Inspirasi

‘Mahalnya’ Harga Jadi Atlet, Shah Firdaus Bertahun Jauh Dari Keluarga Demi Kerjaya & Terlepas Banyak Momen Famili!

Nama Muhammad Shah Firdaus Sahrom hangat diperkata warga maya sejak semalam selepas berakhirnya acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024. Prestasi dan semangat juang tinggi yang dipamerkan anak kelahiran Johor ini di pentas temasya sukan dunia berkenaan membuatkan peminat sukan tanah air bangga!

Biarpun tidak mendapat tempat di podium namun sekalung tahniah diucapkan buat Shah Firdaus kerana berjuang habis-habisan meraih pingat untuk negara di final keirin lelaki Olimpik Paris.

Ternyata kayuhan memukaunya untuk berada di kedudukan gangsa tidak kesampaian apabila terjatuh pada 250 meter terakhir bersama dua pelumba dari Jepun dan Great Britain iaitu Shinji Nakano dan Jack Carlin.

Pun begitu, seluruh rakyat Malaysia tetap menghargai usaha keras, pengorbanan dan perjuangan atlet berusia 28 tahun ini.

Dia yang dilahirkan pada 26 November 1995 menerusi temu bual bersama Astro Arena semalam menzahirkan rasa kecewa kerana selain tidak berpeluang membawa pingat untuk Malaysia, Shah Firdaus juga sedih kerana sudah berjanji membawa ibunya menunaikan umrah sekiranya meraih kemenangan pada acara keirin itu.

Meninjau media sosial Shah Firdaus yang kini memiliki lebih 130 ribu followers, rakan sepasukan Datuk Azizulhasni Awang ini pernah meluahkan rasa sedih apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga tersayang demi kerjaya.

“Perkongsian kisah berjauhan daripada ibu ayah bukanlah cerita janggal. Tapi ini kisah saya untuk dikongsi. Berkelana di bumi Australia sejak 2013 telah melatih saya untuk hidup sendiri, jauh dari belaian dan sedapnya masakan ibu, tenangnya mengeteh sambil berkongsi kisah dengan ayah, cerianya melayari hari dengan tawa adik beradik.

Untuk edisi Tokyo 2020 kali ini, hampir 2 tahun tidak berjumpa keluarga. Beratnya hati hanya Allah sahaja yang tahu.”

Dia juga menyifatkan kejayaan hari ini adalah berkat doa ibu ayah. Selain menghargai sokongan mereka selama ini.

“Terlalu banyak cerita jalan hidup keluarga yang saya terlepas. Tak dapat tengok adik-adik membesar depan mata.

Tapi itulah ‘mahal’nya harga yang perlu dibayar saat memutuskan nekad menjadi atlet. Saya yang anda lihat hari ini bukan hanya hasil latihan, penyelidikan dan perlumbaan.

Tetapi juga dari tiap jalur doa ibu ayah dan keluarga, pengorbanan yang tak pernah berkira, kerana mereka faham benar dengan hati, besarnya tugas saya untuk negara. Terima kasih ibu ayah dan keluarga, Terima kasih Allah untuk segala nikmat.”

Selain Shah Firdaus, adiknya iaitu Ridwan Sahrom turut mengikut jejak langkahnya sebagai pelumba basikal.

Februari lalu, jaguh berbasikal trek ini menerima Anugerah Olahragawan Negeri Johor.

Artikel https://www.nona.my/raih-pingat-pertama-olimpik-2024-untuk-negara-aaron-chia-hadiahkan-pingat-gangsa-buat-isteri-sempena-birthday/

 

 

 

IKLAN
Share