Terpikat dengan aura cantik dan raut wajah penuh kelembutan milik adinda Ke bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Muhammad V, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Amalin Aishah Putri Sultan Ismail Petra ini. Anggun berhijab dan senyuman yang lekang terukir di bibir… YAM Tengku Amalin Aishah Putri dikhabarkan baru sahaja menyambut ulang tahun pada 26 Jun yang lalu.
Ternyata, kedatangan bulan Jun menjadi bulan terindah buat adinda bongsu Sultan Muhammad ini kerana selain menyambut ulang tahun kelahiran, sehari selepas tanggal tersebut merupakan ulang tahun perkahwinan YAM Tengku Amalin bersama suami YAM Pengiran Muda Abdul Qawi Ibni DYTM Pengiran Hj Mohamed Bolkiah. Tahun ini merupakan tahun keenam pasangan diraja ini disatukan sebagai suami isteri.
Mengimbas kembali detik bersejarah tersebut, pasangan diraja Kelantan Darul Naim dan Brunei Darussalam ini selamat diijabkabulkan pada sebelah malam, hari Khamis 27 Jun 2013 di Istana Mahkota, Kubang Kerian. YAM Tengku Amalin Aishah Putri ialah satu-satunya puteri kepada DYMM Sultan Ismail Petra dan YMM Raja Perempuan Tengku Anis.
Manakala pengantin lelaki iaitu YAM Pengiran Muda Abdul Qawi ialah anakanda saudara kepada DYMM Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam. YAM Pengiran Muda Abdul Qawi merupakan putera sulung dari 10 beradik kepada DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal Waqar Pengiran Muda Haji Mohamed Bolkiah dan YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah Almarhum Pengiran Pemancha.
YAM Tengku Amalin Aishah Putri dan YAM Pengiran Muda Abdul Qawi dikurniakan dua orang cahaya mata puteri. Puteri sulung iaitu YAM Pengiran Anak Tengku Afeefah Musyafa’ah Bolkiah Putri diputerikan pada 13 April 2014 di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. Sementara puteri kedua, YAM Pengiran Anak Tengku Azzahra Iffatul Bolkiah Putri pada Jun 2016.
Di samping dilimpahi dengan kebahagiaan berkeluarga… YAM Tengku Amalin Aishah Putri juga pernah berkhidmat dalam bidang perundangan selama beberapa tahun. Sesuai dengan kelulusannya dalam bidang undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)… pada awal kariernya, YAM Tengku Amalin Aishah Putri telah memulakan tugas sebagai seorang Majistret di salah sebuah mahkamah di Kota Bharu bermula dari pertengahan tahun 2006 hingga 2009.
Setelah itu, YAM Tengku telah bertukar ke Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur dengan jawatan sebagai Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah. Dan akhir sekali memegang jawatan Timbalan Pendaftar sebelum kembali menyambung pengajian peringkat Master dalam bidang undang-undang di Universiti Melbourne, Australia.
Kini di samping menjalani kehidupan rumah tangga bersama suami dan anak-anak tercinta, YAM Tengku Amalin Aishah Putri juga memiliki firma guaman sendiri yang dibuka bersama dua lagi rakan kongsi.
Sumber: Instagram Koleksi Sultan Muhammad V