Nama Nad Zainal bukan sahaja tersohor di persada seni tanah air malah nama wanita yang berusia 31 tahun ini semakin utuh dalam dunia perniagaan yang diceburinya.
Wanita yang mula popular menerusi drama televisyen berjudul Impian (Sunsilk Impian) pada tahun 2008 ini semakin rancak melebarkan empayar perniagaan yang telah diasaskannya sejak lima tahun yang lalu.
Lima tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan sedikit sebanyak telah membuka mata wanita ini dalam dunia perniagaan dan sudah mula mempelbagaikan cabang bisnesnya. “Saya masih lagi sibuk dengan promosi produk Audela, minuman kesihatan yang sudah nak masuk 5 tahun dalam pasaran.
Selain itu, kini saya mempunyai perniagaan berasaskan makanan iaitu MasDaebak Bakso Oden Viral. Syukur kerana bisnes baharu ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan alhamdulillah, sudah ada agen di seluruh Malaysia,” terang Nad Zainal yang turut membantu wanita lain untuk menjana pendapatan sebagai agen di bawah label perniagaannya.
Setiap usahawan pasti mempunyai idola atau ikon niaga yang menginspirasikan dirinya. Sebagai usahawan Nad Zainal juga mempunyai seorang idola yang mampu membuat dirinya untuk terus maju ke depan. “Saya sangat mengagumi cara Bonda Rozita mengemudi perniagaannya.
Bagi saya beliau seorang wanita yang berwawasan tinggi dan disenangi ramai,” ucap Nad Zainal yang kini mula sibuk dengan pentas seni dan akan masuk set penggambaran untuk Slot Samarinda dan drama bersiri terbitan Astro.
Nad Zainal optimis apabila berbicara tentang rancangan masa depannya. Wanita ini mahu lebih berjaya dalam dunia lakonan dan mengembangkan bisnes kecantikannya. “Saya mahu jadi usahawan dan pelakon yang lebih matang,” ujar Nad Zainal.
Tambahnya, perniagaan berasaskan kecantikan yang diusahakannya ini bukan membabitkan dirinya seorang diri. Terdapat agen dan stokist yang berdiri kukuh di belakangnya sentiasa menyokong di antara satu sama lain.
This website uses cookies.