“Makan Sikit-Sikit, Bukan Sikit-Sikit Makan!” Pegang Kata-Kata Ini Kalau Takut Gemuk

Lama sangat duduk di rumah, adakah sesiapa yang mengalami kenaikan berat badan dan kulit menjadi kusam? Menurut Pakar Perubatan, Estetik dan Anti-Penuaan yang juga Pengarah Urusan Francsuffia Wellness Centre, Datin Dr Suffia Hany Binti Mohd Amin, MBBS (UM), SAAARMM (Malaysia), terdapat 8 tip untuk kekal cantik dan maintain berat badan perlu diamalkan.

1) Set Minda

Minda memainkan peranan penting untuk mempengaruhi aktiviti kehidupan kita. Duduk di rumah bukanlah cuti untuk kita makan, tidur dan berehat sahaja. Walaupun kita menghabiskan banyak masa di rumah, perlulah set aktiviti berjadual. Kita harus mulakan hari dengan bergaya dan bersolek sikit.

Kenapa kita perlu cantik, sedangkan duduk di rumah? Supaya kita ada keyakinan diri dan rasa diri cantik selalu. Jangan hanya selalu pakai baju kelawar 24 jam. Inilah kunci utama kita perlu lakukan untuk set minda bahawa kita cantik dan kekal ramping, tubuh fizikal akan mengikut arahan apa yang telah kita set di minda.

2) Jadual Waktu

Bila kita bekerja, kita tidur awal dan bangun awal. Keadaan ini harus diamalkan secara rutin walaupun kita tidak bekerja dan hanya duduk di rumah. Jangan tiba-tiba mengamalkan aktiviti tidur lewat dan bangun lambat. Perubahan jadual waktu tidur akan menyebabkan ketidakseimbangan hormon dalam badan.

Hormon melatonin pada waktu malam atau semasa tidur sangat penting, hormon inilah yang membuatkan kita merasa mengantuk, ingin tidur dan berehat. Jika kita melangkaui keadaan ini, ia akan mempengaruhi keadaan hormon kita, jadi tunggang terbalik dan tidak seimbang.

Sama juga dengan hormon kortisol, waktu siang yang aktif. Hormon ini akan naik kemuncak pada jam 8am hingga jam 10am ke atas, waktu inilah hormon kita aktif. Jika kita bangun lambat ini akan mengganggu hormon kortisol dan akan mempengaruhi metabolisme badan.

Keadaan ini menyebabkan jadual makan kita pun lari, bila metobolisme rendah bermakna pembakaran kalori dalam badan menjadi perlahan, lemak terkumpul dan menyebabkan gemuk. Kita tidak mahu ini terjadi dan kita perlu pastikan metabolisme kita sentiasa berada dalam keadaan normal.

3) Pemakanan Seimbang

Bila duduk di rumah kita harus berpegang pada prinsip, ‘Makan sikit-sikit, jangan sikit-sikit makan!’ Kita perlu makan berjadual dan seimbang. Cuba masak sendiri bila duduk di rumah. Kita boleh memilih makanan yang sihat, tidak terlampau berminyak, banyakkan makan sayur-sayuran segar dan ulam serta buah-buahan.

Paling penting jika kita nak rasa cepat kenyang, dalam 15 minit atau setengah jam kita minum segelas air sebelum makan. Amalkan kaedah ini selalu untuk melengkapi 12 gelas minum air kosong setiap hari.

Makan memadai, berhenti bila terasa kenyang. Dan sekarang bulan puasa, saya berbuka hanya makan kurma dan beberapa jenis kuih. Selepas solat barulah makan nasi, itu pun hanya sepinggan. Waktu sahur, bagi yang tidak bermasalah macam saya hanya ambil kurma dan santan, sudah memadai. Saya tidak merasa letih seharian dan berat badan semakin menurun, alhamdulillah.

4) Senaman & Aktiviti

Duduk di rumah, waktu inilah kita perlu rajin melakukan aktiviti mengemas kalau sebelum ini kita hanya sibuk bekerja. Lakukan pelbagai aktiviti seperti berkebun, menjahit dan bermain badminton bersama keluarga, tidak hanya mengadap TV, komputer atau handphone sahaja. Selain baik untuk kesihatan kita pun merasa gembira.

Lakukan senaman ringan dan mudah, banyak boleh lihat di youTube. Mungkin kita boleh fokus kepada senaman di bahagian pinggang dan paha yang sentiasa merisaukan wanita. Melakukan senaman dan pelbagai aktiviti sangat penting untuk aktifkan hormon happy dan menjauhkan diri kita dari tekanan hidup.

5) Ibadah

Sekarang di bulan Ramadan, kita boleh lakukan pelbagai solat sunat dan tahajud, selain daripada solat lima waktu. Solat ini merupakan salah satu senaman terbaik untuk melembutkan  otot- otot kita. Selain itu, kita boleh memperbanyakkan bacaan Al-Quran untuk menajamkan minda. Bila minda kita aktif, ia akan mempengaruhi keseimbangan pada hormon untuk kekal sihat.

6) Jaga Kulit Wajah

Pastikan kita sentiasa menjaga wajah pakai sunblock dan pelindung cahaya matahari. Walaupun hanya duduk dalam rumah, kita perlu pakai sebab kulit terdedah kepada cahaya lampu dan terutama ketika masak. Bila kita masak, haba dan sebarang cahaya juga boleh menyebabkan pigmentasi.

Lakukan rutin penjagaan wajah, cuci bersih dan menggunakan pelembap terutama selepas masak yang menyebabkan kulit kita berminyak dan berpeluh. Selain itu, seminggu sekali lakukan skrub wajah untuk tanggalkan kulit-kulit mati. Jangan lupa untuk amalkan krim malam dan serum untuk meremajakan kulit.

7) Guna Bahan Organik

Bila duduk di rumah cuba pakai masker wajah dengan menggunakan bahan organik seperti putih telur atau aloe vera, timun letak di mata atau petua-petua lain yang menggunakan pelbagai herba. Ini adalah sebahagian daripada terapi diri untuk menyegarkan kulit, rasa segar dan tenang.

8) Ambil Suplemen

Kalau sebelum PKP kita boleh pergi pusat kecantikan untuk dapatkan suntikan vitamin C, tetapi duduk di rumah kita boleh ambik secara makan 2g sehari sudah memadai. Kalau nak lebih organik, makan buah-buah segar terus tanpa di buat air atau jus.

Share
Published by
KR