Lumba Rebut Pahala 10 Hari Terawal Zulhijah, Rugi Kalau Tak Manfaatkan Hari Arafah – Insyaallah Terhapus Dosa!

Bulan terakhir dalam kalendar Islam ini adalah empat bulan haram, yang di dalamnya terkandung bonus pahala yang besar.

Terdapat satu hari dikatakan antara hari paling afdal di sisi Allah selain Jumaat iaitu pada 9 Zulhijah, juga lebih dikenali sebagai Hari Arafah. Hari Arafah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah iaitu satu daripada rukun fardu bagi umat Islam yang menunaikan haji di Tanah Suci.

Kemuncak daripada itu, Hari Arafah adalah satu hari yang Allah akan membebaskan sesiapa menghadiri Padang Arafah dan memuliakan hari berkenaan daripada api neraka. Oleh kerana itu, hari keesokannya iaitu Aidiladha (10 Zulhijah) adalah hari kesyukuran dan perayaan bagi umat Islam bagi menzahirkan kegembiraan serta kesyukuran ke hadrat Allah.

Kelebihan Hari Arafah tidak hanya terhad kepada jemaah haji di Tanah Suci, malah kelebihan itu juga turut dapat dinikmati oleh umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji dari seluruh pelosok dunia.

Umat Islam dianjurkan berpuasa pada sembilan hari pertama Zulhijah terutama pada Hari Arafah. Tidak diragui lagi ibadat puasa amalan ibadat yang afdal di sisi Allah berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: “Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan selepasnya.” Hadis Riwayat Muslim

Tapi terdapat beberapa amalan utama yang boleh dilakukan pada bulan Zulhijah. Kita digalakkan untuk melakukannya sepanjang 10 hari terawal Zulhijah. Ini seperti yang dikongsikan Presiden Multaqa Asatizah & Du’at (Murshid), Dr Zaharuddin Abd Rahman yang dipetik menerusi hantaran di Facebook miliknya.

 

(1) Berzikir

Basahkan lidah dengan memperbanyakkan zikir sebagaimana yang dianjurkan dalam hadis diriwayatkan oleh al-Tabarani.

Subhanallah

Alhamdulillah

La ilaha Illallah

Allahu Akbar 

Firman ALLAH SWT: “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama ALLAH, pada hari-hari yang tertentu..” (Surah al-Hajj, ayat 28)

Ketika menafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’, Ibn Abbas RA berkata, ia adalah 10 hari Zulhijah dan inilah juga pendapat majoriti ulama.

(2) Berpuasa

Umat Islam amat digalakkan berpuasa pada 1 hingga 9 Zulhijah bagi orang yang tidak menunaikan haji.

Ketahuilah, Hari Arafah iaitu 9 Zulhijah merupakan hari yang terbaik untuk kita berpuasa.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiada hari yang lebih banyak ALLAH membebaskan hambanya lebih daripada hari Arafah.” (Riwayat Muslim)

Apabila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah itu, baginda SAW menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

(3) Melakukan amalan-amalan lain

Umpamanya bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Semua amalan berkenaan termasuk dalam hadis umum yang menunjukkan perbuatan melazimkannya amat disukai oleh ALLAH SWT.

(4) Jauhi maksiat

Andai kita pernah berbuat salah dan dosa, inilah masa terbaik untuk memulakan taubat, terutama bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhkan perbuatan mulia itu.

Amat biadab jika umat Islam bersuka ria dengan melampaui batas haram pada hari yang amat agung di sisi ALLAH SWT ini.

Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat. Sedarilah bahawa hidup di dunia ini hanya sementara. Segala keseronokan yang ada di muka bumi hanyalah tipu daya semata-mata.

(5) Bertakbir

Ibn Abi Shaibah menyebut, ‘Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga Tashriq.

Program Qurban Kasih Neelofa

(6) Berkorban

Ia merupakan amalan yang dituntut bagi umat Islam yang berkemampuan. Hukumnya adalah sunat muakkad.

Firman ALLAH SWT: “Sesiapa yang membesarkan syiar ALLAH (berkorban), maka ia adalah dari tanda ketakwaan hati.” (Surah al-Hajj, ayat 32)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh ALLAH SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang)” ( Riwayat al-Tirmidzi, Abu Daud; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan)

Justeru, kita digalakkan untuk memperbanyakkan dan meningkatkan amal soleh serta ketaatan kepada ALLAH SWT pada 10 hari yang pertama ini.

Semoga ALLAH SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-NYA yang mendapat rahmat, keampunan dan pelepasan daripada api neraka.

Sumber: Sinar Plus, Bayan Li Al-Haj Siri ke-32: Keistimewaan dan Fadhilat 10 Awal Zulhijjah: Marilah Kita Beramal, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Facebook Dr Zaharuddin Abd Rahman

Share
Published by
Norzalina