Usia bukan penghalang untuk melakar lebih banyak kejayaan. Meniti usia 52 tahun, bakat lakonan Datin Sofia Jane masih ‘berbisa’ dan baru-baru ini aktres jelita tersebut berjaya merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia ke-21 di Rom, Itali. Hebat!
Ternyata populariti Datin Sofia Jane kekal utuh meskipun dengan kehadiran ramai pelapis dan muka baharu dalam industri seni tanah air.
Berada dalam kelas tersendiri, watak protagonis Maryam yang dijayakan Datin Sofia menerusi filem Maryam Pagi ke Malam menarik minat dan perhatian penggiat seni di peringkat antarabangsa.
Bukan calang-calang dapat anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Asia.
Secara keseluruhan naskhah arahan Badrul Hisham Ismail itu juga merangkul anugerah Most Original Film.
Antara barisan pelakon lain yang membintangi filem itu termasuk Susan Lankaster, Vanida Imran, Roslan Madun, Azman Hassan, Pekin Ibrahim dan Bella Rahim.
Maryam Pagi ke Malam menceritakan kisah tentang Maryam iaitu seorang pemilik galeri berusia 50 tahun yang lahir daripada keluarga bangsawan.
Gembira dan bersyukur dengan pengiktirafan itu, Datin Sofia menerusi media sosial menzahirkan ucapan penghargaan.
“Tahniah buat team produksi Maryam Pagi ke Malam di Asian Film Festival di Rom, Itali. Sesungguhnya, seniman Omar Abdullah dan seniman Roslan Madun yang berperanan sebagai ayah dan pengasuh Maryam dalam filem ini memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan watak Maryam. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih.”
Bercerita mengenai pelakon lagenda ini, Datin Sofia sememangnya terkenal dengan rupa paras yang seakan tidak mamah dek usia.
Walau lali dengan pertanyaan ramai mengenai petua kecantikan yang diamalkan, empunya diri bagaimana pun enggan ‘hanyut’ dan merasakan perubahan wajahnya berlaku seiring pertambahan usia.
Datin Sofia Jane yang dilahirkan pada 14 Februari 1972 ini merupakan pelakon kacukan Melayu-Inggeris.
Tegasnya, dia mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga soal pemakanan serta berfikiran tenang.
Datin Sofia Jane mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan Datuk Meor Zain Azman pada 9 September 1995. Sepanjang 29 tahun berkahwin, pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Arissa, Imran, Khadijah dan Soraya.