Gaya Hidup

‘Mahu AAFIYAH Hidup Sederhana.. Jauh Dari Limelight Kerjaya Saya’, DATUK SERI SITI NURHALIZA

Dari zaman anak dara, menamatkan zaman bujang dan bergelar isteri sehinggalah menjadi ibu pada Mac lalu.. sisi hidup Datuk Seri Siti Nurhaliza tak pernah ‘lenyap’ daripada pengetahuan ramai. Walau sudah lebih dua dekad menggegarkan industri seni negara, namun apa saja berita tentang penyanyi tersohor ini pasti menjadi bualan hangat. Pendek kata, setiap ‘inci’ kehidupan Datuk Seri Siti ingin diketahui peminat. Daripada tip langsing, rutin senaman, rahsia kebahagiaan, petua cantik … sampaikan apa yang dipakai pun menjadi ikutan.

Aura anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ni memang sangat luar biasa! Tak jemu-jemu orang hendak ambil tahu tentang Datuk Seri Siti. Macam ada tarikan magnet yang membuatkan kita terpukau dengan pesona yang dimiliki. Terbaru, Datuk Seri Siti sekali lagi menjadi penghias kulit Nona September 2018 dan buat pertama kalinya juga beliau digandingkan bersama menantu, Tya Arifin.

Dikurniakan cahaya mata perempuan, Siti Aafiyah selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga bersama Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.. kehadiran ‘Comel Si Pipi Merah’ ini nyata mengundang rasa gembira yang sukar diungkapkan Datuk Seri Siti. Lebih-lebih lagi kini Aafiyah menginjak usia lima bulan.

“Kehadiran Aafiyah adalah detik paling manis dalam hidup saya dan suami. Saya menghargai peluang yang diberikan oleh Allah SWT dan ini adalah amanah buat kami. Saya mahu mengabadikan setiap momen berharga bersama Aafiyah dan tidak sabar untuk melihat Aafiyah membesar depan mata.

Saya juga merasakan masa bergerak terlalu pantas. Banyak perkara yang harus dilakukan dan diselesaikan. Selepas melahirkan Aafiyah jadual kerjaya saya berubah sama sekali termasuklah tidak cukup tidur kerana menyusukan Aafiyah. Dari segi masa tidurnya pula kadangkala Aafiyah tidur pada pukul 2.30 pagi.

Dalam mendidik Aafiyah, saya dan suami akan lebih menekankan soal pendidikan, pengetahuan agama dan juga menyediakan keperluan untuk masa depannya. Kami juga mahu Aafiyah hidup secara sederhana, jauh dari limelight kerjaya saya.

Pun begitu saya akur kerana sedikit sebanyak Aafiyah tetap akan terkena tempias popularitinya. Walau apa pun saya dan suami akan memberikan yang terbaik buat Aafiyah. Semoga setelah Aafiyah dewasa kelak dia bijak memilih dan mengatur hidupnya sendiri.”

 

Tatkala ditanya rutin harian beliau setiap kali sebelum masuk tidur, sambil tersenyum ibu berusia 39 tahun ini melontar bicara. “Sebelum tidur biasanya saya akan baca doa dulu. Tapi sekarang ni sejak dah ada anak, saya kan doakan dulu untuk anak. Bila dia dah relaks.. dah tidur, baru saya masuk tidur.”

Sejak hadirnya Aafiyah, Datuk Seri Siti juga mengakui kehidupanya berubah secara total. Bukan hanya melibatkan jadual seni bahkan kehidupan peribadi dan waktu santainya juga lebih banyak tertumpu kepada si kecil. “Dah lama tak pergi tengok wayang sebab mengandung dan banyak tumpukan perhatian dengan keluarga. Filem terakhir saya tengok pun dah tak ingat.

Sehari nak upload gambar di IG tak tentu. Kadang-kadang lebih daripada 10.. kadang-kadang satu pun saya tak upload. Biasanya, average saya akan letakkan gambar dalam empat ke lima,” jelasnya yang menggemari sukan bola jaring, bola tampar dan badminton.

Share
Published by
Suzi