Bertahun-tahun mempertahankan gelaran Ratu Pop Indonesia, kini Kris Dayanti mempunyai misi baru dan berhasrat menjadi wakil rakyat. Terang-terangan menyuarakan hasrat menyertai bidang politik secara serius pada pertengahan tahun ini.. Kris Dayanti atau lebih dikenali sebagai KD berkata dia sanggup meninggalkan dunia seni suatu hari nanti demi kesejahteraan masyarakat di sana.
“Jom, sama-sama mengikuti pesan Pak Jokowi. Mari berpolitik dengan gembira dan penuh kreativiti. Lahirkan harapan dan masa depan gemilang untuk rakyat, bukan ketakutan.”
Turun padang bertemu masyarakat semalam di daerah kelahirannya, Malang, isteri kepada Raul Lemos ini merupakan calon DPR RI dari PDIP untuk Daerah Pemilihan Jawa Timur V yang meliputi Kabupaten Malang, Kota Malang dan Kota Batu.
“Ketika kita sudah mendaftar, bererti kita sudah bersedia. Tentunya sebagai warganegara dan pada usia saya yang matang ini, saya ingin memberikan sumbangan untuk negara. Saya terjun ke politik bukan cuba-cuba ya. Saya yakin, politik boleh mensejahterakan rakyat.”
Malah, ketika berucap di hadapan penduduk Jawa Timur.. Kris Dayanti sempat berseloroh, “Yang jelasnya ini bukan mikrofon buat saya di panggung persembahan. Tapi cukup untuk menyuarakan visi misi saya dan cukup menghiburkan dengan lagu yang saya nyanyikan dan joget bersama warga desa. Sama saja hasilnya, alhamdulillah penonton gembira.”
Merasakan ia adalah waktu paling tepat baginya untuk berkecimpung dalam arena politik, Kris Dayanti juga menzahirkan rasa syukur kerana hasratnya itu turut mendapat sokongan padu daripada suami tercinta dan ahli keluarga.
Ujar Kris, disebabkan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada orang sekeliling membuatkan penyanyi ternama berusia 43 tahun ini semakin bersemangat mendalami selok-belok bidang politik.
Selamat maju jaya dan tahniah kepada Kris Dayanti!
Kredit: Instagram Kris Dayanti
This website uses cookies.