Sempena bulan Syawal dan meraikan Aidilfitri, portal majalah Mingguan Wanita di bawah Nu Ideaktiv Sdn Bhd telah mengadakan satu program cukup meriah dengan membawa kegembiraan dan berkongsi rezeki bersama anak-anak yatim dan asnaf pada 10 Mei 2023 bersamaan 19 Syawal 1444 Hijrah.
Program Sempurnakan Raya Mingguan Wanita bersama FGV Integrated Farming Holding Sdn Bhd julung kali diadakan bersama Rumah Kebajikan Anak Yatim & Asnaf An-Naafi yang terletak di Taman Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa, Ampang. Dan program seumpamanya pula merupakan tahun ketiga dijalankan oleh Mingguan Wanita bersama badan Kerajaan dan juga syarikat atau organisasi swasta.
Menariknya dalam program ini, ia bukan saja sambutan Aidilfitri semata-mata tetapi pihak FGV bersama Mingguan Wanita bersama-sama mengadakan rewang kenduri raya pada awal pagi lagi. Ini menjadikan acara ini bagaikan layanan VIP untuk anak-anak yatim dan asnaf di sini. Hidangan eksklusif untuk mereka!
Turut hadir dalam majlis ini ialah barisan pengurusan tinggi FGV iaitu Abdul Razak bin Aya, Azti Dian Fitriyanti Azmi dan Pegawai Bertanggungjawab untuk Ketua Pegawai Produk Pengguna serta pegawai lainnya. Manakala bagi pihak Mingguan Wanita diwakili oleh Puan Ani Nadila Yusof, Pengurus Besar Nu Ideaktiv Sdn Bhd.
Dalam majlis rewang itu, FGV menyediakan pelbagai juadah enak dan lazat. “Kami ingin jadikan majlis hari ini paling bermakna buat anak-anak yatim dan asnaf di sini. Sebab itu kami menggunakan produk makanan keluarannya di bawah jenama Ladang’57 seperti pisang cavendish, nenas MD2, beras wangi, ayam kampung dan jus buah-buahan. Semuanya produk premium eksklusif buat anak-anak ini,” jelas Abdul Razak.
Sepanjang berlangsungnya majlis ini, anak-anak yatim dan asnaf berasa amat teruja apabila diberikan peluang membuat persembahan nasyid selain mendengar perkongsian kisah teladan oleh Hana Ismail.
Menurut Puan Aishah atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Cah yang menguruskan rumah kebajikan ini, aktiviti rewang seumpamanya adalah yang pertama kali diadakan dan meriah dirasakan.
“Anak-anak memang terasa dihargai. Dapat jugalah mereka merasa betapa sibuknya apabila satu keluarga besar nak buat persiapan raya. Terima kasih kepada FGV dan juga Mingguan Wanita atas inisiatif murni ini,” ulasnya.
“Bertambah ceria lagi apabila kesemua mereka diberikan duit raya oleh pihak FGV dan goodies daripada Mingguan Wanita. Memang betul-betul gembira mereka sepanjang majlis berlangsung.”
Terdahulu, sebelum majlis ini diadakan, pihak Mingguan Wanita turut melancarkanTabung Skuad Sedekah bersama FGV sejak dari 15 April lalu dan sumbangan tetap dibuka dan diteruskan kepada sesiapa yang ingin menyumbang. Bagi yang ingin menyalurkan sumbangan boleh salurkan ke akaun: Ambank: 8881-0332-4721-4 (Pertubuhan Kebajikan Asnaf An-Naafi).
This website uses cookies.