Seorang punya nama besar dalam bidang peragaan dan seorang lagi cukup dikenali sebagai pelakon handalan Hollywood. Meskipun masing-masing sudah meningkat usia dan tidak seaktif dahulu dalam bidang yang diceburi namun kelibat anak gadis Cindy Crawford mahupun Reese Witherspoon ini umpama satu ‘legasi’ yang ditinggalkan oleh mereka berdua.
Apatah lagi kedua-dua anak gadis selebriti ini mempunyai wajah yang sangat mirip dengan ibu mereka. Bentuk wajah yang sama, ketinggian, senyuman, begitu juga warna rambut. Bak kata orang, macam ‘photostat’ lah!
Cindy Crawford & Kaia Gerber
Bila bergelar anak kepada supermodel terkenal, Cindy Crawford, pastinya setiap penampilan dan gerak-geri Kaia Gerber menjadi buruan lensa paparazi. Peragawati yang pernah popular sekitar tahun 1980an dan 1990an tersebut kini mampu berbangga apabila anak gadisnya yang berusia 20 tahun mengikut jejak langkah ibu tersayang dalam bidang peragaan.
Cindy yang meniti usia 55 tahun bagaimana pun kekal ramping dan cantik semula jadi. Demi memastikan bentuk tubuh ideal, supermodel ini aktif menjalani rutin senaman harian.
Ads
Bukan calang-calang, Kaia juga telah menandatangani kontrak dengan IMG Models. Wajah sering menghiasi pentas peragaan jenama mewah terkenal dan seperti ibunya, gadis ini nyata memiliki aura luar biasa tatkala berada di atas pentas.
Ads
Satu yang pasti adalah Kaia mewarisi kecantikan dan susuk tubuh tinggi lampai daripada ibunya!
Reese Witherspoon & Ava Phillippe
Ads
Wajah anak dan ibu ini memang seiras! Pendek kata, Ava adalah bayangan Reese ketika zaman mudanya. Mengimbas kembali permulaan karier, Reese mula dikenali sejak membintangi filem Legally Blonde sebagai Elle Woods.
Meskipun Ava belum lagi menceburi bidang lakonan dan seni seperti ibunya, kemunculan Ava di majlis red carpet di samping Reese ternyata mencuri tumpuan ramai. Walau masih belajar namun Ava sudah pun berjinak-jinak dalam dunia peragaan.
Mungkin satu hari nanti gadis berusia 22 tahun ini akan ikut jejak langkah ibunya sebagai bintang filem. Siapa tahu, kan?
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lembaran kerjaya Fazura berkembang indah. Segala sesuatu yang dikecapi tepat pada waktunya. Dari seorang anak seni, beliau bangkit membina empayar perniagaan gergasi. Tudung Fazura antara jenama hijab Malaysia yang mencipta fenomena, menjadi rebutan dan koleksi ramai, sekaligus menjemput lebih ramai Muslimat menutup aurat. Melalui bisnes yang dibangunkan itu juga, Fazura berjaya membantu ramai wanita lain.
Bukan mudah untuk menyusun temu janji dengan usahawan selebriti yang diangkat sebagai penerima Nona Hijab Business Award di acara berprestij Nona Superwoman Award 2022 ini. Takwim kerjanya padat. Saban hari sibuk dengan pelbagai urusan di dalam dan luar negara. Mujurlah ke mana sahaja kaki melangkah, Fazura sering ditemani suami tercinta Fattah Amin.
Paling mempesona, peralihan imejnya sejak berhijab langsung tidak membuat aktres dan penyanyi asal Pekan, Pahang itu ‘hilang bisa’ daripada terus bergaya.
Jalan hidup kita, suka atau duka, semuanya telah disusun cantik oleh Allah. Sejak berkahwin pada tahun 2018, pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin itu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang usahawan wanita yang terkenal di tanah air.
Kalau dulu sekadar mengusahakan butik fesyen House of Doll, kini beliau berjaya melahirkan lebih banyak rangkaian jenama gaya hidup dan Muslimah seperti Fazbulous, Fazura Skincare, Fazura Beauty, Tudung Fazura, Trudolly (jenama yang diusahakan bersama Puteri Zarith) serta yang terbaharu, Fazura Beauty Water.
Yang tumbuh dengan cepat, layu cepat. Yang tumbuh dengan perlahan, bertahan. Rentak bisnes Fazura yang progresif antara resipi kejayaan beliau meraih keyakinan pembeli, koleksi demi koleksi.
Mengimbau kejayaan Tudung Fazura sempena Ramadan lepas umpamanya, habis terjual sebanyak 200,000 helai dalam tempoh sejam. Itu belum termasuk koleksi-koleksi lain yang ‘sold out’ sebaik dilancarkan.
HIJRAH
Pertama kali melangkah keluar dengan transformasi hijab sepenuhnya, Fazura akui sungguh tenang. Penghijrahan itu sememangnya sudah diduga sejak awal lagi. Bermula dari sekadar berhijab hanya pada bulan Ramadan, Fazura dilihat perlahan-lahan menyenangi helaian yang lebih longgar dan sopan.
Tidak mendadak, akhirnya transformasi imej Fazura secara rasmi berlaku menjelang penghujung 2021. Fattah Amin dan ahli keluarga Fazura pastinya menjadi orang terawal paling gembira melihat perubahan wanita berusia 39 tahun itu.
“MasyaAllah, Dia permudahkan semua yang Faz buat. Apa saja yang terdetik di hati, tiba-tiba jadi mudah. Now I respect myself more!” Fazura
Sambil mengiyakan pendapat bahawa untuk bertudung itu mudah tapi untuk beristiqamah itu yang susah, Fazura tegas berpegang pada niat sebenarnya, iaitu menjadi wanita Muslimah yang sejati.
“Of course everyone has their own struggle. Macam saya yang baru berhijrah pun, hati selalu berbolak-balik. Saya selalu berdoa dan mohon juga doa semua kepada Allah agar kebaikan ini berterusan buat selama-lamanya.” Fazura
Paling menyentuh hati, Fazura sangat bersyukur kerana perniagaan tudung yang dijalankan sedikit sebanyak membuka hati segelintir kaum wanita untuk mula belajar menutup aurat.
Sebagai salah seorang selebriti popular yang pernah menerima banyak anugerah, laluan Fazura dalam dunia keusahawanan terbentang luas menggunakan platform peminatnya yang ramai. Terkini, jumlah pengikut beliau mencapai 5.7 juta di Instagram dan 460,000 di TikTok!
Ibu kepada si comel Nur Fatima Aisya, 2 tahun, itu juga menolak sangkaan klise tentang fenomena artis bertudung semata-mata untuk berniaga. Bersangka baik dengan takdir Allah, pasti hikmah di sebaliknya besar sekali.
Pun begitu, sebagai wanita yang sering diangkat sebagai ikon fesyen, adakah jiwa Fazura terhadap seni fesyen telah benar-benar berubah?
“Sekarang Faz lebih seronok dan suka berfesyen, malah makin suka explore macam-macam gaya hijabi. Mujurlah sejak dulu Faz seorang yang ringkas dan suka tudung bawal.
Koleksi wardrobe pun banyak seluar jeans dan oversized shirt yang sesuai dengan diri Faz yang baru. Cuma itulah, Faz nak cuba lebih banyak stail hijab yang berbeza.”
Bersyukur kerana bukan sahaja dapat membantu membuka pintu hati para wanita untuk berhijab, perniagaan Tudung Fazura juga turut membantu orang lain, khususnya stokis dan ejen menjana pendapatan selepas terkesan teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kata Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 itu, ramai stokis dan ejen yang bernaung di bawahnya sebelum ini hilang punca pendapatan.
Sentiasa mengutamakan circle yang sihat serta positif, Fazura yang kini mempunyai lebih 4,000 orang ejen serta dropship berdaftar bertuah kerana dirinya sering dikelilingi ‘besties’ yang saling mendorong satu sama lain.
“Kebanyakan ‘besties’ saya ialah golongan suri rumah yang ingin membantu suami menjana pendapatan. Saya bangga dengan kejayaan mereka yang sama-sama mendukung jenama Tudung Fazura serta produk-produk saya yang lain.
Ini membakar semangat saya untuk terus menghasilkan produk pada harga mampu milik yang sesuai untuk semua.”
Baca artikel perjuangan bisnes 1Minute Miracle bersama penerima Nona Best Cosmetic Brand Award, Ain Fatin Liyana ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ramai yang mengharapkan dengan mengamalkan diet dapat memiliki bentuk badan yang lebih ideal. Namun sayangnya, kurang pengetahuan tentang cara diet yang betul membuatkan ramai yang tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya sedang melakukan diet salah. Diet yang salah tidak akan membawa sebarang hasil mahupun manfaat, sebaliknya berisiko untuk memudaratkan diri sendiri.
Berikut 7 kesalahan diet yang sering terjadi dan sebaiknya dielakkan.
TIDAK BERSARAPAN
Melewatkan waktu sarapan bukanlah cara diet yang disarankan. Ini kerana tabiat ini boleh mengakibatkan anda makan lebih banyak dengan jumlah yang besar sepanjang siang hari. Selain itu, melewatkan sarapan juga boleh menurunkan mood dan meningkatkan obesiti. Keseimbangan gula dan insulin dalam badan juga akan terganggu sekaligus menyebabkan anda mudah terasa lapar.
MENGABAIKAN JUMLAH KALORI MINUMAN
Tahukah anda bahawa minuman segera mengandungi kalori yang cukup tinggi. Bahkan, minuman yang berlabel “jus buah” juga turut mengandungi kalori serta gula yang sangat tinggi sehingga boleh meningkatkan kalori harian. Ketika mengamalkan diet, membataskan kalori menjadi perkara penting yang perlu anda lakukan.
TERLALU BANYAK PROTEIN & LEMAK
Membataskan pengambilan karbohidrat serta meningkatkan protein dan lemak secara berlebihan boleh membahayakan badan. Keadaan ini juga berisiko untuk merosakkan bahagian ginjal seterusnya meningkatkan kadar kolesterol yang boleh menyebabkan penyakit jantung serta strok.
DIET TANPA GARAM
Diet tanpa garam kini menjadi trend yang popular. Namun begitu, tahukah anda bahawa makan tanpa menambahkan garam sedikit pun boleh membahayakan badan. Ini kerana, badan tetap memerlukan garam terutama untuk penghasilan hormon tiroid, memelihara keseimbangan cairan dalam badan, menjaga aktiviti sel-sel saraf, kontraksi serta relaksasi otot seterusnya meningkatkan fungsi otak. Namun begitu anda harus beringat agar pengambilan garam tidak boleh berlebihan. Berlebihan garam berisiko untuk diserang strok, jantung dan juga masalah ginjal.
KEKURANGAN SERAT
Diet dengan membataskan keperluan kalori harian tanpa sedar juga boleh menurunkan keperluan serat harian. Sedangkan, serat sangat diperlukan untuk membantu menurunkan berat badan dengan cara menahan rasa kenyang lebih lama. Selain itu, serat juga berfungsi untuk membantu melancarkan sistem pencernaan.
MEMUNTAHKAN SEMULA MAKANAN
Kebiasaan memuntahkan semula makanan yang telah dimakan secara paksa merupakan gangguan psikologi yang boleh membahayakan diri. Kesan sampingan yang dialami ialah sangat serius seperti kulit dan rambut yang kusam, kerosakan kelenjar air liur, osteoporosis, gangguan menstruasi, gangguan degupan jantung, sembelit serta gangguan emosi.
MAKAN UBAT PELANGSINGAN TANPA PENGAWASAN DOKTOR
Ada sesetengah individu yang menggunakan berbagai cara untuk menurunkan berat badan termasuklah mengambil ubat pelangsingan tanpa pengawasan atau nasihat doktor. Kebiasaan ini sangat membahayakan kerana kandungan di dalam ubat yang belum pasti selamat kemungkinan boleh merosakkan organ badan sehingga menyebabkan kematian.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pastinya ramai yang mengimpikan kehidupan bahagia seperti bekas personaliti TV, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain. Apa tidaknya, bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik dan berbakat dalam dunia penyiaran. Bahkan suri hati Raja Amir Shah ini bertuah kerana dikurniakan seorang suami penyayang dan setia serta anak-anak comel sebagai penyeri rumah tangga.
Mula mencipta nama sebagai pengacara menerusi program televisyen Majalah 3 dan menjuarai program realiti Malaysia Top Host 2005, Nurul Syuhada bakal mencecah usia 40 tahun pada November nanti.
Meskipun bakat wanita kelahiran Negeri Sembilan ini mampu bersinar lebih jauh namun Nurul Syuhada Nurul Ain nekad memperlahan karier pengacaraan sejak mendirikan rumah tangga dan menjadi ibu.
Difahamkan suami tercinta, Raja Amir Shah merupakan seorang Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah institusi perbankan.
Nurul Syuhada sah bergelar isteri kepada Raja Amir Shah Raja Azwa pada 16 Julai 2012. Menerusi perkongsian di media sosial, dia menzahirkan rasa syukur kerana usia perkahwinan mereka sudah pun menjangkau lebih sedekad.
Lebih istimewa, suami kesayangan turut menghadiahkan perhiasan bunga orkid putih dan sekeping kad ucapan sebagai tanda penghargaan kepada isteri tercinta.
13 tahun hidup sebagai suami isteri, pasangan ini bahagia dengan kehadiran sepasang kembar iaitu Raja Abdul Mateen dan Raja Nour Emaan, Raja Ahmad Shah dan Raja Aasiya Amaal.
Tanggal 20 Jun 2023, Nurul Syuhada dan suami menerima jemputan sebagai jemaah haji dan berkongsi pengalamannya mengerjakan rukun Islam kelima itu di media sosial.
Turut menemaninya ialah suami tercinta yang sama-sama menunaikan ibadah haji biarpun ia merupakan kali kedua dia melaksanakan ibadah itu.
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.