Nama Adinia Wirasti mungkin tidak begitu dikenali di Malaysia. Tetapi bila menyebut watak Carmen dalam Ada Apa Dengan Cinta, pasti diingati dengan watak ala tomboy yang sering berada di sisi rakan-rakannya itu. Tidak dinafikan, filem Ada Apa Dengan Cinta yang dikeluarkan pada tahun 2002 itu mencipta fenomena tersendiri di Indonesia mahupun di Malaysia.
Baru-baru ini, Adinia Wirasti melangsungkan majlis perkahwinan dengan jejaka pilihan hatinya, Michael Wahr. Michael merupakan seorang aktor kelahiran Australia. Majlis perkahwinan pasangan ini telah berlangsung di The Retreat Garden Sofitel Nusa Dua Bali, Indonesia.
Terdahulu, pasangan ini mengenakan adat Jawa untuk upacara nyuwun pangestu atau mohon doa restu bersama ibu dan keluarganya.
Manakala majlis resepsi secara tertutup pasangan ini telah diadakan di sebuah hotel di Bali yang hanya dihadiri keluarga terdekat dan sahabat rapat pasangan ini. Malah pelakon Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra menjadi pengapit untuk pasangan ini dimana mereka mengenakan nuansa merah jambu mengikut tema majlis pengantin baharu.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh barisan pelakon dan penerbit filem Ada Apa Dengan Cinta iaitu Titi Kamal bersama suaminya, Christian Sugono dan penerbit, Mira Lesmana. Namun kelibat bintang Ada Apa Dengan Cinta yang lain seperti Sissy Priscillia, Ladya Cheryl, dan Dennis Adhiswara tidak kelihatan di majlis tersebut.
Adinia bukanlah calang-calang pelakon di Indonesia kerana bintang ini sering menjadi pilihan penerbit filem untuk filem-filem box office di Indonesia. Antara filem lakonan Adinia termasuklah Kartini Princess Of Jawa, Arisan dan banyak lagi.
Malah, dia pernah memenangi beberapa anugerah filem berprestij di Indonesia termasuklah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Festival Filem Indonesia (2005), Pasangan Terbaik – Indonesian Movie Awards (2012), Pelakon Pembantu Wanita Terpilih – Piala Maya (2012) dan Pelakon Wanita Terbaik – Festival Filem Indonesia (2013).