Pernah dengar Kuih Cucur Jawa atau Penyaram? Ada yang memanggilnya kuih topi, cucur tuang dan sebagainya. Rupanya ada iras-iras kuih apam versi goreng.
Secara ringkas, kuih Cucur Jawa ni adalah kuih lama atau kuih ‘legend’ kegemaran ramai. Cara membuatnya mudah sangat. Bahan-bahan yang digunakan pun tak banyak dan senang nak dapatkan.
Namun begitu, walaupun caranya sangat mudah tetapi kuih Cucur Jawa ni ada ‘pantang larangnya’ kalau nak dapatkan rupa bentuk yang cantik. Anda akan dianggap berjaya kalau bahagian tepinya kemas berbentuk bunga, bergerigi dan bertebing.
Seperti mana yang dikongsi oleh wanita cantik ini yang juga model dan bekas finalis Pencarian Covergirl Dara.com 2011/2012, Lynda Roslan. Bukan sekadar cantik, ibu kepada tiga anak ini memang pandai memasak. Lynda beruntung kerana sejak bergelar suri rumah sepenuh masa dia mempunyai banyak masa bersama keluarga.
Bila hari-hari memasak di rumah, tiada masalah buat Lynda untuk menyediakan menu buat keluarga terutama sepanjang PKP. Namun, Lynda memilih untuk menyediakan menu ringkas dan cepat. Mujurlah anak-anaknya tidak memilih makan. Salah satu menu kegemaran Lynda sekeluarga ialah kuih Cucur Jawa Gula Merah.
Menurut Lynda, kuih ini merupakan kegemarannya sejak kecil. Sememangnya air tangan ibunya tiada tandingan.
“Teringin punya pasal. Biasanya ‘import’ mak je minta buatkan. Ni PKP tak boleh nak ‘import’ so sepanjang time bancuh tu asyik video call je la nak tunjuk bancuhan tu okay ke tak. Resipi ni jenis kena peram, nanti bunga tepinya tak menjadi.
Semalam tak berapa jadi bunga tepi tu sebab baru bancuh tapi tak sabar nak goreng. Pagi ni elok haa kejadiannya. Puas hati! Buat pembaca Nona berikut dikongsikan resipi dan pantang larang kuih Cucur Jawa ini. Menarik!
RESIPI CUCUR JAWA GULA MERAH
Bahan A (air gula):
1 cawan gula merah
4 sudu gula
Secubit garam
Bahan B:
2 cawan tepung beras
1 cawan tepung gandum
Cara Membuat:
Satukan bahan-bahan A dan masak atas api hingga larut. Matikan api dan ketepikan seketika, biar sejuk. Sementara itu, bancuh sebati bahan-bahan B dengan air gula yang telah disejukkan tadi. Sukat dua cawan, kalau tak cukup dua cawan baru tambah air. Pastikan bancuhan tidak terlalu cair atau pekat.
Setelah itu simpan semalaman. Kalau hendak goreng pagi, bancuhlah malam sebelumnya. Sebelum goreng letak minyak sedikit saja, anggaran dalam satu piring cawan kopi. Gunakan api kecil dan pastikan kuali betul-betul panas sebelum menggoreng.
View this post on Instagram
CUCUR JAWA menu petang. Ada ke peminat cucur jawa kat sini? Or tak kenal kuih ni? 😄
Pantang Larang Kuih Cucur Jawa
- Peram semalaman (tak boleh lepas bancuh terus goreng) Letak pada suhu bilik.
- Minyak untuk menggoreng tak boleh banyak.
- Kacau selalu setiap kali sebelum tuang dalam kuali. Kacau dulu adunan itu.
- Sukatan setiap satu cucur, satu senduk kecil.
- Kalau adunan tak habis digoreng, masukkan ke dalam peti sejuk.
- Bancuh dalam periuk sahaja, tak boleh dalam bekas plastik.
- Kalau nak goreng adunan dari dalam peti ais, tunggu rasa sejuk itu habis dulu kemudian baru goreng.
- Kalau pekat sangat tambahkan air sedikit demi sedikit.
Jadi, dah dapat idea untuk minum petang ni? Kalau bahan-bahannya ada di rumah boleh cuba! Jangan lupa ikut sekali pantang larangnya agar hasil yang diperolehi tak mengecewakan.
Kredit Foto: Instagram Lynda Roslan