Seorang punya nama besar dalam bidang peragaan dan seorang lagi cukup dikenali sebagai pelakon handalan Hollywood. Meskipun masing-masing tidak seaktif dahulu dalam bidang yang diceburi namun kelibat anak gadis Cindy Crawford mahupun Reese Witherspoon ini dilihat seolah-olah satu ‘legasi’ yang ditinggalkan oleh mereka berdua.
Apatah lagi kedua-dua anak gadis selebriti ini mempunyai wajah yang sangat mirip dengan ibu mereka. Bentuk wajah yang sama, ketinggian, senyuman begitu juga warna rambut. Bak kata orang, macam ‘photostat’ lah!
Cindy Crawford & Kaia Gerber
Bila bergelar anak kepada supermodel terkenal, Cindy Crawford, pastinya setiap penampilan dan gerak-geri Kaia Gerber menjadi buruan lensa paparazi. Peragawati yang pernah popular sekitar tahun 1980an dan 1990an tersebut kini mampu berbangga apabila anak gadisnya yang berusia 18 tahun tersebut mengikut jejak langkah beliau dalam bidang peragaan.
Cindy yang kini meniti usia 53 tahun bagaimana pun kekal ramping dan cantik semula jadi. Demi memastikan bentuk tubuh ideal, supermodel ini aktif menjalani rutin senaman harian.
Bukan calang-calang, Kaia juga telah menandatangani kontrak dengan IMG Models. Wajah sering menghiasi pentas peragaan jenama mewah terkenal dan seperti ibunya, gadis ini nyata memiliki aura luar biasa tatkala berada di atas pentas. Satu yang pasti adalah Kaia mewarisi kecantikan dan susuk tubuh tinggi lampai daripada ibunya!
Reese Witherspoon & Ava Phillippe
Wajah anak dan ibu ini memang seiras! Pendek kata, Ava adalah bayangan Reese ketika zaman mudanya. Mengimbas kembali permulaan karier, Reese mula dikenali sejak membintangi filem Legally Blonde sebagai Elle Woods.
Meskipun Ava belum lagi menceburi bidang lakonan dan seni seperti ibunya, kemunculan Ava di majlis red carpet di samping Reese ternyata mencuri tumpuan ramai. Walau masih belajar namun Ava sudah pun berjinak-jinak dalam dunia peragaan.
Mungkin satu hari nanti gadis berusia 20 tahun ini akan ikut jejak langkah ibunya sebagai bintang filem. Siapa tahu, kan?