. Kadang-kadang kalau kita rancang pun semua yang terjadi Allah yang tetapkan. Saya percaya je pada ketentuan Allah. Apa-apa pun, saya simpan impian nak jadi specialist dan teringin nak ada klinik sendiri. Tolong doakan ya.”

Semoga segala harapan yang diimpikan Dr Syafiqa dipermudahkan dan dimakbulkan Allah. Harapan Nona agar perkongsian Dr Syafiqa menjadi pencetus inspirasi kepada kaum wanita untuk berjaya dan mengejar impian mereka.

 

 

Kredit foto: Instagram Syafiqa Hayra

Share
Published by
Suzi