“Macam Mana Rupa Kita Pergi Mall, Macam Tu Jugalah Kena Cantikkan Diri Depan Suami,” Pesan Ratu Cantik Ini!

Terpesona dengan kecantikan yang dimiliki Miss Universe Indonesia 2013, Whulandary Herman ini. Mana tidaknya, walau pun sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak
yang bakal berusia setahun namun kejelitaan Whulan masih segar! Tidak keterlaluan jika penulis katakan rupa paras Whulan lebih berseri sejak bergelar isteri dan ibu. Pastinya sebab sedang diulit bahagia di samping insan tersayang.

Pernah menjadi wajah penghias Nona tidak lama dulu, Whulan yang kini berusia 30 tahun seorang yang ramah dan senang didekati. Kaya dengan sifat rendah diri dan kelakar, Whulan juga merupakan juara Puteri Indonesia 2013 sebelum mewakili Indonesia dalam pertandingan ratu cantik Miss Universe pada tahun yang sama. Bersandarkan wajah cantik, susuk tubuh lampai dan rambut panjang mengurai… tidak hairanlah dia mampu meraih perhatian juri di pentas ratu cantik. Sememangnya Whulan memiliki pakej lengkap seorang ratu.

“Pertandingan Miss Universe nyata mengubah hidup saya 100 peratus. Sebelum ini saya juga terlibat dalam bidang modelling

dan berlakon filem. Bagi saya, tanggungjawab
jadi lebih besar bila dah bergelar public figure. Untuk itu saya akan pastikan setiap apa yang saya kongsi kepada masyarakat tidak kira dalam media sosial atau sebaliknya adalah perkongsian yang berguna kepada orang ramai.”

Saat ditanya rutin kecantikan, Whulan tanpa berselindung akui mengamalkan petua tradisi tinggalan nenek moyang. “Dari kecil mama sudah pakaikan minyak kemiri di rambut saya setiap kali sebelum tidur. Ia adalah petua dari nenek yang masih kami amalkan. Begitu juga lidah buaya yang saya tanam di rumah dan pakai untuk muka dan elak selulit. Malah sejak dulu mama ajar, sejauh mana kita ‘terbang’ sekalipun jangan lupa asal usul kita. Termasuklah dari cara merawat diri, interaksi dan sebagainya.

Bahkan lepas bersalin saya turut berpantang 44 hari seperti yang disaran suami dan keluarga. Masa pantang, saya memang pakai bengkung, param dan sapu perut dengan
kapur. Memang saya ni jenis ikut tradisi. Iyalah, kalau tak jaga nanti tinggal kenangan saja body Miss Universe ni,” selorohnya.

Ujar isteri Nik Ibrahim ini lagi, “Mungkin ada di antara ibu-ibu yang ada anak ramai jadi lupa macam mana nak merawat diri sebab terlalu sibuk. Kalau saya, waktu ‘me time’ selalunya Subuh. Contohnya sambil siapkan sarapan sambil tu kita rawat rambut atau kulit wajah. Penting bagi isteri menjaga kecantikan lepas bersalin. Jangan sampai suami pulang ke rumah dan nampak keadaan isteri tak terurus.

Mama nasihat, macam mana rupa kita pergi ke mall… macam tu jugalah kita kena cantikkan diri depan suami. Bukanlah maksud kena mekap tebal. Sekurang-kurangnya
berdandan dan suami tengok pun tenang. Kalau suami pandang perempuan lain kita cemburu tapi bagaimana pula rupa kita depan suami? Adakah baik atau sebaliknya? Itulah yang mama selalu ajar dan ingatkan saya.

Bab makan pula saya jenis yang suka menu padang. Diet harian saya mesti ada ikan, sayur, daging dan nasi putih cuma saya lebihkan lauk daripada nasi. Ais krim pun saya makan sebab saya suka makanan yang manis tapi bersederhana. Cukup pukul 7 malam saya stop makan.”

Dikenali sebagai personaliti TV dan individu yang berpengalaman luas dalam pertandingan ratu cantik, Whulan kini merupakan pengusaha sebuah Beauty Camp dikenali sebagai Artika Whulandary. Tidak sekadar mengajar wanita tentang cara berjalan, bercakap dan kemahiran berkomunikasi untuk bertanding dalam ratu cantik… Whulan juga menjalankan perniagaan Dapur Universe yang mengetengahkan aneka sajian masakan Padang. Pandai Whulan merencana karier!

Selamat bergelar ibu pada tanggal 18 Jun 2019, ibu Nik Zayn Nik Ibrahim ini melahirkan cahaya mata sulungnya secara pembedahan memandangkan bayi lelaki yang dikandung
lahir pramatang. Dirisik tentang perkenalannya bersama suami tercinta, Whulan terbuka berkongsi kisah cinta yang terjalin dengan usahawan Malaysia berkenan.

“Semuanya bermula ketika saya sedang bercuti di Fiji Island sementara suami pula di Fuji Mountain. Kawan-kawan cuba kenalkan kami menerusi whatsapp group kerana mereka sangka kami bercuti di tempat yang sama. Suami ketika itu whatsapp saya secara peribadi dan mahu berjumpa. Lepas dia kongsi lokasinya, baru kami perasan yang tempat kami jauh beribu batu. Dan dari situlah sebenarnya bibit permulaan kami.

Kami sempat bertunang dan hanya enam bulan kenal, masing-masing setuju untuk nikah. Awal pertemuan dulu saya beritahu jika dia mahu serius dan sedang mencari isteri… saya sudah bersedia dan minta dia datang ke Indonesia untuk bertemua keluarga. Alhamdulillah, kami bahagia sampai sekarang,” akhiri Whulan yang gemar rutin senaman
yoga dan boxing.

 

Kredit foto: Instagram Whulandary Herman

Share
Published by
Suzi