Nama Mirol Jonit mungkin sedikit asing namun sejak kebelakangan ini sering menjadi pilihan selebriti tatkala hadir di majlis berprestij tanah air. Pereka muda yang berasal dari Melaka ini sering menampilkan rekaan yang berani dengan pemilihan fabrik yang bersesuaian. Berusia 27 tahun dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM), penulis mendekati figura ini lebih dekat untuk menyelami perjalanan seninya.
Setiap Pereka Memiliki Estetik Rekaan Mereka Yang Tersendiri. Bagaimana Pula Dengan Anda?
Rekaan saya atau lebih mudah dikatakan signature saya adalah bereksperimen dengan pola. Pola pakaian adalah elemen yang penting dalam menghasilkan rekaan. Ini adalah proses di mana rekaan ini akan berhasil seperti lakaran yang dibuat. Semua pereka mampu membuat lakaran yang hebat dan sukar untuk merealisasikan. Ini adalah satu cara saya berkarya kebanyakan rekaan saya polanya adalah sangat berbeza. Ini boleh dilihat dengan shape dan silhouette yang sangat berbeza. Dan saya percaya kekuatan pada gabungan shape, form dan silhouette akan terhasil satu rekaan yang kuat ditambah pula gabungan fabrik yang sesuai. Kebanyakan hasil rekaan saya amat minimal dan mungkin hampir tiada penggunaan labuci dan perincian yang berkilau. Bagi saya trend itu sudah berlalu dan kini fesyen perlukan potongan yang minimal tetapi bentuk yang luar biasa.
Siapakah Idola Anda Di Dalam Dunia Fesyen?
Saya amat mengagumi Karl Lagerfeld. Beliau merupakan pereka antarabangsa yang senior tetapi hasil rekaan beliau sentiasa baru dan trending di pasaran. Beliau menjadi inspirasi saya kerana banyak jenama mewah antarabangsa dapat sentuhan ajaibnya seperti Chanel, Fendi dan yang terbaru H&M. Semua menjadi evergreen serta dapat diterima seluruh dunia dan pelbagai lapisan pengguna. Karl juga sentiasa ketengahkan rekaan yang bereksperimen pola pakaian dari segi cutting, shape dan form ini yang membuat saya impress dengan beliau.
Bagaimana Pula Dengan Pereka Tempatan?
Bagi pereka tempatan pula saya amat kagumi Melinda Looi. Melinda dapat menghasilkan empayar sendiri dengan hasil karyanya yang tersendiri. Beliau mampu menembusi pasaran antarabangsa dan juga mampu tembus pakaian Muslimah walaupun dia berbangsa cina. Setiap koleksi Melinda akan ada elemen baru yang diterapkan seperti fabrik dan teknik detailing yang baru. Olahan ini membuat jenama Melinda Looi bertahan dan relevan dengan kehendak semasa dan trend fesyen.
Pereka Jenama Terkenal Barat Umpama Berlumba Mereka Fesyen Sesuai Untuk Wanita Berhijab Apa Pandangan Anda?
Ya saya akui ini apa yang sedang berlalu sekarang. Sebab utama ini terjadi adalah kerana ada permintaan yang besar di segmen ini iaitu hijab. Seolah-olah hijab ini lubuk lombong emas, sudah pasti semua pengeluar akan mencuba mendapatkan pasaran mereka masing-masing. Hijab bukan lagi sebagai fesyen yang asing bagi penggemar fesyen kerana ini sudah dianggap satu trend yang terkini malahan menjadi satu ikutan satu dunia. Jenama fesyen terkenal dan artis-artis barat memberi satu aliran yang sihat dan menaikkan nilai fesyen hijab di pentas fesyen dunia.
Siapakah Ikon Fesyen Glamor Di Mata Anda?
Ikon fesyen yang saya kagumi adalah Rihanna. Bagi saya beliau cukup pakej dan sangat berpengaruh dengan style dan personaliti.
Adakah Anda Bersedia Sekiranya Rekaan Anda Dikritik Dengan Perkataan Yang Tidak Sepatutnya Di Media Sosial?
Ya saya bersedia kerana apa yang kita impikan pasti ada bayaran yang patut kita terima. Jadi tepuk dada tanya selera. Kritikan ini sebenarnya akan membuat kita lebih berhati-hati dan belajar dari apa yang kita buat.