Dua tahun bersara meninggalkan arena sukan badminton, sumbangan jasa dan pengorbanan jaguh ini terus dihargai ramai. Terbaharu, Datuk Lee Chong Wei berkongsi berita gembira dengan seluruh peminat apabila beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan dari Universiti Sains Malaysia (USM). Tahniah!
Ditemani isteri tercinta, Datin Wong Mew Choo yang anggun mengenakan baju kurung rona lembut, Datuk Lee Chong Wei kelihatan segak dalam persalinan tuxedo hitam.
Penganugerahan tersebut diberikan kepada lagenda sukan tanah air ini dalam Upacara Konvokesyen ke-56 USM pada 2 Disember lalu yang bertempat di Istana Arau, Perlis.
Kongsi bapa kepada dua cahaya mata ini di Instagram miliknya, “Tidak pernah tersangka yang budak nakal tidak kuat baca buku ini boleh dapat anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan suatu hari.
Ribuan terima kasih Chong Wei ucapkan kepada USM dan Canselor Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail. Chong Wei bertekad akan terus berusaha untuk menyumbang dalam arena sukan Malaysia, semampu yang boleh.”
Malah, sambil berseloroh katanya, “Mak pasti paling happy saya rasa, finally anak ada chan join konvokesyen pakai topi empat segi. Tetapi baru perasan tadi, bulat pulak rupanya.”
Selepas 19 tahun mengharumkan nama negara di persada dunia, Datuk Lee Chong Wei mengambil keputusan untuk bersara dari arena sukan pada Jun 2019.
Kredit foto: Instagram Lee Chong Wei
This website uses cookies.