Setelah beberapa kali muncul di kaca televisyen menyampaikan amanat dan pelaksanaan kerajaan mengekang wabak Covid-19, hari ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menarik perhatian rakyat selepas turun padang ke sebuah pasaraya di Kuala Lumpur untuk melihat sendiri keadaan semasa di sana selain membeli barangan keperluan. Santai mengenakan kemeja lengan pendek, beliau turut dilihat memakai penutup muka dan hidung serta bersarung tangan.
Seperti kebanyakan pengunjung lain, Tan Sri Muhyiddin tidak terkecuali menjalani pemeriksaan suhu badan di pintu masuk sebelum memasuki pasaraya.
Kongsi Tan Sri Muhyiddin di laman Facebooknya, “Pagi tadi saya sempat turun ke sebuah pasaraya di Kuala Lumpur. Cari barang-barang sedikit sambil melihat amalan orang ramai di pasaraya. Alhamdulillah, ramai sudah peka mengenai keperluan penjarakan sosial. Barang-barang di pasaraya pun penuh. Jadi kita tidak perlu panik.”
Menjengah ruangan komen di Facebook Tan Sri Muhyiddin, rata-rata rakyat tidak kira agama dan bangsa memuji sikap prihatin Perdana Menteri Kelapan ini sambil menyifatkan beliau seorang pemimpin yang sarat dengan naluri kebapaan. Tidak kurang juga yang melahirkan rasa bimbang akan keselamatan Tan Sri Muhyiddin memandangkan wabak Covid-19 yang masih belum reda.
Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang salah satu objektifnya adalah untuk membantu golongan yang terjejas akibat virus berkenaan. Dengan pengumuman itu pastinya ia telah memberi kelegaan kepada rakyat.
Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Kelapan pada 1 Mac lepas. Meskipun belum cukup sebulan mentadbir negara namun telah banyak usaha yang dilakukan beliau dalam keadaan yang serba mencabar ketika ini.
Apa-apa pun, Nona mendoakan agar Tan Sri Muhyiddin diberi kesihatan yang baik untuk terus mentadbir negara demi kemakmuran dan keselesaan rakyat berbilang kaum.
Minggu Kraf London 2023 Menampilkan Seni Tenunan Iban, 3 Wakil Yayasan Tun Jugah Bakal Sertai Pameran
Tiga wakil Yayasan Tun Jugah bakal menyertai pameran yang akan diadakan sempena Minggu Kraf London 2023 bermula pada 6 hingga 14 Mei ini.
Wakil tersebut termasuk Pemegang Amanah Pengurusannya Melia Linggi, Kurator Muzium Janet Rata Noel dan penenun Shirley Vilin yang akan mempamerkan dua produk tekstil Iban yang terkenal iaitu kebat Iban dan pua Kumbu.
Memetik perkongsian Bernama, pameran ini akan dianjurkan oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melalui yayasannya iaitu Yayasan Tenun Pahang Diraja.
Pameran ini akan diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia London, beralamat di 45 Belgrave Square SW1 bermula jam 11 pagi hingga 5 petang setiap hari.
Untuk info, Yayasan Tun Jugah yang ditubuhkan pada 1985 bertujuan untuk memelihara dan mempromosikan kaedah tradisional tenunan Iban bagi memberi pemahaman lebih mendalam tentang tekstil dan tradisi tenunan Iban, demi kepentingan tempatan dan antarabangsa.
Kredit Foto: IG Yayasan Tenun Jugah
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Hari Wanita Sedunia 2022 Raikan Perjuangan Wanita, Bangkit Memecahkan Stereotaip
Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2022, Twitter membawa kempen #SheInspiresMe di seluruh Asia Tenggara bagi meraikan peranan dan sumbangan wanita dalam memberi inspirasi kepada komuniti mereka.
Hari Wanita Sedunia bertujuan membentuk masyarakat seimbang serta menghormati setiap pencapaian dari segi sosial, ekonomi, budaya dan politik di kalangan wanita yang bangkit memecahkan stereotaip.
Meniti arus globalisasi, wanita menggunakan media sosial seperti Twitter sebagai medium perbualan dalam membincangkan isu-isu semasa termasuk hak wanita, akses kepada sumber dan isu sosial. #WomenOnTwitter menyumbang, membentuk, dan membangkitkan beberapa peristiwa penting di Twitter.
Para wanita juga dapat berinteraksi dengan komuniti mereka yang mempunyai pandangan dan hala tuju yang sama. Sekaligus, memberi inspirasi kepada mereka yang terdiri dari Ketua Pegawai Eksekutif, artis digital, pakar kewangan peribadi hinggalah ke sektor perubatan.
Kenali 8 wanita inspirasi yang bangkit menempuh cabaran melalui Twitter:
ALINA AMIR
Pengasas Bersama Arus Academy
Graduan dari University of Illinois di Urbana Champaign dan berpengalaman sebagai penganalisa di Accenture Management Consulting selama setahun. Alina menyertai gerakan Teach For Malaysia (TFM) bagi membanteras ketidakadilan dalam sistem pendidikan. Pada tahun 2014, Alina tercalon mewakili Malaysia di World Innovation Summit for Education di Doha, Qatar. Pengalaman di TFM telah membuka matanya bahawa lebih banyak perkara yang perlu dilakukan.
Alina bersama 3 alumni TFM memulakan Arus Academy untuk menjadi sebahagian daripada jalan penyelesaian dalam memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar. Arus Academy menawarkan program kurikulum berkaitan falsafah Maker Education, komputer dan STEM kepada pelajar yang kurang berkemampuan. Alina turut menyatakan minatnya dalam menggunakan Twitter sebagai platform pembangunan profesional kegemarannya serta mendapatkan inspirasi daripada pendidik seluruh dunia.
“Kita dibesarkan dalam persekitaran di mana wanita perlu menjadi submisif, pasif, dan pendiam. Dalam bidang kerja yang majoritinya lelaki, saya cuba untuk kawal perasaan-perasaan tertentu di tempat kerja, atau punca ketakutan saya untuk bersuara dan menilai sama ada ia adalah akar dalam norma budaya kita.”
BOO SU LYN
Ketua Editor di CodeBlue
Misinya untuk menangani isu serangan seksual, salah laku etika dan isu penjagaan kesihatan. Boo sentiasa bersuara berkenaan isu-isu ini di Twitter dan menurutnya, Twitter adalah platform terbaik untuk pakar subjek menyampaikan maklumat yang kompleks terutama dalam bidang kesihatan, sains dan perubatan. Boo menggunakan Twitter sebagai alat advokasi untuk abstrak Rang Undang-undang kerajaan mengenai kawalan penyakit berjangkit dalam konteks kehidupan sebenar.
Dengan cara ini, rakyat Malaysia dapat memahami impak dan ketidakadilan penalti yang dikenakan terhadap salah laku COVID-19. Baru-baru ini, beliau telah melancarkan Ova, sebuah laman berita yang membicarakan isu kesihatan wanita dan perkara-perkara lain seperti ruang pekerjaan, hak wanita dalam seks, dan rumahtangga.
“Lelaki dan wanita perlu hentikan stereotaip terhadap jantina. Kenal pasti diskriminasi jantina dan bebannya yang lebih berat ke atas wanita. Contoh, wanita bekerjaya memikul tanggungjawab membesarkan anak dan mengurus hal rumah tangga yang lebih berat. Para lelaki hendaklah memberi sokongan kepada pasangan.”
DR AMALINA CHE BAKRI
Pakar Bedah Am, National Health Service UK
Felo Penyelidik Klinikal di Imperial College London, Dr. Amalina terkenal dengan semangatnya dalam memperjuangkan hak wanita. Beliau menggunakan Twitter sebagai medium untuk memperkasakan wanita, memecahkan stereotaip, serta berkongsi petua kesihatan dan perubatan. Beliau turut berkongsi pengalaman menarik yang dilaluinya sendiri tentang stereotaip.
“Dalam pembedahan kecemasan, saya pernah membedah seorang warga emas lelaki. Keesokan harinya, saya melawat beliau dan memperkenalkan diri saya sebagai pakar bedah kes tersebut. Saya menerangkan tentang keputusan pembedahan dan proses operasi yang telah dilakukan. Waktu itu, saya bersama-sama dengan junior yang juga rakan sekerja saya iaitu seorang lelaki warga tempatan yang tinggi dan berkulit putih. Beliau memegang nota pesakit manakala saya masih dalam pakaian bedah. Selepas saya bercakap dengan pesakit selama kira-kira 10 minit, pesakit kemudian bertanya kepada rakan sekerja saya, “Jadi, adakah kamu pakar bedah?” mengabaikan apa yang saya katakan kepadanya selama 10 minit yang lepas. Dia menyedari kesalahannya dan meminta maaf.”
IVY JOSIAH
Aktivis Hak Asasi Wanita
Berperanan penting dalam pembentukan Women’s Aid Organisation, sebuah NGO Malaysia yang memberikan bantuan kepada wanita untuk bebaskan diri daripada keganasan rumah tangga. Kini, Ivy bersama 4 organisasi wanita menerajui Tribunal Wanita pertama Malaysia. Misi tribunal adalah untuk menyediakan satu bentuk keadilan alternatif serta advokasi untuk hak wanita dan kesaksamaan jantina di negara ini. Usaha ini akan memperkasakan suara wanita yang terjejas oleh diskriminasi jantina.
“Pemerkasaan adalah peribadi dan politik, anda bukan sahaja memperkasakan diri sendiri tetapi anda memperkasakan dan bekerja dengan wanita lain.”
MOON
Artis NFT
Mumu the stan, juga dikenali sebagai Munira Hamzah merupakan seorang artis visual dan penyair tempatan yang mencipta non-fungible tokens (NFTs) sebagai sumber pendapatan. NTFs adalah aset digital yang mewakili pemilikan item digital seperti karya seni dan barang koleksi. Dengan wujudnya NFT, artis dan pengumpul boleh menjadi pemilik kekal seni digital dan aset digital unik lain dan menjana pendapatan daripadanya. Karya seninya menarik perhatian Mike Shinoda dan telah menjadi pembeli NFT pertamanya. Mike juga mendorongnya untuk meneruskan NFT demi kelangsungan hidup. Pada tahun 2021, karya seni Moon pernah dipamerkan di Art Basel, Miami. Dengan NFT, Moon dapat menjana keuntungan dengan menjual karya seni digital. Tambahan lagi, beliau turut menerima royalti daripada penjualan semula karya seninya. Moon juga percaya, dengan wujudnya sistem desentralisasi, NFT menjadi sebuah medium yang dapat mendorong artis dari pelbagai lapisan masyarakat untuk berhubung dengan khalayak global dan meletakkan nilai karya itu kepada penciptanya.
“Sebagai seorang ibu, masyarakat sekeliling mengharapkan wanita untuk bekerja umpama mereka tidak mempunyai keluarga tetapi untuk menjaga keluarga seolah-olah mereka tidak mempunyai kerjaya. Wanita juga ada cela, dan kami juga ada impian dan cita-cita. Bukan hanya untuk memuaskan hati orang lain. Sebaliknya, kita bekerja untuk diri sendiri. Fikirkan apa yang anda ingin capai. Jadilah kawan baik anda sendiri. Letakkan diri seperti mana anda masih kecil dan tanyakan kepada diri anda apakah matlamat hidup yang anda impikan?”
NADIAH WAN
Ketua Pegawai Eksekutif, Thomson Hospital
Merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Thomson Hospital, Kota Damansara dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TMC Life Sciences Bhd. Beliau juga memegang jawatan sebagai Pengarah di Institute of Corporate Directors Malaysia (ICDM) dan seorang mentor bersama sebuah NGO antarabangsa, Endeavour. Nadiah sentiasa memanfaatkan akaun Twitter beliau untuk membantu meningkatkan lagi komunikasi kesihatan. Nadiah kerap berkongsi pandangan tentang usaha kerajaan dalam memerangi virus COVID-19.
“Hal ini bertakuk kepada pilihan dan ia datang dari pemahaman pertama tentang apa yang anda inginkan untuk diri sendiri. Tidak semua wanita mahukan anak dan sesetengah wanita lebih suka menumpukan perhatian kepada keluarga daripada kerjaya mereka. Namun, berapa ramai wanita yang yakin bahawa ini adalah apa yang mereka mahukan? Antara soalan yang sering saya tanyakan kepada diri sendiri adalah jika saya meneruskan trajektori saya sekarang, apakah bentuk kehidupan saya dan adakah itu kehidupan yang saya inginkan?
NALINI ELUMALAI
Aktivis Hak Asasi Manusia
Berpengalaman selama 15 tahun sebagai aktivis yang memperjuangkan hak asasi manusia. Kini, beliau merupakan Senior Malaysia Program Officer di ARTICLE 19, sebuah NGO antarabangsa yang memperkasakan hak kebebasan bersuara. Sebelum menyertai ARTICLE 19, Nalini memegang jawatan di NGO, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), dan Anti ISA Movement (AIM).
“Kita perlu membuka minda dan membebaskan diri daripada norma masyarakat terhadap wanita. Jadilah diri sendiri dan jalani hidup anda tanpa sebarang penyesalan atau keraguan. Tidak mengapa untuk melepaskan diri dari rantai yang dikenakan pada wanita selama beberapa generasi.”
SURAYA ZAINUDIN
Pakar Kewangan Peribadi
Seorang penulis, penceramah dan pemasar digital. Suraya juga merupakan pengasas laman web kewangan peribadi yang popular, RinggitOhRinggit.com. Selain itu, beliau juga merupakan kurator siri buku ternama Cerita Duit Orang Malaysia. Suraya banyak meluaskan ilmu kewangan peribadi di Malaysia dengan berkongsi petua, nasihat untuk berbelanja dengan bijak, simpanan dan pelaburan. Beliau juga telus dalam berkongsi maklumat berkaitan pendapatan dan kewangannya sendiri.
“Pemerkasaan wanita ialah tugas seorang wanita untuk menjaga keluarga, komuniti dan masyarakat. kebanyakannya pada masa ini tidak berbayar dan hal ini akan meruntuhkan mereka dari segi ekonomi dan politik, diberi pampasan dari segi kewangan. Ia bukan hanya tentang ‘melengkapkan diri dengan set kemahiran untuk berjaya dalam dunia lelaki’, akan tetapi lebih kepada memperakui tugas yang dipikul secara percuma adalah sangat berharga dan layak mendapat ganjaran dari segi kewangan”.
“Fahamilah, walaupun anda fikir anda berjuang untuk hak dan kesaksamaan wanita, anda mungkin juga mempunyai perasaan berat sebelah yang tersembunyi terhadap wanita. Mungkin anda mahukan mereka menjadi lebih mudah disukai dan berkemahiran tinggi, sedangkan lelaki hanya perlukan kemahiran. Mungkin juga anda keliru antara keyakinan dan kecekapan. Mungkin anda tidak sedar, wanita sentiasa merendahkan diri mereka untuk lelaki walaupun hasil kerja mereka jauh lebih baik. Saya juga ingin menasihati anak muda agar mengamalkan budaya membaca. Jika anda mahu mempelajari sesuatu, bacalah buku mahupun artikel. Jika tidak berkesempatan, bacalah Tweets.”
Tengku Permaisuri Selangor Mencemar Duli ke Malam Pengiktirafan Hijab Fashion Award
DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat menghadiri majlis Hijab Fashion Award 2024 yang berlangsung di One World Hotel Petaling Jaya, malam tadi.
Bertemakan ‘Elegance in White & Nude Color’, keberangkatan Baginda mencemar duli ke majlis ini turut diiringi oleh isteri Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berbahagia Datin Seri Masdiana Muhamad.
Buat julung kalinya, Majalah Nona dan Hijabista mengiktiraf 13 individu ikonik yang cemerlang dan berjaya mencetus revolusi dalam bidang fesyen hijab tanah air.
Pengiktirafan ini bukan hanya sekadar penghargaan, tetapi juga satu langkah ke hadapan dalam mengangkat pencapaian mereka yang telah mengubah landskap fesyen modest tanah air.
Editor Pengurusan Majalah Nona, Hijabista dan Mingguan Wanita, Kiffy Razak berkata, penganjuran program itu bagi mengiktiraf kejayaan wanita dalam bidang fesyen hijab dan pencapaian mereka mengubah landskap fesyen sopan di tanah air.
“Tujuan kami adalah untuk memberi pengiktirafan kepada usahawan wanita yang telah memberikan sumbangan besar dalam membentuk dan memajukan industri fesyen berhijab serta memberi inspirasi kepada generasi masa depan mengejar impian dalam bidang ini,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Seramai 13 penerima anugerah pada majlis tersebut antaranya pempengaruh Muabellaz yang memenangi kategori Hijabista Influencer, Hijabista Styling (Didiyana Ehsan), Hijabista Most Glam(Rozita Che Wan), Hijabista Legend (Noor Kumalasari), Hijabista Achievement (Vivy Yusof) dan Hijabista Inspirational (Maryam You Narae).
(Tiada Dalam Gambar)
Hijabista Most Glam Award – Rozita Che Wan
Hijabista Favourite Couple Award – Dahlia Rizal & Imran Aqil
Pada majlis itu juga, jenama Leeyanarahman dinobatkan sebagai penerima Hijabista Fashion Brand Award sekali gus mengiktiraf kejayaan usahawan dan pengasas jenama itu iaitu Nur Liyana Abdul Rahman dalam membina empayar fesyen dan mencetus fenomena tersendiri dalam kalangan peminat fesyen hijab.
Majlis itu turut diserikan dengan peragaan koleksi fesyen sempena lebaran tahun ini daripada jenama Leeyanarahman dan pereka fesyen, Datuk Radzuan Radziwill.
#hijabfashionaward
#hijabistaaward
#leeyanarahman