Mahu PAHALA SOLAT Sebagai Seorang Isteri, Ini Sebabnya Datin Rapidah Terima Lamaran Datuk Jalaluddin Hassan

Cara terbaik untuk melupakan adalah dengan mengikhlaskan. Dan cara menerima kehilangan adalah dengan bermula sekali lagi.

Setahun berlalu semenjak pemergian Datin Hashimah Aksan ke rahmatullah. Kisah arwah sebagai seorang isteri yang taat, pernah membuatkan banyak air mata tumpah mengenangkan pengorbanan teragungnya terhadap suami dan anak-anak.

Datuk Jalaluddin Hassan sendiri pernah rebah di pusara. Bayangkan bagaimana perasaan kehilangan yang ditanggung… Saban hari berzikir dalam sunyi dan rindu, dengan telekung arwah yang terlipat kaku di tepi tikar sejadah. Itulah temannya.

Bukan seorang dua yang menggesa pelakon veteran itu agar mencari pengganti. Bukankah hidup perlu diteruskan?

Maka apabila Datuk Jalaluddin Hassan sendiri merelakan hatinya untuk diisi, keputusan beliau memilih seorang ibu tunggal beranak empat dari Melaka dilihat sebagai keputusan paling matang dan bukannya berlandaskan kepuasan duniawi semata-mata. Paling tersentuh bila beliau mengaku terpaut pada wanita itu kerana mirip sifat arwah isteri tercinta!

Berita pernikahan beliau dengan Yong Rapidah Haji Abd Ghani pada Ahad lalu, menarik perhatian Nona untuk menyelami kisah percintaan kilat pasangan ini. Dengan izin Datuk Jalaluddin, Nona menghubungi Datin Rapidah sendiri bagi mengenali wanita istimewa yang bertakhta di jiwanya. Tepat bagai dijangka, orangnya sangat peramah dan penuh sifat keibuan!

Ramai sudah tahu sejarah perkenalan anda berdua di Facebook, tapi tak banyak kisah tentang diri Datin sebelum ini. Boleh ceritakan?

Takde yang menarik pun (ketawa). Dulu saya pernah berkhidmat dengan PERODUA di bahagian jualan, sebelum meletakkan jawatan pada tahun 2013 untuk menjaga ibu yang sedang sakit jantung. Kami menetap di Serkam, Melaka.

Saya mengenali nama Datuk Jalaluddin Hassan sebagai seorang pelakon terkenal. Walaupun tak mengikuti perkembangan artis, tapi dulu saya pernah terjumpa beliau bersama arwah isterinya di Istana Budaya. Kebetulan abang saya iaitu Lokman Haji Abd Ghani adalah seorang penggiat teater dan pengarah. Mereka juga berkawan rapat.

Sebenarnya walaupun bermula di Facebook, tapi kami tak pernah chatting pun. Selama tiga bulan, dia hubungi saya melalui Whatsapp saja dan suatu hari, dia menyatakan hasrat mahu melamar melalui abang saya (Lokman). Jadi kami pun atur pertemuan untuk berjumpa di rumah abang dan itulah pertama kali kami duduk face to face berbincang hal ni.

Keistimewaan Datuk Jalaluddin di mata Datin?

Alhamdulilah, saya melihat perkahwinan ini sebagai sambungan daripada arwah isterinya untuk menjaga dan mengasihi suami kami. Suami saya banyak keistimewaannya, ia terlalu panjang kalau mahu diceritakan satu persatu. Tapi saya pandang beliau sebagai amanah dari segi tanggungjawab dan kasih sayang.

Dengan jarak perbezaan umur yang ketara, apa yang membuatkan Datin terdorong berkahwin dengan lelaki yang lebih berusia?

Saya yakin ini ketentuan Allah. Betul, memang jarak umur kami 18 tahun, tapi kami masing-masing sudah mempunyai anak menantu serta cucu-cucu daripada perkahwinan lalu. Memandangkan saya ibu tunggal dan dia pun telah setahun kehilangan isteri, jadi ikatan perkahwinan ini dilihat dapat mengisi ruang-ruang hidup kami yang kosong.

Berbeza dengan pasangan muda yang pastinya berkahwin untuk mengembangkan zuriat atau mengelakkan perbuatan maksiat, kami pula berhasrat untuk menjadi teman hidup yang dapat saling menjaga dan menemani perjalanan hidup ini sampai ke akhir hayat.

Penerimaan anak-anak?

Jika dicampurkan, jumlah anak-anak kami ada 12 orang semuanya. Anak saya empat orang dan suami ada lapan orang. Saya juga ada tiga menantu dan suami lima menantu. Jadi bila berkumpul, memang besarlah keluarga kami sekarang. Dari situ saya nampak penyatuan silaturahim yang sangat akrab.

Saya bersyukur sebab anak-anak kami semua memberi restu terhadap perkahwinan ini. Kalau nak tahu, persiapan dari segi hantaran dan baju nikah yang kami berdua pakai ini pun diuruskan oleh anak-anak. Nampak betul kegembiraan di wajah mereka apabila kami berkahwin. Mereka cakap, ‘Solat seorang tak banyak pahala. Lebih baik saya solat sebagai seorang isteri, lebih besar dan banyak pahala.’

Sebab tu saya reda dan yakin bahawa pertemuan itu adalah kerja Allah. Selepas berkahwin, saya harap kebahagiaan ini akan berkekalan sampai ke hujung nyawa. Doa saya semoga kami sama-sama dapat ke syurga, insyaAllah sentiasalah berusaha ke arahnya.

Tip kebahagiaan yang boleh dikongsi?

  1. Selalu berterus terang. Maklumlah kami berdua mesti banyak berbincang sebab keluarga besar.
  2. Kasih sayang dan perhatian mesti dipupuk setiap hari, without failed.
  3. Beri layanan terbaik dan jaga waktu makan suami.
  4. Banyakkan berdoa, jangan tangguh ibadah dan taat pada suami.

Majlis akad nikah di antara Datuk Jalaluddin Hassan dan Datin Yong Rapidah Haji Abd Ghani telah berlangsung di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur dengan kehadiran ahli keluarga serta kenalan rapat mereka.

Mempelai dinikahkan sendiri oleh abang pengantin perempuan iaitu Lokman Haji Abd Ghani yang juga merupakan bapa mertua kepada pelakon dan pengarah terkenal, Aziz M. Osman. Pasangan merpati dua sejoli ini turut berkongsi rancangan mereka untuk berbulan madu sambil menunaikan umrah pada bulan Februari 2018. Norzalina Mohd Alias

Share
Published by
Norzalina