Tidak perlu memandu jauh untuk menikmati hidangan laut segera apabila restoran Uncle Ali The Fishmonger mampu memenuhi selera besar peminat hidangan itu.
Membuka pintu perniagaan di Bukit Jelutong, Shah Alam, konsep hidangan panas makanan laut dan servis menjual makanan laut segar pada kualiti terbaik mampu membuatkan peminat hidangan itu terpaut dengan menu di restoran berkenaan.
Variasi hidangan yang pelbagai seolah-olah garapan ‘fusion’ kerana ada cita rasa Asia serta Barat digabungkan membuatkan ia sesuai dikunjungi pelbagai golongan daripada anak kecil sehinggalah kepada majlis korporat.
Malah tidak keterlaluan jika dikategorikan restoran ini sebagai sebuah restoran keluarga menghidangkan makanan laut segar daripada kuali.
Konsep Uncle Ali The Fishmonger ialah menyajikan hidangan laut segar dalam setiap hidangan yang terdapat di dalam menu. Sebenarnya ia adalah tradisi nelayan yang mana mereka menangkap ikan dan dimasak serta-merta bagi mengekalkan kesegarannya. Selain itu, ia juga turut dikenali sebagai pasar produk premium dari laut.
Sesuai dengan perasaan seperti berada di tengah lautan, dekorasi hidangan diberi sentuhan yang sinonim dengan jenis hidangan yang disajikan. Malah tidak salah jika dikatakan bahawa konsep hidangan di restoran sememangnya mempunyai hubung kait yang amat rapat dengan menu yang disediakan.. Dekorasi dalam restoran,menggunakan tema kapal serta lautan agar pengunjung dapat merasai kehangatan selain keenakan hidangan itu sendiri.
Biarpun menampilkan pelbagai pilihan menu serta sos, rasa kesegaran laut itu tidak terjejas.Aspek penyediaan menu pula, setiap hidangan laut mengekalkan keenakan bahan utama iaitu rasa kesegaran ikan mahupun hidangan laut itu sendiri.
“Perlu berhati-hati mengendalikan herba tertentu serta resipi bersesuaian dengan rasa lembut, manis dan lemak hidangan laut, kami turut lakukan sedikit penambahbaikan agar cita rasa bersesuaian dengan lidah serta tekak tempatan,” ujar Encik Ali, pemilik Uncle Ali The Fishmonger.
“Sebagai contoh, peminat Salmon boleh mencuba Salmon Spicy Teriyaki. Hidangan ikan Salmon diimport dihidangkan dalam cita rasa Asian terkenal dengan ‘kick’ kepedasan, namun tidak menjejaskan rasa lemak dan manis ikan.
“Selain itu sesuai untuk mereka yang datang bersama keluarga serta kenalan ramai, pilihan ‘Platter’ membariskan pelbagai jenis makanan laut dalam satu ‘kuali’ antara popular dalam seleksi hidangan kami,” katanya.
“Kami sentiasa mengekalkan konsep mesra kerana kami ialah restoran keluarga. Jadi ada juga slot menu untuk kanak-kanak dengan saiz hidangan sesuai,” katanya seraya mengakhiri perbualan.