Berita mengenai kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menemui konklusinya apabila Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan ke atas Najib berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.
Nooryana Najwa Najib tidak dapat menyembunyikan rasa sedih dan kecewa apabila melihat bapanya diiringi ke penjara bermula hari ini untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.
Nooryana Najwa Najib berikrar untuk terus berjuang sehingga bapanya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dibebaskan dan kembali bersama keluarga.
Dalam catatan di Instagram peribadinya, dia menulis bapanya tidak mendapat ‘keadilan’ di mahkamah tertinggi negara hari ini.
”Mungkin kita tidak cukup berjuang. Mungkin kita meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada sistem keadilan kita. Mungkin kita terlalu percaya dengan sepenuh hati sebab dan tujuan kita sehingga kita berani berjuang selama empat tahun ini.
”Namun, ayah tidak mendapat keadilan hari ini, kami juga tidak berpeluang bertempur,” luahnya.
Nooryana turut mendoakan ayahnya, yang akan menjalani hukuman penjara petang ini, terus kuat dan berjanji akan menjaga ibunya, Datin Seri Rosmah Mansor; adiknya, Ashman dan ‘Abang Jaja’.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan ke atas Najib berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusan lima panel hakim itu berkata, mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Bicara ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Sumber: ASTRO Awani
This website uses cookies.