Mahu Ada Duit Sendiri, WAWA ZAINAL Nekad Buat Bisnes & Kini Jana Pendapatan Lumayan!

Sudah menjadi lumrah kehidupan ada ketika kita di atas, ada masa pula di bawah. Begitu jugalah yang dialami pasangan selebriti romantis Aeril Zafrel dan Wawa Zainal. Sebelum dikurniakan rezeki melimpah ruah seperti yang dinikmati hari ini, mereka juga pernah melalui liku hidup serba mencabar. Namun berkat kesungguhan untuk berjaya, kedua-duanya kini sukses dalam bidang yang diceburi.

Bagi Aeril, selain berlakon dia juga menjadi orang terpenting di sebalik perniagaan Wawa Cosmetics. Sementara Wawa atau nama penuhnya Nur Hawa Zainal Abidin pula dilihat
lebih aktif merencana hala tuju empayar Wawa Cosmetics berbanding kerjaya seni memandangkan perniagaan ini bukan hanya menjadi sumber pendapatan kepada mereka berdua. Bahkan turut menjana punca rezeki dalam kalangan agen dan stokis wanita Wawa Cosmetics di luar sana.

Bermula dengan jualan Wawa Soft Lens, jelitawan berusia 28 tahun ini terdetik untuk mengusahakan bisnes kosmetik miliknya, Wawa Cosmetics. Meskipun masih baru dalam industri kosmetik tetapi produk kecantikan ini mendapat sambutan luar biasa daripada peminat. Sehingga ke hari ini Wawa Cosmetics memiliki pelbagai rangkaian kecantikan termasuk make up kit, lip matte, lip treatment, pemerah pipi, serum, EE cushion, bedak padat, eyeliner, eyebrow dan pelbagai lagi.

Mengimbas kembali perjalanan awal sebelum bergelar usahawan kosmetik, Wawa terbuka berkongsi pengalaman bersama peminat di Instagram miliknya. Sambil memuat naik gambar di hadapan sebuah rumah, ibu tiga anak ini membuka cerita. “Inilah mahligai kami di awal perkahwinan dulu. Rumah sewa je. Masa tu nak beli rumah macam ni pun belum mampu. Ingat lagi.. masa lahirkan Attar duit simpanan cukup-cukup je nak bayar hospital, beli barangan baby. Tak ada pun barangan mahal untuk Attar.

Tapi syukur masa tu Instagram baru nak naik. Ramai gila peniaga barangan baby yang bagi gift review. Penuh satu bilik hari-hari tunggu abang posmen datang. Kedengaran selalu orang cakap-cakap, ‘Tu la ko nak kawin yang handsome aje. Cuba pilih yang kaya!!’. Punyalah cinta dengan Aeril Zafrel, saya tak kisah asalkan bahagia! Duit boleh cari tak apa. Ecewah macam dalam drama!

Lama-kelamaan tak tahan sebab asyik nak kena mintak duit suami je. Rasa malu yang amat. Daripada situ la Wawa start bisnes kecik-kecilan, online bisnes & alhamdulillah hari ini kami dah capai impian kami beli rumah, beli kereta idaman hasil meniaga. Syukur ya Rabb.”

Tambahnya lagi, “Sebenarnya kan kita ni semua boleh berjaya .. nak tak nak je. Kita sebenarnya terpenjara dalam minda ketakutan kita sendiri. Macam mana nak keluar dari penjara ketakutan tu?? KUNCI dia adalah KEPUTUSAN.. Berani buat keputusan!! Berani bertindak ! Selagi tak bergerak selagi tu la you all duduk dalam penjara ketakutan tu. So mulakan dengan tindakan ok.”

Awal Oktober lalu, Wawa turut berpesan, “Susah kan nak kurus?? Macam tu jugak la dengan kejayaan. Bukan hari ni buat esok dah kaya. Wawa dan Aeril pun bisnes dah lama. Jual baju pernah, jual tudung pernah, jual contact lens sehingga la Wawa Cosmetics sekarang since 2016. 4 tahun bukan sekejap pernah jatuh bangun balik. Siapa kata Wawa instant

kaya cubit dia. Now pun tak kaya lagi pun. Alhamdulillah cukup memadai buat Wawa dan team. Syukur.”

Disember 2019, keluarga bahagia ini menerima kehadiran orang baru yang juga cahaya mata ketiga Wawa dan Aeril yang diberi nama Aya Soffya. Khabarnya, nama indah Aya Soffya diambil sempena nama sebuah masjid di Turki. Pastinya, ia rezeki berganda buat mereka kerana selain bisnes yang semakin maju dan kemampuan memiliki rumah sendiri serta kereta mewah, mereka juga dikurniakan seorang lagi cahaya mata comel sebagai penyeri rumah tangga.

Wawa dan Aeril berkahwin pada tahun 2012 sebelum dikurniakan anak sulung, Ahmad Fakharuddin Attar dan anak perempuan, Hayla Maghfirahtul Azdkiyaa.

 

 

Kredit foto: Instagaram Wawa Zainal

Share
Published by
Suzi