Macam Adik & Kakak, Majlis Pertunangan Anak PUAN SRI NORMALA Tarik Perhatian!

Tahniah buat anak Puan Sri Normala Samsudin, Dr Ruhila Roslan yang selamat melangsungkan pertunangan baru-baru ini. Meskipun berlangsung dalam situasi berjaga-jaga susulan wabak Covid-19 masih belum reda pada 3 Oktober lepas namun tuan rumah tetap patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan. Ini termasuk pemakaian pelitup muka buat tetamu yang hadir, hand sanitizer dan pemeriksaan suhu badan serta penjarakan fizikal.

Yang pasti, majlis pertunangan Dr Ruhila yang diadakan serba indah dan dalam skala kecil ini menjadi perhatian ramai. Apatah lagi, Puan Sri Normala turut memuat naik momen istimewa anak tersayang di media sosial miliknya. Sebagai ibu, sudah tentu beliau antara individu paling bahagia pada hari berkenaan. Malah, jelitawan ini turut menitipkan doa terbaik buat Dr Ruhila.

“Mama doakan yang terbaik untukmu, moga perjalanan ini akan dipermudahkan Allah jua. Fasa pertama meninggalkan zaman bujang sudah pun selesai. Setelah semua rakan-rakannya kini menjadi suri dan ibu, dia baru mula terbuka hati melangkah ke alam baru. Moga Allah rahmati dan berkati. Amin.”

Dr Ruhila yang anggun menyarung busana pastel tampak berseri-seri walau hanya mengenakan solekan nipis. Tidak kurang juga ibunda tersayang yang kelihatan menawan dalam persalinan hijau lembut. Sekali pandang, ibu dan anak ini ibarat adik-beradik! Kedua-duanya cukup manis dipandang.

Difahamkan, pada majlis tersebut sahabat Dr Ruhila yang pernah menuntut bersama-sama di Kolej Tunku Kurshiah turut hadir memeriahkan majlis. Kongsi Puan Sri Normala dalam salah satu posting beliau, “Love these smiles, teased by friends, she laughed when surrounded by close friends. Since TKC her friends were like my own kids. Tetiba rasa macam ramai anak perempuan. So much fun!! Riuh rendah.”

Dr Ruhila kini meniti usia 28 tahun dan bergelar tunangan kepada jejaka kacak, Majid Nazli. Selain dikurniakan rupa paras cantik, gadis ini juga seorang yang bijak dan aktif. Malah, Dr Ruhila merupakan seorang doktor gigi.

Dalam temubual bersama Nona dalam edisi Mei 2020 lalu, Dr Ruhila mendedahkan dia berhasrat untuk mengakhiri zaman bujang sebelum usia 30 tahun dan impian tersebut kini dimakbulkan Allah. Bercerita mengenai majlis perkahwinan pula, Dr Ruhila mengimpikan resepsi Garden Wedding dan tidak terlalu gah serta melaksanakan apa yang perlu selain untuk mengelakkan pembaziran.

 

 

 

Kredit foto: Instagram Normala Samsudin

Share
Published by
Suzi