Shiera Al-Khaired atau Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired kini masih aktif sebagai penyampai radio. Tahun ini, isteri kepada Ijoy Azhari dan ibu anak 5 ini menginjak ke usia 47 tahun.
Pun begitu, dengan gelagatnya yang sentiasa mencuit hati dengan lawak yang bersahaja, Shiera tak nampak seperti berusia lewat 40an. Benarlah orang kata, kalau kita sentiasa ceria dan bahagia secara tak langsung aura awet muda turut terserlah.
“Terus terang, saya memang tak jaga badan sangat. Dulu kalau tak jaga pun berat masih lagi maintain, mungkin terlalu aktif dan sibuk dengan kerja. Sekarang saya perlu makan untuk kekalkan tenaga dan menjadi lebih cergas.
Saya hanya amalkan produk-produk kesihatan dari farmasi. Tapi tak ambil banyak pun sebab saya jenis yang bukan minum air banyak. Jadi kalau ambil apa-apa suplemen saya tak akan makan banyak takut memberi kesan kepada buah pinggang.
Saya ambil satu tablet suplemen saja sehari dan minum oxygen water. Saya juga amalkan makan sayur setiap hari. Kalau makan nasi selalunya saya tak akan tambah lagi. Saya cuba tak makan berlebihan.”
KAGUM DENGAN IBU MENTUA
Seperti kita tahu hubungan Shiera dan ibu mertuanya, Datin Maria Arshad umpama isi dengan kuku. Beruntungnya Shiera kerana disayangi dan sangat serasi dengan mertuanya yang dipanggil Mama.
“Saya bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga, cantik dan langsing sampai sekarang walaupun usianya dah mencecah 60an. Baginya biar cantik semula jadi, jangan halang proses penuaan yang sememangnya pasti terjadi. Yang penting kena pandai jaga untuk maintain.
Rawatan-rawatan moden macam suntik sana sini Mama memang tak pernah buat dan tak pernah berminat pun. Mama seorang yang sangat disiplin dengan amalan petuanya dan dilakukan bersungguh-sungguh tanpa putus asa.
Kalau berbual tu memang kami tak pernah cakap topik kecantikan. Selalunya lebih kepada hal-hal anak cucu, ‘membawang’ pun ada lah sekali sekala.. Walaupun Mama tak pernah kongsi apa petua yang diamalkan tapi saya dapat lihat melalui perbuatannya.
Shiera merupakan adik kepada Sharifah Nor Azleenda serta kakak kepada Sharifah Sakinah.
Kredit Foto: Instagram Shiera Al-Khaired