Wow, terpegun tengok pelamin akikah permata hati Datin Seri Umie Aida dan suami, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang berlangsung pada 22 September lalu. Tak ubah seperti pelamin sanding pasangan mempelai yang sarat dengan elemen klasik! Ternyata, bayi perempuan comel yang diberi nama Aisya Humaira ini diberi kasih sayang secukupnya dan menatang seperti minyak yang penuh. Bertuah Aisya!
Mula berkongsi wajah anak comel ini di Instagram miliknya pada awal Julai lalu, bintang filem Dukun ini tanpa berselindung meluahkan rasa syukur dan terujanya sejak Aisya Humaira hadir dalam hidup beliau dan suami.
Memetik kenyataan Datin Seri Umie menerusi Harian Metro, kehadiran Aisya Humaira memberi nikmat luar biasa. “Kehadiran Aisya adalah rezeki yang Allah yang saya tak tahu nak gambarkan macam mana. Kegembiraan ini saya kongsikan bersama pada majlis akikah dan kesyukuran. Saya bersyukur sangat dengan kehadiran Aisya. Malah, sejak dia lahir, dia memberikan satu kenikmatan luar biasa kepada saya sekeluarga.
Selepas 10 tahun perkahwinan dengan suami, walaupun masing-masing ada anak, tapi dia ‘baby’ yang baru lahir yang saya ambil dari kecil. Tangisan dia menjadikan kehidupan suami isteri lebih bermakna.”
Kali terakhir Datin Seri Umie menguruskan anak kecil adalah sekitar 25 tahun yang lalu dan apabila kembali bergelar ibu… adik kepada Erma Fatima ini bagaimana pun mengakui tidak berasa kekok sebaliknya sangat teruja membesarkan Aisya Humaira dalam jagaannya sendiri. Datin Seri Umie Aida atau nama sebenarnya Umi Khalsum Rahmad Ali kelihatan cukup berseri sepanjang majlis kesyukuran tersebut berlangsung.
Setia ditemani suami tercinta di atas pelaminan, pasangan romantis ini turut mengenakan persalinan senada krim. Begitu juga pakaian si comel yang dibaluti dress warna sama. Cute sangat! Difahamkan dekorasi pelamin indah tersebut ilham perancang majlis popular, The Calla.
Ujar Datin Seri Umie lagi, “Alhamdulillah… hari yang penuh bermakna buat kami sekeluarga. Kehadiranmu, Aisya Humaira memberi 1001 sinar. Dilimpahkan rezeki majlis akikah dengan kehadiran Habib Najmuddin, Ustaz Iqbal dan Ustaz Syed Abdul Kadir, ahli Nur Badar, kaum keluarga, saudara mara dan rakan-rakan di majlis yang penuh bermakna ini. Aisya Humaira nama yang indah, semoga akhlakmu seindah namamu anakku.”
Sebelum ini, Datin Seri Umie dan suami berpeluang membawa Aisya Humaira bertemu dan beramah mesra dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di kediaman mereka di Putrajaya.