Datin Sharon telah merubah episod kehidupannya dengan menyertai pertandingan ratu cantik. Pernah meraih takhta Mrs. Asia International Charity Queen dan Best Traditional Wear yang dijadikan batu loncatan perubahan hidupnya.
Berlalu sudah episod menyertai pertandingan ratu cantik, Datin Sharon mengorak langkah ke hadapan dengan menganjurkan pertandingan Ratu Cantik selepas mengutip pengalaman menyertainya. “Saya memang seorang wanita yang akan membuat keputusan dalam sekelip mata.
Selepas tamat pertandingan ratu cantik yang saya sertai, saya mula rasa lapang dan ingin melakukan sesuatu yang berguna. Dipendekkan cerita saya telah berpeluang menganjurkan pertandingan ratu cantik, Mrs. Malaysia World 2014 buat pertama kalinya walau tanpa sebarang pengalaman dan bantuan dana.
Walaupun menempuh pelbagai dugaan dan rintangan tetapi akhirnya majlis gilang-gemilang itu berjalan dengan jayanya,” jelas Datin Sharon tentang pembabitan awalnya menganjurkan pertandingan ratu cantik.
Pengasas Bersama Mrs. International Global (MIG) ini begitu komited setiap kali melaksanakan tanggungjawab terhadap peserta di bawah naungannya. “Saya menyediakan sebuah platform kepada wanita yang sudah berkahwin dan wanita senior untuk meningkatkan keyakinan diri dan mencipta kejayaan peribadi dengan gaya penuh glamor.
Kuasa wanita tidak terhenti di dalam rumah sahaja. Keyakinan diri sangat penting walau hanya untuk kepuasan diri sendiri. Itu yang telah saya lalui dan saya mahu semua wanita menghargai kelebihan yang ada dalam diri mereka,” jelas National Director Mrs. International Global (MIG) ini.
Bermula dengan langkah pertama ini Datin Sharon terus mengorak langkah menganjurkan satu demi satu pertandingan ratu cantik ini. Di antara kejayaan yang telah dicapainya adalah dengan menganjurkan pertandingan ratu cantik berprestij Mrs. Malaysia World 2014, 2015, 2016 dan 2017.
Malah beliau turut menganjurkan pertandingan Mrs. Malaysia Chinatown International 2014 dan 2016. Lebih mencabar lagi apabila beliau turut menganjurkan pertandingan ratu cantik peringkat dunia, Mrs. Malaysia Asia International 2015 and 2016 dan Mrs. Asia International World Grand Finals 2015 and 2016. Malaysia telah menjadi tuan rumah untuk beberapa negara di Asia termasuk Singapura, Filipina, China, Hong Kong, Macau, Jepun, India, Sri Lanka dan lain-lain lagi.
“Jika ditanya apakah kepuasan yang saya peroleh sepanjang lima tahun menganjurkan pertandingan ratu cantik sudah tentu jawapan saya tumpang gembira apabila melihat perubahan dimensi kehidupan wanita ke arah yang lebih baik. Saya dahulu juga pernah melalui detik terindah sebegitu.
Pada tahun ini saya berhasrat untuk berehat kerana mahu meluangkan masa untuk diri sendiri dan keluarga. Saya merancang mahu meluangkan masa bersama semua my beauty queen. Mungkin kami akan mengadakan majlis makan tengah hari atau makan malam. Atau mungkin juga kami boleh keluar melancong bersama-sama. Hubungan saya dengan mereka begitu rapat umpama sebuah keluarga yang tidak dapat dipisahkan,” ungkap isteri kepada Dato’ Timothy Gan ini.