Tahniah, akhirnya pelakon Korea Selatan Jang Nara umum bakal berkahwin tak lama lagi! Walau dah meniti usia 41 tahun pada 18 Mac lepas tapi raut wajahnya kekal awet muda dan tak makan usia. Memang tak berubah macam mula-mula dia menceburi bidang lakonan dulu.
Nama Jang Nara kini trending di Twitter selepas aktres tersebut mengumumkan dia akan berkahwin dalam masa terdekat. Menerusi posting terbaharunya, dia mengaku sedang bahagia menjalin hubungan dengan kenalan lama yang bukan bergelar selebriti.
Memuat naik gambar nota tulisan tangan mengenai khabar gembira itu, peminat Jang Nara nyata terkejut dan perkongsian tersebut meraih lebih 100 ribu tanda suka!
Nota berkenaan menjelaskan, “Hari ini saya ingin menyampaikan berita peribadi tetapi bahagia untuk anda. Saya akan berkahwin! Setelah berkenalan selama lebih dua tahun dengan seorang kenalan yang enam tahun lebih muda dari saya dan bekerja dalam bidang video, kami berjanji untuk menjadi pasangan seumur hidup.”
Kongsinya lagi, “Saya benar-benar minta maaf kerana tidak dapat berkongsi lebih lanjut mengenai lelaki ini kerana bimbang ia akan menganggu kerjaya kami. Saya memohon pengertian daripada anda semua.”
Jang Nara dikhabarkan terlibat dalam penggambaran filem ‘The Kindness of Others’ dan muncul dalam drama ‘Sell Your Haunted House’ pada Jun tahun lepas.
Dia turut memberitahu akan kembali aktif mewarnai dunia seni selepas perkahwinan dan akan terus aktif berlakon. Jang Nara turut pernah popular menerusi lagu Sweet Dreams sekitar tahun 2002.
Antara drama lakonannya yang mendapat tempat di hati peminat termasuk Successful Story of a Bright Girl, My Love Patzzi, The Last Empress dan VIP.
Sebelum ini Jang Nara pernah membuat pengakuan tertekan dan berkecil hati dengan komen peminat yang sering bercerita tentang wajahnya yang kelihatan muda daripada usia.