Merafak sembah tahniah kehadapan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Muhammad V, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Amalin Aishah Putri binti Almarhum Sultan Ismail Petra sempena ulang tahun keputeraan ke-37 pada 26 Jun lalu. Semoga dilanjutkan usia, dikurniakan rezeki dari segala sudut dan beroleh rahmat dari Allah SWT.
Tengku Amalin Aishah Putri diputerikan di Istana Mahkota, Kubang Kerian, Kelantan pada hari Selasa, tanggal 26 Jun 1984. Beliau merupakan cahaya mata bongsu dan satu-satunya puteri kepada KDYMM Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Kelantan ketika itu, KDYMM Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dan DYMM Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis binti Tengku Abdul Hamid.
YAM Tengku Amalin juga satu-satunya anakanda yang diputerikan ketika KDYMM Tuanku Ismail Petra ditabal sebagai Sultan Kelantan. Beliau dikurniakan tiga orang kekanda iaitu KDYMM Sultan Muhammad V, Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan YAM Tengku Muhammad Fakhry Petra.
YAM Tengku Amalin cukup bertuah kerana dikurniakan raut wajah penuh kelembutan yang sentiasa menarik perhatian masyarakat. Anggun berhijab dengan senyuman yang tak lekang terukir di bibir, keperibadian Tengku Amalin pastinya menjadi inspirasi ramai wanita.
Ketibaan bulan Jun saban tahun memberi sejuta makna buat YAM Tengku Amalin kerana selain menyambut hari ulang tahun keputeraan, bulan ini juga genap lapan tahun beliau melayari bahtera perkahwinan di samping suami tercinta iaitu YAM Pengiran Muda Abdul Qawi Ibni DYTM Pengiran Haji Mohamed Bolkiah.
Mengimbas kembali detik penyatuan jiwa di antara Tengku Amalin dan Pengiran Muda Abdul Qawi, pasangan diraja Kelantan Darul Naim dan Brunei Darussalam ini selamat diijab kabulkan pada sebelah malam, hari Khamis 27 Jun 2013 di Istana Mahkota, Kubang Kerian.
Hasil perkongsian hidup selama lapan tahun, YAM Tengku Amalin dan YAM Pengiran Muda Abdul Qawi dikurniakan tiga orang puteri. Puteri sulung, YAM Pengiran Anak Tengku Afeefah Musyafa’ah Bolkiah Puteri diputerikan pada 13 April 2014 di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.
Sementara puteri kedua iaitu YAM Pengiran Anak Tengku Azzahra Iffatul Bolkiah Putri pula pada Jun 2016. Manakala puteri ketiga, YAM Pengiran Anak Tengku Zaafirah Muizzah Bolkiah Puteri diputerikan di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab ll, Kota Bharu, Kelantan pada 12 Februari 2020.
Bersyukur dengan kurniaan keluarga bahagia, Tengku Amalin dilaporkan pernah berkhidmat dalam bidang perundangan selama beberapa tahun. Beliau mempunyai kelulusan dalam bidang undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).dan pernah bertugas sebagai Majistret di salah sebuah mahkamah di Kota Bharu sekitar pertengahan tahun 2006 hingga 2009.
YAM Tengku Amalin dikhabarkan berpindah ke Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur dengan jawatan sebagai Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah dan memegang jawatan Timbalan Pendaftar sebelum kembali menyambung pengajian peringkat Master dalam bidang undang-undang di Universiti Melbourne, Australia.
Sumber & kredit foto: Instagram Koleksi Sultan Muhammad V